sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Selasa, 14 Oktober 2014

Jangan beratkan kepala anak-anak dengan hal yang besar-besar!

Jangan beratkan kepala anak-anak dengan hal yang besar-besar!

KADANG-kadang tanpa disedari, ada ibu bapa yang memberi tekanan kepada anak-anak mereka. Bukan menekan dengan cara memarahi atau memukul, tetapi menekan dengan mahukan anak-anak turut memahami segala apa masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka dalam mencari rezeki.
Ada ibu bapa yang bukan saja mahu anak-anak faham tentang kesusahan itu, tetapi mahu anak-anak turut mencuba untuk meringankan beban mereka.
Saya pernah katakan kepada ibu rakan sekelas anak saya, seorang ibu tunggal ketika dia datang ke rumah saya pada Hari Raya Aidiladha lalu - Kalau hidup susah dan perit, jangan tunjuk kepada anak-anak kesusahan itu. Nanti hati mereka akan turut susah dan tertekan. Zaman kanak-kanak biarlah mereka lalui dengan normal. Biar mereka menjalani kehidupan macam kanak-kanak lain.
Hal cari duit dan cari makan itu sudah memang tanggungjawab orang tua. Biarlah ibu bapa sendiri hadapi semua itu. Jangan diungkit-ungkit betapa susahnya mencari duit. Itu memang kerja ibu bapa. Sudah besar nanti anak-anak akan faham sendiri.
Wanita dalam usia awal 40-an itu memang orang susah. Ada enam orang anak yang bersekolah, ada yang di kolej dan ada yang belum bersekolah. Tetapi dia gigih mencari rezeki dengan membuat macam-macam kerja.
Yang membimbangkan saya, anaknya itu selalu tidak pergi ke sekolah. Mungkin membantunya membuat kuih dan menjaga adiknya yang lain.
Anak saya juga sering bercerita kepada saya, rakannya itu tidak berminat untuk ke sekolah. Dia mahu cepat-cepat cari kerja. Bantu ibunya dalam usia semuda itu.
Lalu, apabila setiap kali saya terserempak dengan gadis yang berusia 14 tahun itu sama ada di sekolahnya apabila menghantar anak saya, atau di rumah, ketika anak saya membawanya setelah habis aktiviti kokurikulum, berkali-kali saya memesan kepadanya belajar bersungguh-sungguh. Jangan ponteng sekolah. Nanti sudah dewasa lepas belajar universiti atau kolej, dapat gaji besar baru boleh tolong ibu.
Dan semalam apabila membaca mengenai hasil kajian Kementerian Kesihatan bahawa seorang daripada setiap lima kanak-kanak atau remaja berusia lima hingga 15 tahun di negara ini dikenal pasti menghidap masalah mental yang antara lain faktornya keperitan hidup dan kemiskinan, ia sudah tentu satu perkembangan yang amat membimbangkan.
Risau anak-anak yang masih kecil ini terbeban dengan masalah yang sepatutnya ditangani oleh ibu bapa sendiri. Alam atau zaman kanak-kanak biarlah mereka lalui seperti seorang kanak-kanak walau sesusah mana pun kita. Janganlah mengheret sekali dan memaksa mereka untuk memahami susahnya kehidupan ini.
Kita bimbang mereka akan tertekan. Kesannya sudah tentu tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran di sekolah kerana mahu membantu keluarga.
Selain itu, ada yang meminggirkan diri, tidak mahu bercampur dengan kawan-kawan kerana ibu bapa asyik menekankan bahawa mereka orang susah, serba serbi kurang, sedangkan orang lain hidup senang. Ini semua memberi kesan pada pergaulan anak-anak. Mereka akan merasa rendah diri dan hilang keyakinan diri.
Apatah lagi jika sekolah berkenaan kebanyakannya terdiri daripada anak-anak orang yang berada, maka rasa rendah diri itu berlebih lagi. Ada dalam kalangan anak orang berada ini tidak tahu masalah rakannya. Maklumlah tak pernah rasa hidup susah. Jadi, faktor rakannya itu memakai baju lusuh, kasut buruk dan beg yang tidak pernah berganti setiap tahun tak pasal-pasal membuatkan dia dipinggirkan. Ini memang berlaku. Bukan cerita drama lagi.
Sepatutnya, ibu bapa yang berpendapatan tinggi ini, sesekali berbuallah dengan anak-anak mereka mengenai hal-hal kehidupan. Jangan dibiarkan anak-anak terlalu berbual dengan gajet. Dimanjakan dengan kemewahan yang menjadikan dia lebih `mengada-ngada'. Anak-anak seperti ini perlu disedarkan. Bukan setiap orang bernasib baik di muka bumi ini. Yang hidup miskin dan susah pun bukan semuanya kerana mereka malas atau tidak belajar tinggi.
Selain faktor kesusahan hidup atau kemiskinan, Kementerian Kesihatan menjelaskan antara penyebab lain berlakunya tekanan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja ini ialah menjadi mangsa diskriminasi, ketidakupayaan mengambil bahagian dalam aktiviti santai, penyakit dan rutin kerja rumah.
Beberapa pensyarah kanan universiti tempatan ketika mengulas hasil kajian ini pun bersetuju bahawa pengabaian ibu bapa, penderaan fizikal dan mental serta kemiskinan adalah antara faktor paling utama menyumbang kepada tekanan mental ini.
Mereka berkata, masalah mental yang berlaku ini tidak lagi dipengaruhi faktor genetik semata-mata.
Banyak cabaran yang berlaku di dalam rumah dan di persekitaran luar yang mengakibatkan anak-anak turut menerima tempiasnya.
Maka ibu bapalah yang paling besar peranannya untuk menyekat ini daripada berlaku. Jangan terlalu mengharapkan guru kelas atau guru kaunseling untuk mencungkil segala masalah anak-anak. Tidak semua kanak-kanak atau remaja mahu bercakap apa yang ada dan bermain dalam benak fikiran mereka.
Memang betul anak-anak juga kadang-kadang adalah ujian Tuhan kepada ibu bapa. Tetapi tanggungjawab besar yang diamanahkan Tuhan kepada ibu bapa adalah lebih kepada bersifat pelindung dan menjaga segala hal keperluan mereka. Maka janganlah diberat-beratkan kepala anak-anak kecil ini dengan hal yang besar-besar! Kasihan mereka.