sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Jumaat, 18 Disember 2015

Kaswi Pandan Lemak


Dr Fouziah
Semasa saya kecil dulu..kuih kaswi ni sinonim dengan kuih untuk orang sakit atau orang demam.
Orang kampung saya sebut KUIH KUSU... makanan orang sakit... saya pula kerap diajak ibu saya menziarah tetangga yang sakit. Mata saya tak lepas dari memandang kuih KUSU ni... tangan ni terasa bergerak-gerak ke arah pinggan berbunga merah di tepi bantal orang sakit. Budak lagi masa tu... sehingga beberapa kali saya menelan air liur. Maklumlah dengan selera dan tubuh saya yang besar tu... semua makanan nampak sedap.  Tapi bab kuih KUSU ni..tak boleh tipu... memang betul-betul menggoda selera.  Cukup rasa... lemak... manis... masin... digaul kelapa muda yang diparut.  Saya dengan penuh kesopanannya (walaupun ketika itu hanya memakai seluar katak sahaja... tanpa baju) mencuit tangan mak saya dan tunjuk ke arah kuih KUSU tu.  Permintaan budak kannnn....Alhamdulillah..dapat sepotong... tuan rumah beri...sedapnya... saya jilat semua tangan dan kelapa yang melekat di tangan saya. Sungguh nostalgia... walaupun tangan saya ketika itu hitam legam entah apa yang saya pegang sebelumnya (biasanya saya bermain korek tanah buat telaga atau melukis di dinding rumah dengan arang..).Cukup indah kenangan bersama ibu yang dapat saya coretkan untuk nak cucu saya. Hanya itulah kenangan yang dapat saya catat.  Itulah sebabnya bila terbaca resepi Kaswi Pandan Lemak ni.. terus saya membuat keputusan...SAYA NAK MASAK KUIH KUSU HARI NI JUGA.  HARI INI... Resepi pun mudah sahaja.Bertuahnya jadi kak besah...  Terima kasih yer kak... siapa gerangan kak besah ni? Resepi ni daripada  KAK BESAH  Sekali cuba terus menjadi...
Saya sediakan bahan untuk satu adunan.  Walaupun rasa sedikit berbeza dengan yang saya makan 40 tahun yang lalu.  Tapi...Tak sampai 1 jam terus sediakan 1 lagi adunan. Rezeki jiran-tetangga ... walaupun tetangga tidak sakit... Marilah cuba..boleh bawa ke pejabat...beri kpd jiran atau sesiapa sahaja.
  • 1 cwn tepung gandum
  • 1 cwn tepung ubi kayu
  • 1 cwn santan
  • 1 1/2 cwn air perahan daun pandan (5 helai)
  • 3/4 cwn gula pasir
  • 1/2 sudu teh air kapur sireh
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 bj telur
  • beberapa titik pewarna hijau.
  • secawan kelapa parut + secubit garam.

Cara-cara

  1. Panaskan pengukus
  2. Minyakkan loyang pengukus.
  3. kacau sebati tepung gandum, tepung kanji, gula bersama air pandan & telur. 
  4. Masukkan bahan2 lain. kacau hingga tidak bergentel. 
  5. tapis adunan
  6. Masukkan adunan ke dlm loyang, jangan terlalu tebal
  7. kukus sehingga masak.. sekitar 20-25 minit. 
  8. Bila dan agak sejuk. potong dan gaulan dengan kelapa yang telah dicampur dengan garam.

Selasa, 26 Mei 2015

Bertemu Pelautku 2

Hari silih berganti, mentari masih lagi bersinar... sesuram mana pun hati dan perasaan... sinar mentari muncul setiap hari tanpa mungkir. Jika mendung di daerah saya, daerah lain tetap cerah dan ceria. Kesibukan yang menghimpit menjadikan 24 jam menjadi sangat singkat. Sepanjang hari di pejabat tiada ruang untuk lelap walau seminit. Paling tidak saya mendekati meja Kak Mah untuk bertanya khabar sambil membancuh kopi. Tenaga yang ada digunakan untuk bergerak ke sana-sini, mengadap skrin komputer, menguruskan hal pejabat dan mengurus rumahtangga membataskan ruang rehat untuk diri saya. Masa tidur itulah sahaja ruang rehat yang ada.   Mata saya ini sudah kalih dengan tidur 5 jam atau kurang dalam sehari. Teringat  kepada yang insan-insan tersayang yang tiada di sisi, antaranya arwah mak dan ayah. Paling terdekat  kakak tersayang MEK MAS BINTI MOHD pada 11 April 2015 yang pergi mengadap Ilahi.  Pemergiannya menyedarkan saya bahawa tidak perlu terlalu leka dengan urusan dunia kerana pemergian kita ini 'anytime'..tanpa pesan dan tinggalan.
Saya mencari ruang waktu untuk diri sendiri semenjak hidup sendiri, jika sebelum ini saya ada komitmen untuk suami...sekarang hanya untuk anak-anak sahaja. Bergenang air mata seketika.  Lupakan...
Selepas solat Asar, sujud dan doa bersusun kepada Ilahi saya mencapai baju T untuk mencari ruang untuk diri saya.  Saya tidak mahu penceraian menjadikan saya sedih,  masih ada 4 insan lagi yang perlu saya jaga.  Jika saya mengalirkan air mata...mereka akan lebih lagi bersedih.  Saya perlu bangkit dengan semangat.  Saya ada kerjaya, ada rumah dan masa..tetapi paling berharga..saya ada doa daripada ana-anak saya.  Itulah harta yang tidak ternilai harganya. Saya masih dalam masa menyesuaikan diri dengan situasi baru... masih mencari ruang untuk diri sendiri, menjaga kesihatan jasmani dan emosi.  Jauh sekali fikiran saya kali ini, saya tidak perlu berlengah lantas melangkah pantas demi mengejar waktu untuk berjoging.  Hati ini tertanya-tanya kenapa saya perlu ke trek joging yang agak jauh. Apa yang saya cari?  Naluri saya memberi isyarat sesuatu semenjak berjumpa dengan lelaki misteri  di trek joging, hati kecil ini terasa untuk ke sana. Pada usia sebegini, hati terasa seronok bila disapa begitu.  Disapa mesra... senyuman manis... pandangan mata yang bersinar daripada seorang lelaki dewasa...eheemmm..walaupun usianya dah melangkaui 50 tahun. Anak-anak muda tak mahunya menyapa mak cik macam saya ni. Saya terus melangkah, sambil tersenyum girang, namun niat untuk sihat tetap tersemat dalam hati tapi semangat dan motivasi juga penting pada usia begini. 
 Penatnya nak habiskan satu pusingan, apa taknya sudah bertahun saya lupakan riadah...memulakan semula amat perit.   Mata tetap meliar mencari lelaki yang menegur saya pada minggu lepas. Tak berlari ke hari ni? Mungkin dia ke trek lain agaknya.  Saya meneruskan berjalan dan sesekala berlari anak untuk ke penamat pusingan pertama. " Assalamualaikum". Suara ceria menegur." Waalaikumsalam", lajunya saya balas...maklumlah dari tadi ternanti-nanti.  Rupa-rupanya dia terlewat hari ini. Hati terus berbunga-bunga, bukan orang muda sahaja ada perasaan sebegini. Terasa nak memecut berlari mengejar lelaki misteri yang terus meninggalkan saya sebelum habis salam dijawab. Dia berlalu pantas dan cergas.  Apakan daya saya ni tak secergas dia.  
Menamatkan satu pusingan bagaikan menghabiskan 30 pusingan bagi saya. Saya berhenti di stesen riadah bagi menggerakkan tangani agar lebih cergas.  Berdebar-debar hati ini bila melihat dari jauh lelaki misteri menghampiri stesen riadah.  Ya Allah..minta-mintalah dia berhenti. Ya Allah...
Kenapa dia tak berhenti? Saya meneruskan aktiviti untuk pinggang dan kaki. Ahh...lupakan.. dia tak sedarpun kehadiran aku ni.  Saya perhatikan dari jauh yang lelaki misteri itu menyapa orang lain juga. Semua orang dia kenal.  Tak ada bezanya dengan saya ni. Dia kelihatan amat serasi dengan trek joging ini, mungkin setiap hari ke sini. 
Saya melangkah meninggalkan terk joging,sambil berlenggang kangkong,  tiba-tiba ada sesorang yang memperlahankan larian di sebelah saya.  Allah tahu agaknya perasaan saya tadi. Allah makbulkan doa saya. 
" Datang sorang"
" Iya" (..dah nampak saya keseorangan, baik budi bahasanya... berbahasa standard, bukan dialek Terengganu)
"Mana anak-anak?"
" Tak ikut, mereka training memanah, Encik datang seorang juga"
"Beginilah saya"
Dia memperlahankan larian dan berjalan beriringan. Saya memberanikan diri untuk bertanya. 
 "setiap hari ke sini?"
" dua kali sehari jika tidak berkayuh.."
" bekerja?"
" bekas pelaut.. puan?"
"Saya cikgu"
"hari ni tak ramai sangat pengunjung"
" oo gitu"
"Cikgu ni orang baru di sini"
"Iya..dah lama tak joging.."
"Bagus.Cikgu, usia macam kita ni kena riadah..buatlah apa-apa pun tapi joging ni seronok, dapat jumpa orang, lihat alam sekeliling, boleh sihat. Sihat itu percuma, sakit sahaja berbayar, " Panjang ceramahnya. Peramahnya bekas pelaut ni.
"OK cikgu, saya nak teruskan satu pusingan lagi" Itu bezanya saya dan bekas pelaut tadi, saya tak ada tenaga sehinggakan nak habiskan satu pusingan pun entah berapa kali berhenti.
Bekas pelaut meninggalkan saya di persimpangan, saya meneruskan ke  tempat letak kereta manakala dia mengambil arah ke kiri. Dalam hati berkata..jumpa lagi.. saya gelak sendirian, dia tak dengar pun..tapi Allah mendengar.
Hati berbunga girang, lebih girang bila saya pastikan yang bekas pelaut tidak datang dengan isteri.  Sah..dia datang keseorangan macam saya juga.
Saya memasang radio, best juga lagu ni...KISAH KAU DAN AKU. Saya menyanyi rangkap yang masih ingat..selebihnya hanya mendengar sehingga habis.

Teringat kisah ku di malam itu
Sejak bertemu ku rindu selalu
Tak dapat aku melupakan oh wajah mu
Telah menjadi lukisan di hati ku
Bagaikan burung yang terbang berkicauan
Riang hati ku kau jadi kekasih
Tak ingin aku akan perpisahan
Hidup ku ria tiada mengenal sedih
Tiada ku sangka mendungkan menjelma
Datang menggelapkan sinaran hidup ku
Belum puas ku merasakan hangatnya
Dingin terasa di seluruh tubuh ku
Masa berlalu kini kau telah berjaya
Malangnya aku telah kau lupakan
Tiada ku sangka begini jadinya
Kan ku hadapi sebagai satu cabaran
Waktu ku sepi ada yang hampiri
Memberi kasihnya sebagai pengganti
Telah ku lupa segala sakit di hati
Tetapi kini engkau ingin kembali
Tak mungkin aku akan menerima mu
Dan melukakan hati kekasih ku
Lupakan saja apa yang berlaku
Jadikan ini satu kisah hidup mu

Sambil melayan lagu-lagu  nostalgia yang berkumandang saya meneruskan ke destinasi yang menyimpan seribu peristiwa dan mematangkan saya.
Saya bertemu pelaut..bekas pelaut.

Bertemu Pelautku 1

Lokasi: Trek joging.
Hari : 1
Menikmati keindahan alam sebegini menjadikan saya lupa segalanya. Sambil kaki menguis dedaun kering yang gugur.  Saya meregangkan urat-urat tangan dan kaki. Bangku kecil muat-muat tubuh 'sasa' ku ini.  Sesekali mata meliar memerhatikan pasangan remaja yang menggunakan kesempatan ridah ini untuk bermesra. Saya juga begitu 28 tahun yang lalu. Kegembiraa dan kesedihan bersilih ganti di depan mata...hati saya bagaikan ditembak peluru ..bukan lagi ditusuk sembilu bila melihat pasangan dewasa dan usia emas yang bergandingan berlari dan berjalan. Bahagianya mereka. Takdir menentukan saya bersendirian. Alangkah gembira jika ada insan di sisi saya, insan yang mengurut-urut lengan dan betis takala keletihan.  ohh...alangkah....Saya tidak menyalahkan takdir, saya insan yang sangat lemah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, aturan Allah adalah terbaik.  Saya yang gagal menilai setiap kebaikan daripada apa yang berlaku.
Lamunan saya terhenti bila disapa oleh seorang lelaki lewat usia... "Awalnya berhenti, tak berpeluh pun lagi tu...". Lantas saya membalas, " selepas ni nak sambung lagi". Dia berlalu meninggalkan saya yang masih di  bangku konkrit. Saya bangun malas...perlahan-lahan mengatur langkah menyusuri trek joging. Tiba pada pusingan akhir lari-lari anak saya pada petang ini, Pada usia begini saya banyak berehat daripada berlari..penat...tapi syukur alhamdulillah sebarang penyakit belum lagi hinggap.
Jam menunjukkan ke angka 6.30 petang, saya melangkah ke tempat letak kereta. Bagaikan cerita drama masa kini...mata saya terpandang lelaki yang menegur saya tadi berada di hadapan kereta saya. Mahu tak mahu saya menyapa "tak nak balik lagi?". "Saya tinggal di situ sahaja"...aahhh..pelik..kenapa ditundingnya jari ke arah bangunan kerajaan tu. Lantaklah... 
Saya meneruskan perjalanan pulang untuk bertemu anak-anak yang seharian ditinggalkan. 

Isnin, 25 Mei 2015

PENCERAIAN BUKAN AKHIRAN...Rancang kewangan anda


Bahan yang dipaprkan ini merupakan artikel asal daripada penulis yang tercatat.  Sekadar perkongsian ilmu dan dimanfaatkan oleh semua pembaca.  Paling penting..sumber ilmu wajar dicatatkan...

Keperluan kewangan ibu tunggal




KADAR perceraian yang tinggi dan keruntuhan sistem sokongan keluarga meningkatkan jumlah ibu tunggal di negara ini.
Meskipun terdapat ibu tunggal yang berkahwin semula, masalah itu masih menjadi perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam menjaga kebajikan mereka.
Secara umumnya, wanita yang digelar ibu tunggal tergolong dalam beberapa kategori antaranya seperti wanita yang ditinggalkan oleh suami tetapi bukan melalui proses perceraian.
Mereka ditinggalkan atas beberapa sebab seperti berlaku salah faham, pertengkaran atau suami berkahwin lain.
Terdapat beberapa kes isteri yang ditinggalkan suami menganggap mereka sudah bercerai sedangkan masih belum ada perintah perceraian.
Apabila mereka ingin berkahwin semula, persoalan perundangan akan timbul kerana perceraian hanya boleh berlaku jika ada lafaz cerai atau perintah perceraian. Ini bermakna, selagi tidak ada perintah tersebut, wanita berkenaan masih dalam ikatan perkahwinan.
Keadaan menjadi lebih rumit jika wanita ditinggalkan dan terpaksa menjaga anak-anak yang masih memerlukan perbelanjaan.
Dalam beberapa siri perbincangan dengan ibu-ibu yang ditinggalkan, tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang tidak mempunyai kelulusan akademik sukar untuk mencari kerja yang sesuai sehingga terpaksa membuat pelbagai kerja untuk membesarkan anak-anak.
Ibu tunggal yang masih bersuami mengadu bahawa mereka susah untuk mendapat bantuan kerana masih mempunyai suami yang secara umumnya suami itulah yang perlu mencari rezeki buat keluarga.
Prosiding
Walaupun dari sudut perundangan Islam, keluarga sebelah suami patut mengambil tanggungjawab tersebut. Namun, adalah sukar untuk membuat tuntutan jika hubungan kekeluargaan tidak begitu baik. Ini ditambah pula dengan prosiding tuntutan nafkah yang panjang.
Menerusi kajian yang dijalankan, pengetahuan ibu tunggal tentang hak membuat tuntutan terhadap ahli waris juga rendah.
Berbeza pula dengan ibu tunggal yang bercerai kerana status mereka agak jelas. Dalam undang-undang, mereka mempunyai hak untuk membuat tuntutan nafkah idah, mutaah dan pembahagian harta sepencarian jika mereka mempunyai harta yang dibeli semasa dalam perkahwinan.
Perhatian turut diberikan oleh agensi-agensi berkaitan seperti Pusat Pungutan Zakat meskipun bapa sepatutnya bertanggungjawab memberi nafkah anak.
Walaupun terpaksa memikul tanggungjawab itu berseorangan, ibu tunggal yang bercerai lebih bernasib baik dari sudut bantuan yang dihulurkan terutama kepada anak-anak yang masih bersekolah.
Bagi wanita yang bercerai kerana kematian suami, mereka hilang sumber kewangan terutama dari sudut nafkah dan tidak boleh membuat tuntutan mutaah kerana suami sudah meninggal dunia. Mereka boleh tuntut harta sepencarian (jika ada) dan harta pusaka.
Banyak masalah timbul dalam kalangan balu termasuk campur tangan daripada keluarga suami yang tidak begitu faham tentang konsep pembahagian harta ataupun dalam hal lain, hubungan kekeluargaan yang tidak baik antara wanita tersebut dengan keluarga mertua.
Penama
Dalam beberapa kes yang diadukan, ramai yang tidak mengetahui bahawa isteri perlu membuat tuntutan harta sepencarian dahulu sebelum harta suami yang lain dibahagikan.
Konsep penama yang diguna pakai oleh agensi kewangan juga disalahertikan. Bentuk operasi perkara ini perlu dilihat semula supaya ibu yang kematian suami mendapat pembelaan.
Lebih menyedihkan lagi jika suaminya mati mengejut seperti kematian yang melibatkan kemalangan. Terdapat juga kes waris mendapatkan perintah pembekuan harta si mati sementara menantikan proses pembahagian harta selesai.
Jika semua harta si mati dibekukan tanpa mengambil kira keperluan isteri yang ditinggalkan selain isteri menanggung anak-anak atau mengandung, maka ianya menjejaskan kebajikan isteri terutama dari sudut kewangan.
Gambaran di atas menunjukkan beberapa kisah masyarakat yang timbul melibatkan isu-isu perundangan yang perlu diberi perhatian kerana keadaan sedemikian menjejaskan keperluan kewangan ibu tunggal sama ada mereka ditinggalkan di atas sebab yang pelbagai.
Masalah akan menjadi lebih rumit jika ia melibatkan anak-anak yang memerlukan bantuan kewangan besar.
Ramai dalam kalangan graduan universiti yang terpaksa mencari pekerjaan tambahan disebabkan ibu bapa bercerai dan hilang sistem sokongan keluarga.

PANJAT TINGGI-TINGGI..INGAT-INGAT SIKIT...BILA JATUH.. SANGAT SAKIT

Kali pertama telinga ini mendengar ungkapan ..PANJAT TINGGI-TINGGI... INGAT-INGATLAH SIKIT... BILA JATUH TU... SAKIT. Terkejut pun tidak... terpingga-pingga pun tidak. Ungkapan yang menjentik minda untuk saya terus berfikir. Bagi diri saya yang daif ini, ungkapan tersebut bukanlah amaran.  Saya tidak pernah mengancam sesiapa atau tidak pernah dengar daripada sesiapa yang mereka terancam kerana saya. 
Masa yang ada membuat saya terus berfikir..kenapa saya tidak meminta pengungkap tadi mengulas lanjut.  Saya pula perlu berfikir, bila saya berfikir sendirian... jawapannya mungkin tidak sama dengan apa yang dimaksudkan. 
Saya balik ke bilik bersama secawan kopi o tanpa gula dan 4 keping biskut kering. 
Bila saya bersandar di kerusi...  angan-angan saya melangit.  Alangkah seronoknya bila dapat memanjat pokok Yang tinggi... yang sangat tinggi..kaki ini terasa begitu bersemangat.. Saya bukan seorang yang gayat.
bila saya bayangkan yang saya berada di bawah pokok... alangkah seronoknya bila berada di tempat yang tinggi.. lebih-lebih lagi dapat panjat pokok... pokok rimbun..berbuah lebat..alangkah....
Realitinya 
Sekarang bila saya sendirian... tak tahu tinggi mana pokok yang saya telah panjat....atau akan saya panjat. Penilaian ketinggian itu berbeza, bagi saya pokok tersebut tinggi tapi tidak bagi anda.

kenapa bila jatuh tu sakit
realitinya..
siapa diri kita..siapa saya.
Siapa saya di mata penutur itu?
Adakah saya kaca
saya kertas
saya plastik
saya daun
saya buah... buah pun berada di tempat yang tinggi
Saya hanya manusia biasa yang gemarkan tempat yang selesa... tinggi... jauh daripada hiruk-pikuk...
saya adalah bola ...  bola besar..yang sangat besar dan kuat
Jika saya jatuh dari tempat tinggi
saya akan melantun...saya tidak akan sakit...saya tidak akan kecewa..jauh sekali berputus asa.
Saya akan terus bergolek...

Saya akan terus memanjat..dan memanjat setinggi mungkin..saya akan bersedia untuk membawa bekalan dan ilmu yang secukupnya..andai kata saya jatuh.. saya sangat bersedia.

Renungan diri; PENCERAIAN BUKAN AKHIRAN

Khamis, 5 Mac 2015

Ikan Bebaru Goreng

Sesekali ke pasar membuat saya teruja. Teringat masa kecil2 dulu..paling menyeronokkan ialah menimba pengalaman bersama kedua ibu bapa.  Mak seorang peniaga kedai runcit dan barangan dapur, paling tidak mak ke bandar  dua kali seminggu. Pasar kedai Payang dan kedai sekitar Jalan Banggol, Jln Kg Cina dan Jalan Tok Lam merupakan pusat perniagaan utama semenjak dahulu sehinggalah tahun 1990an. Kini dah lenggang dan tak semeriah dulu.  Dahulu sepanjang jalan dipenuhi dengan' teksi'...bukan kereta teksi tetapi beca. Orang Terengganu panggil beca tu sebagai teksi.   Jika hari Sabtu..ini peluang keemasan saya untuk mengekori ke mana mak pergi.  Sehinggakan aunty peniaga mee dan kenal betul dengan saya. Pak Cik Teksi ( dipanggil 'gatih teksi) dah mengingat nama saya. Mentelah peniaga-peniaga melayu dan rempah ratus tidak lekang memanggil dan menghulur makanan, ada yang pegang tangan gebu saya tu, usap kepala dan mengusik-usik. 
Nostalgia ke pasar saya akan sambung pada catatan akan datang.. kalau tak... tak memasaklah saya hari ni... bebalik cerita asal...Saya anak nelayan yang tidak kenal jenis-jenis ikan.  Mulut ni berat nak bertanya nama ikan yang dijual, bila peniaga ikan  sebut nama ikan...kadang-kadang saya angguk kepala tanda mengiyakan. Nama yang tidak pernah saya dengar pun ada.  Kebanyakannya saya saya hanya tunjuk dan tanya harga. Ikan yang saya beli ni nama Bebaru..tetapi bila saya semak di WEB TENTANG IKAN  ikan bebaru lain rupanya. Sesiapa yang kenal bolehlah beritahu saya. Untuk kali ni saya kekalkan nama BEBARU...

Lihatlah rupa ikan ni...
Maaf terlebih kelar ( kalau masa anak dara dulu..kalau saya hidang ikan yang tak dipotong sirip atau ridip dah ekor...kena marahlah... ANAK DARA MALAS...)
Percubaan pertama memasak ikan adalah lebih selamat digoreng sebab bau hanyir tidak terasa sangat.
Ikan ni dibersihkan dan dilumurkan dengan garam,serbuk kunyit dan serbuk cili. Panaskan minyak dan goreang sehingga garing.
Rasanya sangat sedap dan manis, lain kali bolehlah beli lagi.

Rabu, 25 Februari 2015

Roti Kebab Al-Bab



Sarapan yg cepat dan sihat (daging...sihat ker?) terutama utk anak-anak yg sedang membesar.  Sumber protin boleh diperolehi daripada telur, susu, daging lembu, ayam, protin sayur pun ada.Bagi saya yang umur sudah merangkak ni, makan sebulan sekali sahaja daging lembu dalam kuantiti yang kecil.Kalau musim kenduri tu kadang-kadang terbabas juga. Berbalik kpd resepi kali ni.. selain daging lembu, terdapat juga timun dan lobak merah.Namanya Roti Kebab Al-Bab.
6 keping roti arab
4 sudu besar mentega
400g daging kisar
2 labu bawang besar
1 batang karot
1 btg timun
2 sudu besar tomato puri
6 sudu besar sos cili
sedikit garam
2 sudu teh gula
mayonis
-      sagat lobak merah dan timun- jgn terlalu halus @kalau nak potong kecil2 pun tak apa(saya nak cepat--->sagatlah pilihan terbaik)
-      Panaskan kuali dan masukkan daging kisar yg direlaikan/potong kecil-kecil (tanpa minyak....sbb daging kisar dah berlemak) goreng sehingga separuh masak.
-      Masukkan sos cili, tomato puri dan kacau sehingga masak- goreng sehingga masak
-      Letakkan garam dan gula.
-      -Padamkan api dan masukkan lobak merah dan timun- kacau sebati.
-      roti dipotong dua dan belah bahagian tengah sehingga menjadi poket. Sapukan mentega dan panaskan dalam kuali leper pada kedua-dua belah.
-      Cara menghidang--> masukkan inti daging tadi ke dalam poket.
-      Hidang bersama sos dan mayonis (Saya tak suka sos tambahan dan mayonis, makan begitu dah sedap)
Cepat kan? tak sampai 15 minit...
Dr Fouziah Mohd

*****Anak-anak saya ada latihan memanah setiap hari mulai pukul 4.30 - 6.30 petang, hari minggu mulai 8.30 pagi -12.30thari, sambung lagi pukul 3.00 ptg hingga 6.30 petang.  Bayangkan tenaga dan makanan yang berkhasiat diperlukan mereka. Menu pula perlu dipelbagai, barulah berselera mereka berdua tu.

Selasa, 24 Februari 2015

BENGKEL PENULISAN ILMIAH

Ya Rabbi... lamanya tak jenguk blog ...
Berhabuk berdebu sana-sini..Kalau rumah tinggal ni..dah dihuni oleh mahluk lain dah ni. Apa-apa pun terimakasih kepada pengunjung dan pembaca yang saya hargai semua. In shaa Allah blog ini akan terus hidup dengan nafas yang lebih segar.
Hari ini dan semalam 24 dan 25 Feb 2014 saya menjadi pembantu fasilitator bagi Bengkel Penulisan Ilmiah di IPGKDRI.  Bila dilantik menjadi fasi ni, saya menjadi semakin tak pandai...banyak lagi yang perlu saya terokai dan belajar.  Masa untuk menuntut ilmu dengan fasi utama hanya tinggal 5 bulan sahaja lagi sebelum beliau berpencen pilihan. Seriusnya saya malu dengan ilmu saya yang hanya setitik berbanding dengan beliau. Betapa tak layaknya saya untuk membimbing rakan-rakan pensyarah lain.  Bak kata orang putih... ilmu saya hanya surface. I wish to be him...berilmu, alim, suka berkongsi, baik, peramah...dan hansem juga ( oops...nakal sesekala..)
Pada hari pertama,peserta didedahkan dengan slot Pengenalan Penulisan Ilmiah termasuklah perbezaan penulisan ilmiah dan penulisan kreatif. Sesi  diteruskan dengan Panduan Asas Gaya APA.  Peserta diberi panduan penulisan artikel, jadual, rajah dan rujukan. Aktiviti amali diteruskan dengan jayanya. Rehat tengahari dihidangkan dengan makanan yang enak (..saya skip..on diet..ya Allah...tetapkanlah niatku ini...Aamiin).  Pada sebelah petang peserta menyediakan rangka penyelidikan masing-masing dalam kumpulan.
Pada hari kedua, pendedahan terhadap Dokumen Map dalam penulisan atrikel dan tesis diberikan.  Selepas minum pagi (..sekarang minum pagi..sendiri sponsor..guna duit elaun keraian..bantu kerajaan dalam menjimatkan kos).  Sesi pembentangan dimulakan dengan pembentangan Rangka penyelidikan pertama oleh Jabatan PJ,  SS, MT dan semua jabatan.  Pembentangan berkumpulan menarik perhatian saya dengan pelbagai idea segar dan penting untuk dikaji. 
Bangga jugalah sebab bila dapat berkongsi dan membantu rakan-rakan pensyarah. Walaupun saya hanya membantu perkara-perkara asas sahaja.  
Saya tertarik dengan penglibatan pensyarah yang sanggup meninggalkan tugas-tugas lain semata-mata untuk megikuti perbengkelan ini. Kualiti seorang pensyarah terletak kepada peningkatan dan kualiti profesionalisme seseorang.  Pensyarah juga pengamal akademik perlu mampu menjadi pemikir yang kreatif yang mampu mencetuskan ilmu dan teori baru selain berinovasi.

Jumaat, 21 November 2014

KUASA PERCAYA

Catatan ringkas
Semalam, Selasa, 18 Nov 2014, saya ke SMK Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Terengganu untuk pengesahan persekolahan anak tingkatan 1 tahun 2015.
Luahan hati anakku..mama..Baiz tak nak sekolah ni. Sebab apa? Baiz belajar bersungguh-sungguh untuk ke sekolah lain. Sekolah asrama penuh.  Saya pun menerangkan tentang prosedur, feeder school, tentang peluang dan ruang untuk berjaya ada di mana-mana. Saya juga menceritakan sesuatu yang mengejutkan yang selama ini mungkin dia lupa... ITU SEKOLAH MAMA DARI TINGKATAN 1 HINGGA 3. Iya ker mama? Masih segar nama-nama hebat iaitu Cikgu Johari Ismail, Cg Kifayatullah Mat Said, Cg Aminah Mamat, Cg Roiham, Cg Abdullah, Cg Ismail Mat sharif, Cg Abdullah, Cg Rani, Cg Shamsudin, Cg Yusuf, Cg Yusuf Ali, Cg Husin..Cg Ruby, ingatan kepada mereka masih segar dan tidak ku lupakan doa buat mereka setiap kali selepas solat. Tidak lupa Mrs Lynn Clancy  dari Australia dan Christhopher John Greenland dari UK yang mengajar bahasa Inggeris.
  Jam menunjukkan 1.46 petang, saya melangkah ke pejabat sekolah. Suasana sunyi mengundang tanda tanya, ke mana semua orang ni? Saya terus melangkah ke pejabat lalu memberi salam.  Alhamdulillah salam saya disambut oleh seorang kakak cleaner. Semua guru dan staf ada mesyuarat terangnya sambil tangan memegang penyapu. Saya menerangkan urusan yang hendak saya lakukan. lantas saya berkata ..
Tak apalah kak nanti saya datang lagi.  
 oooh..nak pengesahan masuk ke sekolah ini ke? 
 Iya kak.
Tak apa.. saya boleh tolong.. balasnya sopan.
Dalam kepala saya..dalam hati kotor saya ni...biar betul.. apa yang dia boleh buat..
Berbalik kepada kisah tadi... saya sambung cerita sedikit lagi...
Kakak cleaner tu soal saya..
Ada bawa surat tak?
Ada.. ni..sambil menghulurkan surat..
Biasanya ada disertakan borang
Saya pun menbelek-belek di celah beg tangan..lantas menghulurkan satu set borang.  
Saya tak isi apa-apa maklumat pun lagi (muka simpati..)
Tak apa.. apa yang penting, surat ni dan salinan kad pengenalan.
Owhh..saya tak bawa salinan kad pengenalan anak
Tak pun kalau puan bawa surat beranak..pun boleh
alaaa....pun saya tak bawa (sesungguhnya.. saya tak baca pun apa kehendak surat tu... apa yang saya tahu perlu daftar sebelum 20hb November 2014).
tetiba saya teringat sesuatu 
Tapi kad pengenalan anak saya ada saya bawa ni...( sekali lagi saya mencari-cari dalam beg tangan saya yang dipanggil BEG DORAEMON oleh anak-anak..apa tak.. semua di dalam tu.. gula-gula,beg duit,  pen, brooch, tisu, pensil, gunting, ubat, ketip kuku, buku, telefon. alat-alat mekap, kadang-kadang ada kerepek pisang, roti, air...aahhh...macam-macam..)
Saya tolong buat salinan
Borang-borang lain tu, puan perlu isi dan bawa bersama salinan keputusan dan sijil seperti dalam surat tu yer...pada 1 hb Januari nanti.  Datang nanti untuk pendaftaran.
Lagak saya semasa itu, seolah-olah mendengar arahan guru besar.
Saya terkejut bila dia tahu dan mahir semua prosedur untuk menyelesaikan masalah saya.  Saya terkejut dan teruja. Penyampaian maklumat oleh seorang tukang cuci begitu jelas dan sangat sopan. 
Penafian jawatan dan tugas bukan perkara yang saya hendak kongsikan di sini.Kenapa saya berkata begitu? Keadaan berbeza yang pernah saya temui di tempat kerja saya.. atau di mana-mana tempat lain.  Pekerja hanya tahu dan akan bertanggungjawab terhadap skop kerja mereka sahaja. Jika diminta bekerja lebih atau menunjukkan ringan tulang..... haaaa... jagalah kau nanti... asyik-asyik kena suruh laaa.. Itulah realiti mentaliti masyarakat pada hari ini.  Kadang-kadang lebih baik buat tak tahu daripada menunjuk pandai. Virus ini perlu dibendung dalam masyarakat kerana nilai dalam diri akan hakis...seterusnya hancur...habis...
Saya teringat satu kata-kata.. U Suggest U Suffer.. oowwwhhh... kejamnya.. 
Saya yakin tentang kuasa PERCAYA dalam pentadbiran yang membolehkan seorang pekerja bekerja dengan baik dan meneruskan tugas orang lain atau rakan sekerja sekiranya salah seorangnya cuti, sakit, atau ke tandas.  Bayangkan jika saya perlu datang sekali lagi, dalam keadaan hujan lebat, sibuk dan masa yang suntuk hanya untuk mengesahkan persekolahan. 
APAKAH TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI PEKERJA ATAU MAJIKAN?
MAMPUKAH ANDA LAKUKAN PERKARA YANG KECIL BERSAMA-SAMA?

Selasa, 14 Oktober 2014

Jangan beratkan kepala anak-anak dengan hal yang besar-besar!

Jangan beratkan kepala anak-anak dengan hal yang besar-besar!

KADANG-kadang tanpa disedari, ada ibu bapa yang memberi tekanan kepada anak-anak mereka. Bukan menekan dengan cara memarahi atau memukul, tetapi menekan dengan mahukan anak-anak turut memahami segala apa masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka dalam mencari rezeki.
Ada ibu bapa yang bukan saja mahu anak-anak faham tentang kesusahan itu, tetapi mahu anak-anak turut mencuba untuk meringankan beban mereka.
Saya pernah katakan kepada ibu rakan sekelas anak saya, seorang ibu tunggal ketika dia datang ke rumah saya pada Hari Raya Aidiladha lalu - Kalau hidup susah dan perit, jangan tunjuk kepada anak-anak kesusahan itu. Nanti hati mereka akan turut susah dan tertekan. Zaman kanak-kanak biarlah mereka lalui dengan normal. Biar mereka menjalani kehidupan macam kanak-kanak lain.
Hal cari duit dan cari makan itu sudah memang tanggungjawab orang tua. Biarlah ibu bapa sendiri hadapi semua itu. Jangan diungkit-ungkit betapa susahnya mencari duit. Itu memang kerja ibu bapa. Sudah besar nanti anak-anak akan faham sendiri.
Wanita dalam usia awal 40-an itu memang orang susah. Ada enam orang anak yang bersekolah, ada yang di kolej dan ada yang belum bersekolah. Tetapi dia gigih mencari rezeki dengan membuat macam-macam kerja.
Yang membimbangkan saya, anaknya itu selalu tidak pergi ke sekolah. Mungkin membantunya membuat kuih dan menjaga adiknya yang lain.
Anak saya juga sering bercerita kepada saya, rakannya itu tidak berminat untuk ke sekolah. Dia mahu cepat-cepat cari kerja. Bantu ibunya dalam usia semuda itu.
Lalu, apabila setiap kali saya terserempak dengan gadis yang berusia 14 tahun itu sama ada di sekolahnya apabila menghantar anak saya, atau di rumah, ketika anak saya membawanya setelah habis aktiviti kokurikulum, berkali-kali saya memesan kepadanya belajar bersungguh-sungguh. Jangan ponteng sekolah. Nanti sudah dewasa lepas belajar universiti atau kolej, dapat gaji besar baru boleh tolong ibu.
Dan semalam apabila membaca mengenai hasil kajian Kementerian Kesihatan bahawa seorang daripada setiap lima kanak-kanak atau remaja berusia lima hingga 15 tahun di negara ini dikenal pasti menghidap masalah mental yang antara lain faktornya keperitan hidup dan kemiskinan, ia sudah tentu satu perkembangan yang amat membimbangkan.
Risau anak-anak yang masih kecil ini terbeban dengan masalah yang sepatutnya ditangani oleh ibu bapa sendiri. Alam atau zaman kanak-kanak biarlah mereka lalui seperti seorang kanak-kanak walau sesusah mana pun kita. Janganlah mengheret sekali dan memaksa mereka untuk memahami susahnya kehidupan ini.
Kita bimbang mereka akan tertekan. Kesannya sudah tentu tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran di sekolah kerana mahu membantu keluarga.
Selain itu, ada yang meminggirkan diri, tidak mahu bercampur dengan kawan-kawan kerana ibu bapa asyik menekankan bahawa mereka orang susah, serba serbi kurang, sedangkan orang lain hidup senang. Ini semua memberi kesan pada pergaulan anak-anak. Mereka akan merasa rendah diri dan hilang keyakinan diri.
Apatah lagi jika sekolah berkenaan kebanyakannya terdiri daripada anak-anak orang yang berada, maka rasa rendah diri itu berlebih lagi. Ada dalam kalangan anak orang berada ini tidak tahu masalah rakannya. Maklumlah tak pernah rasa hidup susah. Jadi, faktor rakannya itu memakai baju lusuh, kasut buruk dan beg yang tidak pernah berganti setiap tahun tak pasal-pasal membuatkan dia dipinggirkan. Ini memang berlaku. Bukan cerita drama lagi.
Sepatutnya, ibu bapa yang berpendapatan tinggi ini, sesekali berbuallah dengan anak-anak mereka mengenai hal-hal kehidupan. Jangan dibiarkan anak-anak terlalu berbual dengan gajet. Dimanjakan dengan kemewahan yang menjadikan dia lebih `mengada-ngada'. Anak-anak seperti ini perlu disedarkan. Bukan setiap orang bernasib baik di muka bumi ini. Yang hidup miskin dan susah pun bukan semuanya kerana mereka malas atau tidak belajar tinggi.
Selain faktor kesusahan hidup atau kemiskinan, Kementerian Kesihatan menjelaskan antara penyebab lain berlakunya tekanan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja ini ialah menjadi mangsa diskriminasi, ketidakupayaan mengambil bahagian dalam aktiviti santai, penyakit dan rutin kerja rumah.
Beberapa pensyarah kanan universiti tempatan ketika mengulas hasil kajian ini pun bersetuju bahawa pengabaian ibu bapa, penderaan fizikal dan mental serta kemiskinan adalah antara faktor paling utama menyumbang kepada tekanan mental ini.
Mereka berkata, masalah mental yang berlaku ini tidak lagi dipengaruhi faktor genetik semata-mata.
Banyak cabaran yang berlaku di dalam rumah dan di persekitaran luar yang mengakibatkan anak-anak turut menerima tempiasnya.
Maka ibu bapalah yang paling besar peranannya untuk menyekat ini daripada berlaku. Jangan terlalu mengharapkan guru kelas atau guru kaunseling untuk mencungkil segala masalah anak-anak. Tidak semua kanak-kanak atau remaja mahu bercakap apa yang ada dan bermain dalam benak fikiran mereka.
Memang betul anak-anak juga kadang-kadang adalah ujian Tuhan kepada ibu bapa. Tetapi tanggungjawab besar yang diamanahkan Tuhan kepada ibu bapa adalah lebih kepada bersifat pelindung dan menjaga segala hal keperluan mereka. Maka janganlah diberat-beratkan kepala anak-anak kecil ini dengan hal yang besar-besar! Kasihan mereka.