sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Selasa, 25 Disember 2012

BERKHATAN (1) - SUNAT/ MASUK JAWI

Dengar pun dah rasa takut.... KHATAN. Saya tergerak untuk berkongsi kisah dan pengalaman  anak bongsu saya berkhatan (selayaknya saya panggil bongsu sebab kalau saya dukung baby tentu ada yang bertanya, cucu ker...). Dia telah lama bersedia, walaupun baru berumur 8 tahun.  Saya dan suami aja yang lenggah-lenggahkan..kecik lagi.Kini sudah sampai masa yang sesuai. Apa persediaan yang perlu? Kalau dulu-dulu, masa bersunat ada rotan, ada tempurung untuk diketuk pada lutut bagi mengelakkan daripada tegang. Rotan pula diselit di pinggang bagi mengelakkan kain terkena anu. Ada batang pisang... Sekarang dah menjadi sejarah....

Pada fikiran saya khatan ni sekejap aja .. potong... jahit dan balik. (macam boleh buat sendiri aja... ..????). Rupanya tak semudah yang disangka. Keadaan anak saya berbeza dengan anak pembaca dan berbeza juga dengan abangnya yang berkhatan 3 tahun lepas.
Suami menerima  panggilan daripada klinik pada jam 4.00 petang  10.12.2012 menetapkan masa untuk berkhatan. Keesokannya 11.12.2012, semenjak di rumah anak saya dah bersedia, makan,  mandi serta solat Zuhur. Bila dah sampai di klinik anak saya tu memang konfiden 100%. Pesakit lain pun hairan, berani dan gembira.  Usikan abang dan kakaknya sedikit pun tak menjejaskan semangat dia.  Tiba giliran anak saya, ditakdirkan ada pesakit lain yang agak kritikal memerlukan rawatan lebih awal.... sakit jantung katanya.. maka menunggulah kami selama 1 jam sambil memerhati  pelbagai karenah anak.  Sekejap tidur,baca buku, lepas tu menonton TV, berlari ..pendek kata macam-macam.  Namun riak gelisah sesekala terpancar. Kenapa lambat sangat ni..keluh dia. Selepas pesakit jantung tu keluar, anak kami pun masuk dan sapaan mesra doktor menambah keyakinan anak saya.  Selepas disuntik,anak saya keluar untuk menunggu dan tak lama lepas tu, sekitar jam 3.40 petang anak saya dibawa masuk ke bilik rawatan.  Barulah kelihatan sedikit pucat di wajahnya ( baru nampak wajah sebenar...) Doktor berbual-bual dan membacakan doa bersama-sama. Saya dah mula risau. Dalam hati, sikit aja tu.. tak sakitlah...saya memujuk hati sendirian. Ini pengalaman pertama saya melihat anak berkhatan. Anak lelaki pertama dulu berkhatan sekali dengan pembedahan hernia di bilik bedah, jadi kami tak dapat lihat.
 fouuzie.blogspot.com
Semasa pemeriksaan lanjut, muka suami saya berubah bila doktor maklumkan yang anu anak saya buta sambil doktor menunjukkan kepada kami.  Susahnya saya nak faham. Ada juga yang BUTA? Buta ni merujuk kepada anu yang melekat dan kepala yang tak boleh dikeluarkan habis.  Suami saya dan saya sendiri tak pernah periksa... selagi ada benda tu..selagi boleh kencing elok... kira ok.. normal. Pembaca perlu ambil tahu kedudukan dan keadaan anu anak sebelum berkhatan.  Doktor cakap  ianya perkara biasa sambil menerangkan prosedur  yang akan dilakukan secara ringkas. Kami mengiakan aja apa yang diterangkan.. nak bantah? Ada berani? Apa yang kami tahu? Kepercayaan kami tinggi kepada doktor kerana dia bertugas di hospital pakar. Kami percaya dia dan semua doktor akan lakukan yang terbaik.(sesiapa sahaja cuba lakukan yang terbaik dalam kerjaya termasuklah kita semua..at least kita cuba kannnn...). Saya melihat sendiri bagaimana doktor menarik kulit luar sehingga ketat, sepit dan memotong sedikit demi sedikit (Begitu rupanya..). Terasa ngeri... ada darah..(saya mabuk darah). Saya dah mula rasa nak pitam.... pening....nak jatuh...Aduhai...si anak pula asyik nak pegang tangan mama. Doktor sempat suruh saya duduk dan berehat.  Kalau tidak, mahunya saya yang dirawat. Jangkaan awal saya meleset sama sekali.. susa h rupanya. Agak rumit kerana doktor perlu memotong bahagian yang tertutup dahulu sedikit demi sedikit sambil kikis (betul ker istilah ni) agar terasing kulit dan isi.Selepas itu barulah potong bahagian kulit dan seterusnya menjahit. Amat teliti, maklumlah bahagian sensitif. Kalu saya... dah surrender agaknya. Ketika sedang dijahit inilah anak saya bersuara...(istilah saya menjerit manja..) Aduh..Ssakit..sakit...sakitnya ma.. doktor terpaksa menambah sedikit lagi ubat kebas. Terasa sedih dan suspen jugak masa tu... Apa taknya, kalau dah mula menjerit tak kenal dunia entah-entah kena 'tidur' kan budak tu. Saya berpeluh sejuk sambil memegang tangan anak, sambil saya ajar mengucap, bacakan ayat-ayat Quran dan mengusap kepalanya. Dulu saya tak mabuk darah, semenjak muda kembali ni..lain macam sikit. Memang tak lekang dengan bacaan ayat Quran di telinganya. Berlinangan air matanya. Kesian tenguk dia, tapi saya tabik... semangat kental. Hasilnya saya yang pening-pening kepala ....berpeluh sejuk... uuuh. Operasi potong-memotong dan jahit-menjahit selesai setelah doktor membalut, (anak saya yang dulu tak berbalut..). Doktor mengajar cara mengikat kain kepada kami. Keseluruhannya mengambil masa hampir 1 jam termasuklah konsultansi. Sebelum keluar, anak saya sempat posing dengan doktor. Doktor menerangkan tentang komplikasi yang mungkin berlaku, rawatan dan penjagaan di rumah.Bahagian yang dikhatan tidak boleh basah. Berkerut muka anak saya.. ma, sakitlah...ma ..sakit sangatlah.. ma cakap tak sakit (manalah saya tahu.. saya agak aja..saya mana pernah berkhatan, saya dengar dan baca..orang cakap macam kena gigit semut aja...so, saya cakap dengan dia begitu..tak salah kan? Saya terbayang, tak tidurlah kami malam nanti. Berbekalkan ubat yang diberi, harap dapat membantu kami. Muka anak saya dah tak ceria lagi, kelihatan air mata bergelinangan keluar. Saya dah terbayang-beri kami pulang dengan perasaan lega.  Selesai.
 Sepanjang perjalanan pulang, dia bersuara sesekali sahaja.  Apabila sampai di rumah, anak saya disambut dengan soalan, Sakit tak sunat? Macam mana?..oleh abang dan kakaknya.  Soalan tak terjawab langsung (tapi dari riak wajah dah tahu jawapannya), terus anak saya masuk ke bilik dan tidur. Alhamdulillah, pada malam tersebut anak tidur lena. Keesokan paginya barulah anak mengadu sakit, tapi masih boleh tidur macam biasa. 
Nak berpantang macam mana? Saya nak jaga makanan agar taklah nanti tersilap makan dan memberi kesan mudarat seperti bisa atau gatal.  Ramai yang tak percayakan pantang-larang ni. Saya percaya sebab dalam keluarga kami ada yang alah dengan makanan tertentu, apa salahnya beringat-ingat.
Makanan utama yang saya berikan ialah nasi putih,bubur nasi berlaukkan ikan selar/ haruan panggang, sup ikan,tumis putih ikan dan beehon sup bebola ikan (buatan sendiri). 

Manakala hanya buah oren dan epal yang saya berikan setiap hari. Kalau kuih muih pula seperti, tepung pasung, bekang, koleh lemak, biskut kering, roti keras, kuih lapis, tepung talam dan laksam. Saya pastikan anak minum banyak air dan mempunyai rehat yang cukup. (minggu pertama, makan bersuap di atas katil...). Telur, daging, ikan tongkol, makanan laut...pantang sama sekali.
 
Selepas tiga hari anak saya mula bersuara..mama cakap nak beli helikopter remote (sesi menuntut janji.....).   Tunggu sembuh dulu... kalau beli sekarang, bukannya boleh main pun. Tak semena-mena abangnya menjawab... boleh ma... adik dah boleh main helikopter sambil baring. Ish.. siapa yang nak helikopter ni, abang atau adik (keliru...). Selepas 7 hari baru saya belikan...
Sehingga ke hari ini saya ternanti-nanti bila dia akan sakit dan menangis.  Hampa.. hari ini dia dah sembuh dan anak saya tak merungut tentang kesakitan. Cuma saya yang penat kekadang sebab nak pastikan dia tidak terlalu lasak bermain. Risaukan bentan Bayangkan, hari ke 3 tanpa disedari dia dah bermain di luar  rumah... ya Allah.... Selebihnya dia boleh tidur lena, berselera makan dan bermain macam biasa. Syukur Alhamdulillah.
*** kalau ada anak lelaki, sunatkan awal lebih baik.

Tiada ulasan: