sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Selasa, 26 Mei 2015

Bertemu Pelautku 2

Hari silih berganti, mentari masih lagi bersinar... sesuram mana pun hati dan perasaan... sinar mentari muncul setiap hari tanpa mungkir. Jika mendung di daerah saya, daerah lain tetap cerah dan ceria. Kesibukan yang menghimpit menjadikan 24 jam menjadi sangat singkat. Sepanjang hari di pejabat tiada ruang untuk lelap walau seminit. Paling tidak saya mendekati meja Kak Mah untuk bertanya khabar sambil membancuh kopi. Tenaga yang ada digunakan untuk bergerak ke sana-sini, mengadap skrin komputer, menguruskan hal pejabat dan mengurus rumahtangga membataskan ruang rehat untuk diri saya. Masa tidur itulah sahaja ruang rehat yang ada.   Mata saya ini sudah kalih dengan tidur 5 jam atau kurang dalam sehari. Teringat  kepada yang insan-insan tersayang yang tiada di sisi, antaranya arwah mak dan ayah. Paling terdekat  kakak tersayang MEK MAS BINTI MOHD pada 11 April 2015 yang pergi mengadap Ilahi.  Pemergiannya menyedarkan saya bahawa tidak perlu terlalu leka dengan urusan dunia kerana pemergian kita ini 'anytime'..tanpa pesan dan tinggalan.
Saya mencari ruang waktu untuk diri sendiri semenjak hidup sendiri, jika sebelum ini saya ada komitmen untuk suami...sekarang hanya untuk anak-anak sahaja. Bergenang air mata seketika.  Lupakan...
Selepas solat Asar, sujud dan doa bersusun kepada Ilahi saya mencapai baju T untuk mencari ruang untuk diri saya.  Saya tidak mahu penceraian menjadikan saya sedih,  masih ada 4 insan lagi yang perlu saya jaga.  Jika saya mengalirkan air mata...mereka akan lebih lagi bersedih.  Saya perlu bangkit dengan semangat.  Saya ada kerjaya, ada rumah dan masa..tetapi paling berharga..saya ada doa daripada ana-anak saya.  Itulah harta yang tidak ternilai harganya. Saya masih dalam masa menyesuaikan diri dengan situasi baru... masih mencari ruang untuk diri sendiri, menjaga kesihatan jasmani dan emosi.  Jauh sekali fikiran saya kali ini, saya tidak perlu berlengah lantas melangkah pantas demi mengejar waktu untuk berjoging.  Hati ini tertanya-tanya kenapa saya perlu ke trek joging yang agak jauh. Apa yang saya cari?  Naluri saya memberi isyarat sesuatu semenjak berjumpa dengan lelaki misteri  di trek joging, hati kecil ini terasa untuk ke sana. Pada usia sebegini, hati terasa seronok bila disapa begitu.  Disapa mesra... senyuman manis... pandangan mata yang bersinar daripada seorang lelaki dewasa...eheemmm..walaupun usianya dah melangkaui 50 tahun. Anak-anak muda tak mahunya menyapa mak cik macam saya ni. Saya terus melangkah, sambil tersenyum girang, namun niat untuk sihat tetap tersemat dalam hati tapi semangat dan motivasi juga penting pada usia begini. 
 Penatnya nak habiskan satu pusingan, apa taknya sudah bertahun saya lupakan riadah...memulakan semula amat perit.   Mata tetap meliar mencari lelaki yang menegur saya pada minggu lepas. Tak berlari ke hari ni? Mungkin dia ke trek lain agaknya.  Saya meneruskan berjalan dan sesekala berlari anak untuk ke penamat pusingan pertama. " Assalamualaikum". Suara ceria menegur." Waalaikumsalam", lajunya saya balas...maklumlah dari tadi ternanti-nanti.  Rupa-rupanya dia terlewat hari ini. Hati terus berbunga-bunga, bukan orang muda sahaja ada perasaan sebegini. Terasa nak memecut berlari mengejar lelaki misteri yang terus meninggalkan saya sebelum habis salam dijawab. Dia berlalu pantas dan cergas.  Apakan daya saya ni tak secergas dia.  
Menamatkan satu pusingan bagaikan menghabiskan 30 pusingan bagi saya. Saya berhenti di stesen riadah bagi menggerakkan tangani agar lebih cergas.  Berdebar-debar hati ini bila melihat dari jauh lelaki misteri menghampiri stesen riadah.  Ya Allah..minta-mintalah dia berhenti. Ya Allah...
Kenapa dia tak berhenti? Saya meneruskan aktiviti untuk pinggang dan kaki. Ahh...lupakan.. dia tak sedarpun kehadiran aku ni.  Saya perhatikan dari jauh yang lelaki misteri itu menyapa orang lain juga. Semua orang dia kenal.  Tak ada bezanya dengan saya ni. Dia kelihatan amat serasi dengan trek joging ini, mungkin setiap hari ke sini. 
Saya melangkah meninggalkan terk joging,sambil berlenggang kangkong,  tiba-tiba ada sesorang yang memperlahankan larian di sebelah saya.  Allah tahu agaknya perasaan saya tadi. Allah makbulkan doa saya. 
" Datang sorang"
" Iya" (..dah nampak saya keseorangan, baik budi bahasanya... berbahasa standard, bukan dialek Terengganu)
"Mana anak-anak?"
" Tak ikut, mereka training memanah, Encik datang seorang juga"
"Beginilah saya"
Dia memperlahankan larian dan berjalan beriringan. Saya memberanikan diri untuk bertanya. 
 "setiap hari ke sini?"
" dua kali sehari jika tidak berkayuh.."
" bekerja?"
" bekas pelaut.. puan?"
"Saya cikgu"
"hari ni tak ramai sangat pengunjung"
" oo gitu"
"Cikgu ni orang baru di sini"
"Iya..dah lama tak joging.."
"Bagus.Cikgu, usia macam kita ni kena riadah..buatlah apa-apa pun tapi joging ni seronok, dapat jumpa orang, lihat alam sekeliling, boleh sihat. Sihat itu percuma, sakit sahaja berbayar, " Panjang ceramahnya. Peramahnya bekas pelaut ni.
"OK cikgu, saya nak teruskan satu pusingan lagi" Itu bezanya saya dan bekas pelaut tadi, saya tak ada tenaga sehinggakan nak habiskan satu pusingan pun entah berapa kali berhenti.
Bekas pelaut meninggalkan saya di persimpangan, saya meneruskan ke  tempat letak kereta manakala dia mengambil arah ke kiri. Dalam hati berkata..jumpa lagi.. saya gelak sendirian, dia tak dengar pun..tapi Allah mendengar.
Hati berbunga girang, lebih girang bila saya pastikan yang bekas pelaut tidak datang dengan isteri.  Sah..dia datang keseorangan macam saya juga.
Saya memasang radio, best juga lagu ni...KISAH KAU DAN AKU. Saya menyanyi rangkap yang masih ingat..selebihnya hanya mendengar sehingga habis.

Teringat kisah ku di malam itu
Sejak bertemu ku rindu selalu
Tak dapat aku melupakan oh wajah mu
Telah menjadi lukisan di hati ku
Bagaikan burung yang terbang berkicauan
Riang hati ku kau jadi kekasih
Tak ingin aku akan perpisahan
Hidup ku ria tiada mengenal sedih
Tiada ku sangka mendungkan menjelma
Datang menggelapkan sinaran hidup ku
Belum puas ku merasakan hangatnya
Dingin terasa di seluruh tubuh ku
Masa berlalu kini kau telah berjaya
Malangnya aku telah kau lupakan
Tiada ku sangka begini jadinya
Kan ku hadapi sebagai satu cabaran
Waktu ku sepi ada yang hampiri
Memberi kasihnya sebagai pengganti
Telah ku lupa segala sakit di hati
Tetapi kini engkau ingin kembali
Tak mungkin aku akan menerima mu
Dan melukakan hati kekasih ku
Lupakan saja apa yang berlaku
Jadikan ini satu kisah hidup mu

Sambil melayan lagu-lagu  nostalgia yang berkumandang saya meneruskan ke destinasi yang menyimpan seribu peristiwa dan mematangkan saya.
Saya bertemu pelaut..bekas pelaut.

Bertemu Pelautku 1

Lokasi: Trek joging.
Hari : 1
Menikmati keindahan alam sebegini menjadikan saya lupa segalanya. Sambil kaki menguis dedaun kering yang gugur.  Saya meregangkan urat-urat tangan dan kaki. Bangku kecil muat-muat tubuh 'sasa' ku ini.  Sesekali mata meliar memerhatikan pasangan remaja yang menggunakan kesempatan ridah ini untuk bermesra. Saya juga begitu 28 tahun yang lalu. Kegembiraa dan kesedihan bersilih ganti di depan mata...hati saya bagaikan ditembak peluru ..bukan lagi ditusuk sembilu bila melihat pasangan dewasa dan usia emas yang bergandingan berlari dan berjalan. Bahagianya mereka. Takdir menentukan saya bersendirian. Alangkah gembira jika ada insan di sisi saya, insan yang mengurut-urut lengan dan betis takala keletihan.  ohh...alangkah....Saya tidak menyalahkan takdir, saya insan yang sangat lemah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, aturan Allah adalah terbaik.  Saya yang gagal menilai setiap kebaikan daripada apa yang berlaku.
Lamunan saya terhenti bila disapa oleh seorang lelaki lewat usia... "Awalnya berhenti, tak berpeluh pun lagi tu...". Lantas saya membalas, " selepas ni nak sambung lagi". Dia berlalu meninggalkan saya yang masih di  bangku konkrit. Saya bangun malas...perlahan-lahan mengatur langkah menyusuri trek joging. Tiba pada pusingan akhir lari-lari anak saya pada petang ini, Pada usia begini saya banyak berehat daripada berlari..penat...tapi syukur alhamdulillah sebarang penyakit belum lagi hinggap.
Jam menunjukkan ke angka 6.30 petang, saya melangkah ke tempat letak kereta. Bagaikan cerita drama masa kini...mata saya terpandang lelaki yang menegur saya tadi berada di hadapan kereta saya. Mahu tak mahu saya menyapa "tak nak balik lagi?". "Saya tinggal di situ sahaja"...aahhh..pelik..kenapa ditundingnya jari ke arah bangunan kerajaan tu. Lantaklah... 
Saya meneruskan perjalanan pulang untuk bertemu anak-anak yang seharian ditinggalkan. 

Isnin, 25 Mei 2015

PENCERAIAN BUKAN AKHIRAN...Rancang kewangan anda


Bahan yang dipaprkan ini merupakan artikel asal daripada penulis yang tercatat.  Sekadar perkongsian ilmu dan dimanfaatkan oleh semua pembaca.  Paling penting..sumber ilmu wajar dicatatkan...

Keperluan kewangan ibu tunggal




KADAR perceraian yang tinggi dan keruntuhan sistem sokongan keluarga meningkatkan jumlah ibu tunggal di negara ini.
Meskipun terdapat ibu tunggal yang berkahwin semula, masalah itu masih menjadi perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam menjaga kebajikan mereka.
Secara umumnya, wanita yang digelar ibu tunggal tergolong dalam beberapa kategori antaranya seperti wanita yang ditinggalkan oleh suami tetapi bukan melalui proses perceraian.
Mereka ditinggalkan atas beberapa sebab seperti berlaku salah faham, pertengkaran atau suami berkahwin lain.
Terdapat beberapa kes isteri yang ditinggalkan suami menganggap mereka sudah bercerai sedangkan masih belum ada perintah perceraian.
Apabila mereka ingin berkahwin semula, persoalan perundangan akan timbul kerana perceraian hanya boleh berlaku jika ada lafaz cerai atau perintah perceraian. Ini bermakna, selagi tidak ada perintah tersebut, wanita berkenaan masih dalam ikatan perkahwinan.
Keadaan menjadi lebih rumit jika wanita ditinggalkan dan terpaksa menjaga anak-anak yang masih memerlukan perbelanjaan.
Dalam beberapa siri perbincangan dengan ibu-ibu yang ditinggalkan, tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang tidak mempunyai kelulusan akademik sukar untuk mencari kerja yang sesuai sehingga terpaksa membuat pelbagai kerja untuk membesarkan anak-anak.
Ibu tunggal yang masih bersuami mengadu bahawa mereka susah untuk mendapat bantuan kerana masih mempunyai suami yang secara umumnya suami itulah yang perlu mencari rezeki buat keluarga.
Prosiding
Walaupun dari sudut perundangan Islam, keluarga sebelah suami patut mengambil tanggungjawab tersebut. Namun, adalah sukar untuk membuat tuntutan jika hubungan kekeluargaan tidak begitu baik. Ini ditambah pula dengan prosiding tuntutan nafkah yang panjang.
Menerusi kajian yang dijalankan, pengetahuan ibu tunggal tentang hak membuat tuntutan terhadap ahli waris juga rendah.
Berbeza pula dengan ibu tunggal yang bercerai kerana status mereka agak jelas. Dalam undang-undang, mereka mempunyai hak untuk membuat tuntutan nafkah idah, mutaah dan pembahagian harta sepencarian jika mereka mempunyai harta yang dibeli semasa dalam perkahwinan.
Perhatian turut diberikan oleh agensi-agensi berkaitan seperti Pusat Pungutan Zakat meskipun bapa sepatutnya bertanggungjawab memberi nafkah anak.
Walaupun terpaksa memikul tanggungjawab itu berseorangan, ibu tunggal yang bercerai lebih bernasib baik dari sudut bantuan yang dihulurkan terutama kepada anak-anak yang masih bersekolah.
Bagi wanita yang bercerai kerana kematian suami, mereka hilang sumber kewangan terutama dari sudut nafkah dan tidak boleh membuat tuntutan mutaah kerana suami sudah meninggal dunia. Mereka boleh tuntut harta sepencarian (jika ada) dan harta pusaka.
Banyak masalah timbul dalam kalangan balu termasuk campur tangan daripada keluarga suami yang tidak begitu faham tentang konsep pembahagian harta ataupun dalam hal lain, hubungan kekeluargaan yang tidak baik antara wanita tersebut dengan keluarga mertua.
Penama
Dalam beberapa kes yang diadukan, ramai yang tidak mengetahui bahawa isteri perlu membuat tuntutan harta sepencarian dahulu sebelum harta suami yang lain dibahagikan.
Konsep penama yang diguna pakai oleh agensi kewangan juga disalahertikan. Bentuk operasi perkara ini perlu dilihat semula supaya ibu yang kematian suami mendapat pembelaan.
Lebih menyedihkan lagi jika suaminya mati mengejut seperti kematian yang melibatkan kemalangan. Terdapat juga kes waris mendapatkan perintah pembekuan harta si mati sementara menantikan proses pembahagian harta selesai.
Jika semua harta si mati dibekukan tanpa mengambil kira keperluan isteri yang ditinggalkan selain isteri menanggung anak-anak atau mengandung, maka ianya menjejaskan kebajikan isteri terutama dari sudut kewangan.
Gambaran di atas menunjukkan beberapa kisah masyarakat yang timbul melibatkan isu-isu perundangan yang perlu diberi perhatian kerana keadaan sedemikian menjejaskan keperluan kewangan ibu tunggal sama ada mereka ditinggalkan di atas sebab yang pelbagai.
Masalah akan menjadi lebih rumit jika ia melibatkan anak-anak yang memerlukan bantuan kewangan besar.
Ramai dalam kalangan graduan universiti yang terpaksa mencari pekerjaan tambahan disebabkan ibu bapa bercerai dan hilang sistem sokongan keluarga.

PANJAT TINGGI-TINGGI..INGAT-INGAT SIKIT...BILA JATUH.. SANGAT SAKIT

Kali pertama telinga ini mendengar ungkapan ..PANJAT TINGGI-TINGGI... INGAT-INGATLAH SIKIT... BILA JATUH TU... SAKIT. Terkejut pun tidak... terpingga-pingga pun tidak. Ungkapan yang menjentik minda untuk saya terus berfikir. Bagi diri saya yang daif ini, ungkapan tersebut bukanlah amaran.  Saya tidak pernah mengancam sesiapa atau tidak pernah dengar daripada sesiapa yang mereka terancam kerana saya. 
Masa yang ada membuat saya terus berfikir..kenapa saya tidak meminta pengungkap tadi mengulas lanjut.  Saya pula perlu berfikir, bila saya berfikir sendirian... jawapannya mungkin tidak sama dengan apa yang dimaksudkan. 
Saya balik ke bilik bersama secawan kopi o tanpa gula dan 4 keping biskut kering. 
Bila saya bersandar di kerusi...  angan-angan saya melangit.  Alangkah seronoknya bila dapat memanjat pokok Yang tinggi... yang sangat tinggi..kaki ini terasa begitu bersemangat.. Saya bukan seorang yang gayat.
bila saya bayangkan yang saya berada di bawah pokok... alangkah seronoknya bila berada di tempat yang tinggi.. lebih-lebih lagi dapat panjat pokok... pokok rimbun..berbuah lebat..alangkah....
Realitinya 
Sekarang bila saya sendirian... tak tahu tinggi mana pokok yang saya telah panjat....atau akan saya panjat. Penilaian ketinggian itu berbeza, bagi saya pokok tersebut tinggi tapi tidak bagi anda.

kenapa bila jatuh tu sakit
realitinya..
siapa diri kita..siapa saya.
Siapa saya di mata penutur itu?
Adakah saya kaca
saya kertas
saya plastik
saya daun
saya buah... buah pun berada di tempat yang tinggi
Saya hanya manusia biasa yang gemarkan tempat yang selesa... tinggi... jauh daripada hiruk-pikuk...
saya adalah bola ...  bola besar..yang sangat besar dan kuat
Jika saya jatuh dari tempat tinggi
saya akan melantun...saya tidak akan sakit...saya tidak akan kecewa..jauh sekali berputus asa.
Saya akan terus bergolek...

Saya akan terus memanjat..dan memanjat setinggi mungkin..saya akan bersedia untuk membawa bekalan dan ilmu yang secukupnya..andai kata saya jatuh.. saya sangat bersedia.

Renungan diri; PENCERAIAN BUKAN AKHIRAN