sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Sabtu, 17 Mac 2012

JAMBU AIR MAWAR / JAMBU MAWAR/ Syzygium jambos

JAMBU AIR MAWAR / JAMBU MAWAR/ Syzygium jambos

Tarikan utama pohon ini ialah keharuman bau buahnya, seharum mawar.  Wajarlah dipanggil jambu mawar atau jambu air mawar.  Kalau di kampung saya dulu dikenali sebagai jambu air mawar. Buahnya menjadi rebutan anak-anak di kampung. Rasa manis serta harum membangkitkan selera sesiapa sahaja. Pada zaman kecil... saya ternanti-nanti dan hampir setiap hari bertanyakan ibu, bila boleh dipetik buah jambuair mawar itu. Pokok berketinggian hingga 10m serta bercabang rendah dan melebar sesuai dijadikan teduhan di laman rumah. Bentuk daunnya pula panjang membujur, permukaan atas yang licin serta mempunyai warna hijau pekat. Bentuk pokonya juga cantik dengan warna hijau pekat.

Daun pokok jambu air mawar ni saya pungut di kawasan Fakulti Pendidikan UKM. Di sekitar fakulti ini terdapat lebih daripada 6 pokok jambu air mawar yang menjadikan kawasan sekitar redup dan sejuk.  Malah buah jambu ini juga menjadi kegemaran monyet-monyet liar yang bertandang saban hari. Monyet pun makhluk Allah macam kita jugak tahu pilih mana yang baik. :)

Pokok jambu air mawar ini mempunyai bunga yang wangi dan kekuningan dan kehijauan, setiap tangkai bunga terdapat 4-10 kuntum dengan lebar 5-10 cm. Kelopak bunga pula ada  mahkota dan benang sari yang mampu menarik lebah madu. 

Kebetulan semasa saya meninjau-ninjau pokok itu, hanya terdapat sebiji sahaja buah yang sudah matang. Apa lagi, terus petiklah...tapi tak semudah yang disangka, kiranya berperang jugalah dengan sang kerengga. Buah berbentuk bulat telur, dengan garis tengah antara 2,5-5 cm, bermahkota daun kelopak dan tangkai putik yang tidak begitu panjang. Warna buah yang matang/masak kuning keputihan, kehijauan. Pernah juga terbaca ada buah yang warna kemerahan tapi tak pernah jumpa pun di kampung saya dan sekitarnya. Saya tak sabar lagi nak memakan buah jambu ni...Bila dipecahkan buah tadi....pastinya yang mula-mula sekali.... wangi menusuk ke hidung. Wangi lembut... Daging buah agak kering, memang harum berbau mawar dan berasa agak manis.

Ini pula bentuk biji jambu air mawar ni... Saya simpan elok-elok dan esok-esok nak minta suami semaikan. Harap-harap bercambah dan dapat ditanam. Teduhlah laman rumah saya nanti. Insya Allah.


1 ulasan:

Bro-J berkata...

Salam...Puan ,
Jika ada biji benih jambu tersebut boleh tak pos kepada saya,..nanti saya bayar berapa harga tersebut sebab saya dah lama cari biji jambu mawar atau benih pokok..
SAya jasri dari Penang
013-4314131