sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Jumaat, 18 Disember 2015

Kaswi Pandan Lemak


Dr Fouziah
Semasa saya kecil dulu..kuih kaswi ni sinonim dengan kuih untuk orang sakit atau orang demam.
Orang kampung saya sebut KUIH KUSU... makanan orang sakit... saya pula kerap diajak ibu saya menziarah tetangga yang sakit. Mata saya tak lepas dari memandang kuih KUSU ni... tangan ni terasa bergerak-gerak ke arah pinggan berbunga merah di tepi bantal orang sakit. Budak lagi masa tu... sehingga beberapa kali saya menelan air liur. Maklumlah dengan selera dan tubuh saya yang besar tu... semua makanan nampak sedap.  Tapi bab kuih KUSU ni..tak boleh tipu... memang betul-betul menggoda selera.  Cukup rasa... lemak... manis... masin... digaul kelapa muda yang diparut.  Saya dengan penuh kesopanannya (walaupun ketika itu hanya memakai seluar katak sahaja... tanpa baju) mencuit tangan mak saya dan tunjuk ke arah kuih KUSU tu.  Permintaan budak kannnn....Alhamdulillah..dapat sepotong... tuan rumah beri...sedapnya... saya jilat semua tangan dan kelapa yang melekat di tangan saya. Sungguh nostalgia... walaupun tangan saya ketika itu hitam legam entah apa yang saya pegang sebelumnya (biasanya saya bermain korek tanah buat telaga atau melukis di dinding rumah dengan arang..).Cukup indah kenangan bersama ibu yang dapat saya coretkan untuk nak cucu saya. Hanya itulah kenangan yang dapat saya catat.  Itulah sebabnya bila terbaca resepi Kaswi Pandan Lemak ni.. terus saya membuat keputusan...SAYA NAK MASAK KUIH KUSU HARI NI JUGA.  HARI INI... Resepi pun mudah sahaja.Bertuahnya jadi kak besah...  Terima kasih yer kak... siapa gerangan kak besah ni? Resepi ni daripada  KAK BESAH  Sekali cuba terus menjadi...
Saya sediakan bahan untuk satu adunan.  Walaupun rasa sedikit berbeza dengan yang saya makan 40 tahun yang lalu.  Tapi...Tak sampai 1 jam terus sediakan 1 lagi adunan. Rezeki jiran-tetangga ... walaupun tetangga tidak sakit... Marilah cuba..boleh bawa ke pejabat...beri kpd jiran atau sesiapa sahaja.
  • 1 cwn tepung gandum
  • 1 cwn tepung ubi kayu
  • 1 cwn santan
  • 1 1/2 cwn air perahan daun pandan (5 helai)
  • 3/4 cwn gula pasir
  • 1/2 sudu teh air kapur sireh
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 bj telur
  • beberapa titik pewarna hijau.
  • secawan kelapa parut + secubit garam.

Cara-cara

  1. Panaskan pengukus
  2. Minyakkan loyang pengukus.
  3. kacau sebati tepung gandum, tepung kanji, gula bersama air pandan & telur. 
  4. Masukkan bahan2 lain. kacau hingga tidak bergentel. 
  5. tapis adunan
  6. Masukkan adunan ke dlm loyang, jangan terlalu tebal
  7. kukus sehingga masak.. sekitar 20-25 minit. 
  8. Bila dan agak sejuk. potong dan gaulan dengan kelapa yang telah dicampur dengan garam.

Tiada ulasan: