Bahan yang dipaprkan ini merupakan artikel asal daripada penulis yang tercatat. Sekadar perkongsian ilmu dan dimanfaatkan oleh semua pembaca. Paling penting..sumber ilmu wajar dicatatkan...
Keperluan kewangan ibu tunggal
KADAR perceraian yang tinggi dan keruntuhan sistem sokongan keluarga meningkatkan jumlah ibu tunggal di negara ini.
Meskipun terdapat ibu tunggal yang berkahwin semula, masalah itu
masih menjadi perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam menjaga
kebajikan mereka.
Secara umumnya, wanita yang digelar ibu tunggal tergolong dalam
beberapa kategori antaranya seperti wanita yang ditinggalkan oleh suami
tetapi bukan melalui proses perceraian.
Mereka ditinggalkan atas beberapa sebab seperti berlaku salah faham, pertengkaran atau suami berkahwin lain.
Terdapat beberapa kes isteri yang ditinggalkan suami menganggap
mereka sudah bercerai sedangkan masih belum ada perintah perceraian.
Apabila mereka ingin berkahwin semula, persoalan perundangan akan
timbul kerana perceraian hanya boleh berlaku jika ada lafaz cerai atau
perintah perceraian. Ini bermakna, selagi tidak ada perintah tersebut,
wanita berkenaan masih dalam ikatan perkahwinan.
Keadaan menjadi lebih rumit jika wanita ditinggalkan dan terpaksa menjaga anak-anak yang masih memerlukan perbelanjaan.
Dalam beberapa siri perbincangan dengan ibu-ibu yang ditinggalkan,
tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang tidak mempunyai kelulusan
akademik sukar untuk mencari kerja yang sesuai sehingga terpaksa membuat
pelbagai kerja untuk membesarkan anak-anak.
Ibu tunggal yang masih bersuami mengadu bahawa mereka susah untuk
mendapat bantuan kerana masih mempunyai suami yang secara umumnya suami
itulah yang perlu mencari rezeki buat keluarga.
Prosiding
Walaupun dari sudut perundangan Islam, keluarga sebelah suami patut
mengambil tanggungjawab tersebut. Namun, adalah sukar untuk membuat
tuntutan jika hubungan kekeluargaan tidak begitu baik. Ini ditambah pula
dengan prosiding tuntutan nafkah yang panjang.
Menerusi kajian yang dijalankan, pengetahuan ibu tunggal tentang hak membuat tuntutan terhadap ahli waris juga rendah.
Berbeza pula dengan ibu tunggal yang bercerai kerana status mereka
agak jelas. Dalam undang-undang, mereka mempunyai hak untuk membuat
tuntutan nafkah idah, mutaah dan pembahagian harta sepencarian jika
mereka mempunyai harta yang dibeli semasa dalam perkahwinan.
Perhatian turut diberikan oleh agensi-agensi berkaitan seperti Pusat
Pungutan Zakat meskipun bapa sepatutnya bertanggungjawab memberi nafkah
anak.
Walaupun terpaksa memikul tanggungjawab itu berseorangan, ibu tunggal
yang bercerai lebih bernasib baik dari sudut bantuan yang dihulurkan
terutama kepada anak-anak yang masih bersekolah.
Bagi wanita yang bercerai kerana kematian suami, mereka hilang sumber
kewangan terutama dari sudut nafkah dan tidak boleh membuat tuntutan
mutaah kerana suami sudah meninggal dunia. Mereka boleh tuntut harta
sepencarian (jika ada) dan harta pusaka.
Banyak masalah timbul dalam kalangan balu termasuk campur tangan
daripada keluarga suami yang tidak begitu faham tentang konsep
pembahagian harta ataupun dalam hal lain, hubungan kekeluargaan yang
tidak baik antara wanita tersebut dengan keluarga mertua.
Penama
Dalam beberapa kes yang diadukan, ramai yang tidak mengetahui bahawa
isteri perlu membuat tuntutan harta sepencarian dahulu sebelum harta
suami yang lain dibahagikan.
Konsep penama yang diguna pakai oleh agensi kewangan juga
disalahertikan. Bentuk operasi perkara ini perlu dilihat semula supaya
ibu yang kematian suami mendapat pembelaan.
Lebih menyedihkan lagi jika suaminya mati mengejut seperti kematian
yang melibatkan kemalangan. Terdapat juga kes waris mendapatkan perintah
pembekuan harta si mati sementara menantikan proses pembahagian harta
selesai.
Jika semua harta si mati dibekukan tanpa mengambil kira keperluan
isteri yang ditinggalkan selain isteri menanggung anak-anak atau
mengandung, maka ianya menjejaskan kebajikan isteri terutama dari sudut
kewangan.
Gambaran di atas menunjukkan beberapa kisah masyarakat yang timbul
melibatkan isu-isu perundangan yang perlu diberi perhatian kerana
keadaan sedemikian menjejaskan keperluan kewangan ibu tunggal sama ada
mereka ditinggalkan di atas sebab yang pelbagai.
Masalah akan menjadi lebih rumit jika ia melibatkan anak-anak yang memerlukan bantuan kewangan besar.
Ramai dalam kalangan graduan universiti yang terpaksa mencari
pekerjaan tambahan disebabkan ibu bapa bercerai dan hilang sistem
sokongan keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan