sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Jumaat, 13 September 2013

Gulai ikan haruan

Masih segar dalam ingatan,  Bila ada adik beradik atau saudara mara berkhatan.. ikan haruanlah menjadi hidangan utama.  Bukan itu sahaja, ibu-ibu bersalin pun makan ikan haruan.  Emak saya pernah bercerita, anak ikan haruan, katanya menjadi ubat mujarab bagi kaum ibu... letak ikan dalam mangkuk.. dan.. sudukan macam makan cendol...  telan... Ya Allah, saya geli geleman mendengarnya. Akhir-akhir ni barulah ada pil dan pati pelbagai... 
Biasanya ikan haruan dijadikan sup, dipanggang, digoreng atau digulai...ada juga dijadikan ikan kering.  Saya penggemar no 1 ikan haruan, patin, keli, baung dan kaum kerabatnya. Sedap dan manis rasanya.  Saya pula tak terganggu selera bila dikatakan kepala ikan haruan macam kepala ular.  Ok What?
Banyak khasiat seperti diceritakan  di blog pohonmas dan Blog Pendangjoran nie
1. Mengandungi asam amino dan lemak yang dapat menyembuhkan luka dalam perut serta amat baik untuk mengubati penyakit gastrik
2.Vitamin A yang membantu menambah daya penglihatan, melembapkan kulit dan bertindak sebagai anti oksidan yang melambatkan proses penuaan.
3.Mengandungi asid arakidonik yang tinggi yang membantu memulakan proses darah menjadi beku dan bertanggungjawab untuk pertumbuhan semula sel baru.
4.Glisin dari ikan haruan (merangkumi asid aspartik dan glutamik) yang merupakan satu daripada komponen penting kolagen dalam kulit manusia akan membentuk molikul protein yang penting untuk pertumbuhan semula dan penyembuhan.
5.Mengurangkan sakit selepas pembedahan
6.Lendir ikan haruan mengandungi asid oleik dan linolik tak tepu iaitu komponen utama lipid sepenuhnya.
7.Ikan Haruan mengandungi kolagen yang tinggi yang membantu mencantikkan kulit
8.Kandungan antiseptik yang terdapat di dalamnya pula berupaya mencegah pembiakan bakteria dan menyembuhkan luka dalam tempoh lebih cepat

Beria-ia saya membongkar khasiat ikan haruan, apa lagi... beli dan boleh dijadikan gulai untuk hidangan. Ini resepinya.
1 ekor ikan haruan -+ 500g
2 sb rempah gulai Cap Bunga Rose ( ..kalau nak beli contact saya... saya pos... rempah yang besstttt...)
1 sb rempah masak Cap Bunga Rose
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci lengkuas
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
5 biji pelaga
2 sudu besar serbuk cili
1/2 sk serbuk kunyit
2 sudu besar kerisik/ nyiur gula
2 cawan pati santan + 4 cawan air
2 sudu besar pes asam jawa- kalau tak suka masam letak 1 sudu besar sahaja
minyak untuk menumis
1 ikat daun kesum
gula melaka

garam

Dr Fouziah Mohd
Inilah rupa ikan haruan yang saya beli tu.  Beli yang siap disiang ... jika tidak... entah bila nak siang.. siap beranak-pinaklah ikan tu...
Dr Fouziah Mohd
-Bersihkan ikan haruan dan lumurkan dengan tepung gandum, basuk lagi sehingga bersih tepung gandum tadi.
- Lumurkan 1 sudu besar pes asam jawa kepada ikan tadi.
- mayang halus 2 ulas bawang merah
- Kisar bawang merah selebihnya, bawang putih, halia, lengkuas.
- gaulkan bahan kisar dengan rempah kedua-dua gulai tadi dan serbuk kunyit.
- Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah mayang tadi, kayu manis, bunga lawang, cengkih dan pelaga. 
-masukkan serbuk cili yang dicampur dengan air( jadikan pes)- tumis sehingga wangi dan garing
-Kemudian letakkan rempah dan bahan kisar ke dalam periuk
-tambahkan 2 cawan air, kerisik, pes asam jawa, gula melaka, garam
-masak 10 min
-Bolehlah dimasukkan pati santan dan air selebihnya- masak selama 10 minit lagi
-masukkan ikan haruan yang dilumur asam jawa
- masukkan daun kesom, biarkan sehingga betul-betul masak dan sebati semua rasa- biarkan mereneh dengan api yang kecil.

**** Rugi kalau tak cuba..langsung tiada bau ikan haruan... isinya pejal dan sedap..

Tiada ulasan: