sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Khamis, 30 Januari 2014

PATI lebih istimewa daripada pelajar kita

Saya tertarik dengan laporan yang disiarkan ini.
KERA DI HUTAN DISUSUKAN..ANAK SENDIRI BAGAIMANA?
Untuk Renungan bersama... siapa kita... siapa dia...?
 Artikel ini disiarkan dalam Harian Metro 29 Januari 2014
Semoga membuka minda dan mata kita semua


Oleh Yaacob Abdul Rahim
Bagi orang bujang di Lembah Klang, RM20 hingga RM25 sehari untuk belanja makan dan minum sudah mencukupi jika mereka sekadar menjamu selera di gerai, restoran mamak atau tomyam.
Lainlah kalau memilih restoran mewah atau hotel, RM200 pun mungkin belum tentu cukup. Itupun agak mustahil bagi orang bujang atau pasangan sudah berkahwin makan di restoran mewah berkenaan setiap hari. Maklumlah, tekak orang kita lebih kepada juadah dihidangkan restoran biasa.

Begitu juga dengan pelajar di asrama sekolah. Kebiasaannya kos makan mereka ditetapkan hanya antara RM10 dan RM15 satu kepala setiap hari oleh pengurusan sekolah. Pandai-pandailah pengendali dewan makan menyediakan menu kepada pelajar terbabit asalkan mendapat kelulusan pihak sekolah. Peruntukan itu mungkin lebih sedikit bagi pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi awam yang masih mengamalkan sistem ‘makan kawah’. Itupun, jumlahnya mungkin tidak sampai RM20 sehari.

Bagaimanapun, saya agak terkejut apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 4 Januari lalu mendedahkan bahawa kerajaan secara purata terpaksa menanggung perbelanjaan kira-kira RM75 sehari bagi setiap pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan di 13 Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara.

Ketika pengumuman itu dibuat, dianggarkan 6,500 PATI sedang ditahan, bermakna perbelanjaan kira-kira RM500,000 sehari diperlukan untuk menanggung mereka.


Beliau memberi alasan, kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan PATI terbabit di Depot Tahanan Imigresen ekoran keengganan negara asal menerima mereka kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Sehubungan itu, tidak hairanlah kenapa banyak pihak mempertikaikan kenapa kerajaan perlu mengeluarkan belanja terlalu tinggi kepada PATI terbabit sedangkan kalau mereka bekerja pun, upah yang diterima tidaklah sebegitu tinggi.

Sebagai contoh, PATI yang bekerja di sektor pembinaan hanya dibayar antara RM30 hingga RM40 sehari kalau mereka belum cukup mahir. Bagi yang rajin bekerja lebih masa, dapatlah RM30 lagi, itupun terpaksa bertugas hingga lewat malam.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula kos menanggung PATI terbabit.

Presidennya Azih Muda seperti dilaporkan BERNAMA pada 10 Januari lalu berkata, kos tanggungan warga asing terbabit sebanyak RM75 seorang sehari terlalu tinggi dan mencadangkan ia diturunkan kepada RM35.


Menurutnya, kos RM75 sehari bermakna RM2,250 sebulan dibelanjakan kepada seorang PATI sedangkan ada penjawat awam hanya berpendapatan bulanan di bawah RM900.


Itu tidak termasuk rakyat tempatan lain terutama golongan petani, nelayan, buruh serta majoriti penduduk kampung yang berpendapatan bawah RM1,500 setahun. Azih berkata kos yang tinggi sehingga mencecah RM500,000 sehari itu seolah-olah menggambarkan kerajaan memberikan layanan istimewa kepada warga asing yang memasuki negara ini secara haram.


CUEPACS, katanya, berpendapat jika bebanan kerajaan itu dikurangkan, peruntukan berkenaan dapat disalurkan untuk kebajikan rakyat seperti meningkatkan gaji dan elaun penjawat awam, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan sebagainya.


Pendapat beliau tentu berasas. Seperti yang dimaklumi, sepanjang PATI terbabit menceroboh masuk ke negara kita, satu sen pun mereka tidak membayar cukai. Malah, mereka turut menerima subsidi kerajaan jika membeli bahan api dan beberapa jenis bahan makanan seperti beras dan tepung gandum. Lebih membimbangkan apabila kerajaan kini sedang mengadakan Ops Bersepadu 6P yang dilancarkan di seluruh negara pada 23 Januari lalu.


Lebih ramai PATI ditangkap bermakna kos menanggung mereka di depot imigresen juga makin meningkat. Apatah lagi apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji bahawa operasi di seluruh negara itu tidak akan dihentikan sehingga semua 400,000 pendatang terbabit yang dipercayai masih berada di negara ini dapat diburu. Dan, mereka akan diusir dari negara ini dalam tempoh tujuh hari selepas ditangkap.


Walaupun beliau memberi jaminan bahawa majikan akan dipertanggungjawabkan untuk menanggung kos PATI yang ditahan di depot berkenaan, ia mungkin bukan semudah yang dijangka.


Saya yakin majoriti yang ditahan tiada majikan tetap kerana mereka bekerja berdasarkan panggilan harian daripada tauke yang mengenali mereka. Dan, bagi si tauke yang bijak bermain wayang kononnya tidak mengenali mereka bagaimana pula? Adakah kos itu terpaksa ditanggung kerajaan? Itu tidak termasuk negara asal mereka yang enggan menanggung kos berkenaan dengan alasan itu bukan tanggungjawab mereka.


Sebagai anak watan, penulis yakin majoriti rakyat Malaysia menyokong tindakan kerajaan terutama Jabatan Imigresen melaksanakan operasi menahan dan mengusir PATI yang sudah lama bagaikan beraja di hati, bersultan di mata.


Walaupun bukan semua, ramai PATI berkelakuan seperti Malaysia tanah air sendiri hingga mengguris perasaan rakyat tempatan. Adat resam dan nilai murni kita langsung tidak dihormati hinggakan ramai berasa rimas dengan kehadiran mereka.


Sehubungan itu, penulis bersetuju dengan pendapat Azih agar kos RM75 sehari itu dikurangkan segera. Bagaimanapun bukan RM35 seperti yang beliau cadangkan tetapi cukup sekadar RM15 sehari.


Kalau pelajar sekolah asrama sudah cukup dengan peruntukan sebanyak itu, takkanlah PATI mahu merungut. Lagipun, sudah lama mereka mengumpul kekayaan di negara ini secara haram. Kalau mahu makan lebih sedap, gunalah wang yang banyak dikumpul itu!

Tiada ulasan: