sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Isnin, 31 Disember 2012

DAGING BURGER waalaaa...huulaaa....

Usia bertambah...sakit sana...lenguh sini...kesihatan kena jaga..tapi selera ni masih macam remaja..
Kalu anak makan ais krim..saya pun makan sama... bila anak makan kek.. saya ambil sekeping dua.. kalau anak makan bubur lemak..saya rasa semangkuk aja... Daging dan ayam..usah cerita....hentam aja... Kalau anak makan sosej, saya kunyah sebatang dua.. kalau mereka makan burger..saya ni mereka tak lupa.. TAPI.. kalau anak beriadah....saya duduk tepi taman.. sambil perhatikan keselamatan mereka.Penat nak jogging. :) (** tadi sy pergi check paras kolestrol dalam darah setelah setahun lebih tak check).
Fenomena sekarang, makanan segera keliling pinggang... jenuh nak bersilat dengan anak nak kurangkan daripada mereka makan. Sehingga percakapan saya menjadi penuh fakta yang menjemukan mereka. Kenapa orang lain boleh makan? Rasa kasihan kekadang muncul...urut dada... cari alternatif lain... Saya masih percaya, masakan di rumah sendiri adalah yang TERBAIK. Setelah melihat dan membaca beberapa resepi maka... hari ini saya berjaya memasak resepi Daging Burger Waalaa..Huulaa saya ni.. memang asli daripada saya.
fouuzie.blogspot.com ( dr.fouziah)
bahan-bahannya:
5 cawan daging kisar
1 labu  bawang besar
5 helai daun bay kering( kalau ada serbuk pun boleh)
2 sudu besar serbuk daun dill
1 sudu kecil serbuk ketumbar
2 sudu kecil serbuk jintan manis
2 sudu besar serbuk cili 
1 sudu besar serbuk lada hitam
4 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar gula
2 sudu teh besar garam
4 sudu bawang goreng
1 biji telur

-Kisar bawang goreng dan daun bay.
-Daging kisar di campur dengan kesemua bahan yang disenarai di atas termasuklah bahan kisar tadi kecuali tepung gandum.
fouuzie.blogspot.com (dr fouziah)
-Bila dah sebati, masukkan gandum sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh dibentuk.
-Bentukkan bulat mengikut saiz yang dikehendaki dan leperkan.(Saya doublekan size daging berbanding yang ada dipasaran..mantap...)
-Panaskan kuali non-stick dan lenserkan sedikit minyak dengan tisu dapur.

- Bakar daging kedua-dua belah sehingga masak.
(kalau nak guna grill atau bara arang pun boleh...)
-Bolehlah dihias mengikut selera masing-masing.
Saya gunakan timun, salad dan bawang besar.
***Sos juga boleh dipelbagaikan atau diadun kesemua sos yang ada di dapur tu..jangan risau..selagi tak sakit perut..kira bolehlah.
Baca sudah.. apa lagi... kena cuba tau.. 
MEMANG SEDAP.. JUICY LAGI.. LEMAK..MANIS.. MASIN..waalaa..Huulaa...
makan sebiji pun dah kenyang...urrps.. ALHAMDULILLAH


BERKHATAN 2-TUTORIAL CARA/ FESYEN IKAT KAIN BERKHATAN

Setelah mencuba dan mencuba.... akhirnya.... terdapat beberapa cara yang anak saya selesa  memakai kain semasa berkhatan.(bagi mengelakkan berbogel..walaupun di dalam bilik dan sendirian..)
Sebelum tu, persediaan tempat tidur yang selesa dan bersih...dan kain gantung di tempat tidur. Suami saya gantungkan penyangkut pada siling, gantung tali dan ikatkan selimut bagi memudahkan mengelakkan kain terkena anu anak. Bukan main enjoy lagi.. sebelum berkhatan pun dah cuba masuk tidur.
Satu perkara lagi ialah cara mengikat kain.  Anak saya mempunyai kain pelikat kecil dia sendiri, ini lebih mudah bagi mereka berbanding kain pelikat saiz dewasa.
Cara biasa ialah dengan memakai kain dan anak saya mengangkat pada bahagian hadapan. kalau kain pelikat dewasa... Cuba yang ni...
Ini cara 'Flintstone...' 
Cara di bawah ni pulak diperkenalkan oleh doktor yang khatankan anak saya. Mudah dan anak tidak perlu lagi memegang kainnya. Caranya ialah:
mula-mula..pakai macam biasa dan tarik bahagian berjahit ke depan dan lipat beberapa kali mengikut sait kain dan budak.. saya lipat 3 kali.
Uishh...macam buat kuih,,step by step ..Ok..lepas tu..ambil bahagian hujung kain tadi dan pusingkan sehingga ketat macam ni..
Dah nak siap dah....minta anak kempiskan perut...tahan nafas... dan..selitkan di bahagian dalam...
.... dah siap pun. Selesa dan Selamat. Inilah hasilnya
Selepas seminggu anak saya mula selesa tetapi masih tidak mahu memakai seluar trek atau boxer.  Saya pun dah bosan melihat dia berkain pelikat. Cuba tengok bagaimana saya kerjakan anak saya tu.
Haaaa... hensem dan selesa.Sempat juga 3 hari dia memakai fesyen baru ni. Kain apa tu? Saya memilih selendang/ shawl yang bercorak tidak macam perempuan (saya kipnap seledang anak perempuan saya).  Pilihan corak bintang disetujui anak saya. Cara memakainya cukup mudah, hanya perlu ikat pada bahagian depan.
 Cukup selesa dan ringan baginya untuk bergerak ke sana-sini. Saya pernah terdengar ada anak-anak kawan yang bersunat tak selesa memakai kain dan berbogel di dalam rumah. Sepatutnya perkara sedemikian tidak berlaku dan anak perlu dimaklumkan dengan tegas agar malu dan aurat. Cubalah tutorial ni..harap membantu terutama ibu/bapa muda.

Selasa, 25 Disember 2012

BERKHATAN (1) - SUNAT/ MASUK JAWI

Dengar pun dah rasa takut.... KHATAN. Saya tergerak untuk berkongsi kisah dan pengalaman  anak bongsu saya berkhatan (selayaknya saya panggil bongsu sebab kalau saya dukung baby tentu ada yang bertanya, cucu ker...). Dia telah lama bersedia, walaupun baru berumur 8 tahun.  Saya dan suami aja yang lenggah-lenggahkan..kecik lagi.Kini sudah sampai masa yang sesuai. Apa persediaan yang perlu? Kalau dulu-dulu, masa bersunat ada rotan, ada tempurung untuk diketuk pada lutut bagi mengelakkan daripada tegang. Rotan pula diselit di pinggang bagi mengelakkan kain terkena anu. Ada batang pisang... Sekarang dah menjadi sejarah....

Pada fikiran saya khatan ni sekejap aja .. potong... jahit dan balik. (macam boleh buat sendiri aja... ..????). Rupanya tak semudah yang disangka. Keadaan anak saya berbeza dengan anak pembaca dan berbeza juga dengan abangnya yang berkhatan 3 tahun lepas.
Suami menerima  panggilan daripada klinik pada jam 4.00 petang  10.12.2012 menetapkan masa untuk berkhatan. Keesokannya 11.12.2012, semenjak di rumah anak saya dah bersedia, makan,  mandi serta solat Zuhur. Bila dah sampai di klinik anak saya tu memang konfiden 100%. Pesakit lain pun hairan, berani dan gembira.  Usikan abang dan kakaknya sedikit pun tak menjejaskan semangat dia.  Tiba giliran anak saya, ditakdirkan ada pesakit lain yang agak kritikal memerlukan rawatan lebih awal.... sakit jantung katanya.. maka menunggulah kami selama 1 jam sambil memerhati  pelbagai karenah anak.  Sekejap tidur,baca buku, lepas tu menonton TV, berlari ..pendek kata macam-macam.  Namun riak gelisah sesekala terpancar. Kenapa lambat sangat ni..keluh dia. Selepas pesakit jantung tu keluar, anak kami pun masuk dan sapaan mesra doktor menambah keyakinan anak saya.  Selepas disuntik,anak saya keluar untuk menunggu dan tak lama lepas tu, sekitar jam 3.40 petang anak saya dibawa masuk ke bilik rawatan.  Barulah kelihatan sedikit pucat di wajahnya ( baru nampak wajah sebenar...) Doktor berbual-bual dan membacakan doa bersama-sama. Saya dah mula risau. Dalam hati, sikit aja tu.. tak sakitlah...saya memujuk hati sendirian. Ini pengalaman pertama saya melihat anak berkhatan. Anak lelaki pertama dulu berkhatan sekali dengan pembedahan hernia di bilik bedah, jadi kami tak dapat lihat.
 fouuzie.blogspot.com
Semasa pemeriksaan lanjut, muka suami saya berubah bila doktor maklumkan yang anu anak saya buta sambil doktor menunjukkan kepada kami.  Susahnya saya nak faham. Ada juga yang BUTA? Buta ni merujuk kepada anu yang melekat dan kepala yang tak boleh dikeluarkan habis.  Suami saya dan saya sendiri tak pernah periksa... selagi ada benda tu..selagi boleh kencing elok... kira ok.. normal. Pembaca perlu ambil tahu kedudukan dan keadaan anu anak sebelum berkhatan.  Doktor cakap  ianya perkara biasa sambil menerangkan prosedur  yang akan dilakukan secara ringkas. Kami mengiakan aja apa yang diterangkan.. nak bantah? Ada berani? Apa yang kami tahu? Kepercayaan kami tinggi kepada doktor kerana dia bertugas di hospital pakar. Kami percaya dia dan semua doktor akan lakukan yang terbaik.(sesiapa sahaja cuba lakukan yang terbaik dalam kerjaya termasuklah kita semua..at least kita cuba kannnn...). Saya melihat sendiri bagaimana doktor menarik kulit luar sehingga ketat, sepit dan memotong sedikit demi sedikit (Begitu rupanya..). Terasa ngeri... ada darah..(saya mabuk darah). Saya dah mula rasa nak pitam.... pening....nak jatuh...Aduhai...si anak pula asyik nak pegang tangan mama. Doktor sempat suruh saya duduk dan berehat.  Kalau tidak, mahunya saya yang dirawat. Jangkaan awal saya meleset sama sekali.. susa h rupanya. Agak rumit kerana doktor perlu memotong bahagian yang tertutup dahulu sedikit demi sedikit sambil kikis (betul ker istilah ni) agar terasing kulit dan isi.Selepas itu barulah potong bahagian kulit dan seterusnya menjahit. Amat teliti, maklumlah bahagian sensitif. Kalu saya... dah surrender agaknya. Ketika sedang dijahit inilah anak saya bersuara...(istilah saya menjerit manja..) Aduh..Ssakit..sakit...sakitnya ma.. doktor terpaksa menambah sedikit lagi ubat kebas. Terasa sedih dan suspen jugak masa tu... Apa taknya, kalau dah mula menjerit tak kenal dunia entah-entah kena 'tidur' kan budak tu. Saya berpeluh sejuk sambil memegang tangan anak, sambil saya ajar mengucap, bacakan ayat-ayat Quran dan mengusap kepalanya. Dulu saya tak mabuk darah, semenjak muda kembali ni..lain macam sikit. Memang tak lekang dengan bacaan ayat Quran di telinganya. Berlinangan air matanya. Kesian tenguk dia, tapi saya tabik... semangat kental. Hasilnya saya yang pening-pening kepala ....berpeluh sejuk... uuuh. Operasi potong-memotong dan jahit-menjahit selesai setelah doktor membalut, (anak saya yang dulu tak berbalut..). Doktor mengajar cara mengikat kain kepada kami. Keseluruhannya mengambil masa hampir 1 jam termasuklah konsultansi. Sebelum keluar, anak saya sempat posing dengan doktor. Doktor menerangkan tentang komplikasi yang mungkin berlaku, rawatan dan penjagaan di rumah.Bahagian yang dikhatan tidak boleh basah. Berkerut muka anak saya.. ma, sakitlah...ma ..sakit sangatlah.. ma cakap tak sakit (manalah saya tahu.. saya agak aja..saya mana pernah berkhatan, saya dengar dan baca..orang cakap macam kena gigit semut aja...so, saya cakap dengan dia begitu..tak salah kan? Saya terbayang, tak tidurlah kami malam nanti. Berbekalkan ubat yang diberi, harap dapat membantu kami. Muka anak saya dah tak ceria lagi, kelihatan air mata bergelinangan keluar. Saya dah terbayang-beri kami pulang dengan perasaan lega.  Selesai.
 Sepanjang perjalanan pulang, dia bersuara sesekali sahaja.  Apabila sampai di rumah, anak saya disambut dengan soalan, Sakit tak sunat? Macam mana?..oleh abang dan kakaknya.  Soalan tak terjawab langsung (tapi dari riak wajah dah tahu jawapannya), terus anak saya masuk ke bilik dan tidur. Alhamdulillah, pada malam tersebut anak tidur lena. Keesokan paginya barulah anak mengadu sakit, tapi masih boleh tidur macam biasa. 
Nak berpantang macam mana? Saya nak jaga makanan agar taklah nanti tersilap makan dan memberi kesan mudarat seperti bisa atau gatal.  Ramai yang tak percayakan pantang-larang ni. Saya percaya sebab dalam keluarga kami ada yang alah dengan makanan tertentu, apa salahnya beringat-ingat.
Makanan utama yang saya berikan ialah nasi putih,bubur nasi berlaukkan ikan selar/ haruan panggang, sup ikan,tumis putih ikan dan beehon sup bebola ikan (buatan sendiri). 

Manakala hanya buah oren dan epal yang saya berikan setiap hari. Kalau kuih muih pula seperti, tepung pasung, bekang, koleh lemak, biskut kering, roti keras, kuih lapis, tepung talam dan laksam. Saya pastikan anak minum banyak air dan mempunyai rehat yang cukup. (minggu pertama, makan bersuap di atas katil...). Telur, daging, ikan tongkol, makanan laut...pantang sama sekali.
 
Selepas tiga hari anak saya mula bersuara..mama cakap nak beli helikopter remote (sesi menuntut janji.....).   Tunggu sembuh dulu... kalau beli sekarang, bukannya boleh main pun. Tak semena-mena abangnya menjawab... boleh ma... adik dah boleh main helikopter sambil baring. Ish.. siapa yang nak helikopter ni, abang atau adik (keliru...). Selepas 7 hari baru saya belikan...
Sehingga ke hari ini saya ternanti-nanti bila dia akan sakit dan menangis.  Hampa.. hari ini dia dah sembuh dan anak saya tak merungut tentang kesakitan. Cuma saya yang penat kekadang sebab nak pastikan dia tidak terlalu lasak bermain. Risaukan bentan Bayangkan, hari ke 3 tanpa disedari dia dah bermain di luar  rumah... ya Allah.... Selebihnya dia boleh tidur lena, berselera makan dan bermain macam biasa. Syukur Alhamdulillah.
*** kalau ada anak lelaki, sunatkan awal lebih baik.

Selasa, 18 Disember 2012

Boneka dan Patung


Boneka atau Patung
Boneka boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar yang berkesan dalam semua mata pelajaran bergantung kepada kreativiti guru. Beberapa jenis boneka boleh dihasikan untuk kegunaan guru termasuklah;

(a) Boneka sarung Tangan/stokin
(b) Boneka Lidi
(c) Boneka Wayang Kulit
(d) Boneka Bertali

Boneka Sarung Tangan/stokin
Sarung tangan atau stokin boleh digubah menjadi badan dan anggota boneka. Semasa menggunakan boneka jenis ini jari dimasukkan ke dalam sarung tangan itu dan gerakkan untuk menghidupkan anggota boneka. Malah para guru boleh melukis secara terus pada jari mereka atau murid-murid. 
Beberapa contoh hasil kerja pelajar saya.
Dr Fouziah Mohd
Dr Fouziah Mohd
  Boneka stokin ini digandingkan dengan bekas yang memudahkan pengajaran matematik sekolah rendah. 
Dr Fouziah Mohd
Pelajar saya turut menghasilkan boneka yang kreatif daripada span yang mudah diperolehi.
Dr Fouziah Mohd
 Boneka Lidi
Boneka ini diperbuat daripada bahan yang keras atau tebal. Kemudian lidi panjang diletakkan pada badan boneka termasuk pada anggota-anggota tertentu yang bakal digerakkan semasa menggunakannya, boneka dijulang pada lidi utama dan lidi-lidi yang lainnya digoyangkan untuk menggerakkan anggota badan boneka tersebut.
Pelbagai bentuk boneka lidi boleh dihasilkan seperti karektor, bunga, haiwan dll.
Dr Fouziah Mohd

Dr Fouziah Mohd
Boneka Wayang Kulit
Rupa bentuk Boneka dilukis di atas kertas tebal, diwarnakan dan bentuknya di potong keluar. Lidi-lidi halus diletakkan pada tempat-tempat tertentu pada badan boneka itu. Semasa memainkan boneka ini, ia ditempatkan di bahagian belakang satu skrin putih. Lampu dinyalakan dan bayang-bayang boneka tersebut akan kelihatan di atas skrin. Lidi digoyang-goyangkan untuk menggerakkan anggota boneka.
Dr Fouziah Mohd
Satu lagi cara persembahan wayang kulit ialah dengan menggunakan OHP sebagai sumber cahaya dan imej boneka akan terpapar di atas skrin.

Boneka Bertali
Boneka Bertali atau ‘marionette’ diperbuat daripada bahan-bahan keras seperti papier mache, plaster-of-Paris atau kayu. Tali-tali halus disambungkan kepada bahagian-bahagian boneka yang boleh bergerak. Semasa digunakan, tali-tali itu ditarik-tarik untuk membuat anggota-anggota boneka tersebut bergerak. (Foto di bawah ni saya perolehi daripada google images)
 

Isnin, 17 Disember 2012

JEMPUT-JEMPUT LABU

Masakan mudah macam ni pun nak pos di blog?
Tanggapan terhadap mudah atau tidak sesuatu resepi bergantung kepada penilaian individu.  Kalau tak tahu nak buatkan sambal belacan contohnya dan tak ada resepi atau tempat rujukan... ianya menjadi sukar.  Akhirnya tak terbuatlah.....
Saya dah pos entri pai labu.. coming akan saya post kan lepat labu dan pengat labu tapi hari ni semudah-mudah resepi tapi rasa yang marvelous gitu... Jemput-jemput labu / cekodok labu.
 Ooopss... sebelum tu..ada soalan cepumas
Kenapa dinamakan jemput-jemput? Tidak cubit-cubit atau gedebuk? Atau kuih sudu-sudu?
Soalan ke 2..kenapa pilih labu? Jawab soalan 2 dahulu...
Labu ni mempunyai betakerotina ( warna oren tu..), vitamin A dan C, kalsium, fosforus, zat besi dan serat.
Labu juga tahan lama... jika saya beli dan tak sempat memasaknya..ianya masih elok. 

RESEPI mudah saya juga memerlukan bahan yang mudah: 
2 cawan isi labu yang dikukus/ direbus dan dilenyek
1 cwn tepung naik sendiri

3 sudu besar gula/kalau tak suka manis boleh masukkan 2 sudu sahaja
Sedikit air (jika perlu) 
Penyediaannya:
Gaul rata kesemua bahan di dalam bekas
Jika adunan terlalu kering, masukkan air sedikit demi sedikit.  
jemput mengikut saiz yang sesuai atau comel-comel
Goreng dalam minyak yang banyak sehingga keemasan.
Sejatkan minyak dan hidangkan panas.
*** gunakan tangan untuk menjemput adunan ke dalam minyak
Menurut Wiki :Jemput-jemput atau cucur ini diberikan nama mengikut jenis bahan perisa tambahan. Ia dikenali sebagai jemput-jemput kerana saiz kuihnya yang bersaiz sejemput tangan ketika diletakkan ke dalam minyak untuk digoreng. Kini adunannya disauk dengan menggunakan ukuran sudu.
Jadi sekarang saya lebih faham kenapa dinamakan jemput-jemput dan saya pun  gunakan tangan untuk menggaul kuih ni dari awal hingga akhirnya menjemput adunan untuk digoreng.
Jemputlah makan...

Ahad, 16 Disember 2012

Masak Lemak Pucuk Peria Pantai

Peria pantai sinonim dengan celur dan dicicah dengan budu/ sambal belacan/ sambal tempoyak.  Masyarakat kampung dulu-dulu menjadikan peria pantai sebagai sayuran pilihan untuk dimasak lemak, dimasukkan ke dalam bubur lambuk atau dimasak sup lada hitam (tumis air/ sayur kampung/ masak tumis dengan lada hitam). Rasanya lemak dan manis. Masak lemak peria pantai ni ialah Resepi asli orang Terengganu kalau di Terengganu dipanggilnya SAYUR PERIA PANTAI. Orang Terengganu tidak ada istilah masak lemak, masak lemak dipanggil SAYUR. Kami sebut sayur kobis, sayur sawi = masak lemak kobis, masak lemak sawi.... begitulah  kisahnya. Masak lemak pasti memerlukan gandingan dengan belacan atau ikan goreng. Mantap. Kepada pembaca yang tak kenal rupa peria pantai boleh rujuk post saya terdahulu.
1 ikat peria pantai
3 ekor ikan selar/selayang/ kembung- dipanggang dan ditumbuk
2 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
6 ulas bawang merah- dimayang halus
garam secukupnya.
Penyediaanya:
Ambil bahagian daun peria pantai  sahaja dan dicelur (ada bau pedas yang akan keluar)
Celur sehingga masak dan toskan
Lalukan air sehingga celuran tadi sejuk
Perah daun tadi sehingga semua warna hijau habis  (kalau suka rasa sedikit pahit, tak perlu perah sehingga habis warna hijau tu)
Masukkan ke dalam periuk bersama-sama ikan panggang yang telah ditumbuk, bawang merah dan santan cair.
Bila mendidih, masukkan santan pekat.
Masukkan garam dan biarkan mendidih seketika.
--------dah siap ------------ Mudah aja menyediakannya.

--------fikirkan khasiatnya---------
inilah rupanya


 

PUDING CENDOL

Antara kegemaran saya ialah cendol dengan santan, gula melaka cair dan ais parut. Kalau nak lagi mengamcam boleh dicampurkan dengan isi durian...waaah...... Lagi bagus kalau ada tapai....  3 mangkuk pun boleh dihabiskan untuk 1st round. Kalau anak dara, pasti gerun bakal mak mertua mendengarnya. Saya sempat menolong ibu memasak cendol dengan acuan tempurung. Saya pinjam foto ni daripada http://zulbahrihussin.blogspot.com/2011/06/tempurung-kelapa.html. Beginilah rupanya acuan cendol tu
Tapi acuan penekan cendol digunakan dulu mempunyai lubang cendol yang lebih besar, teringin sgt nak dapatkan yang dibuat tangan macam dulu-dulu tu. Oleh kerana menuntut ilmu membuat cendol tak sempat khatam maka membeli cendol yang dah siap adalah penyelesaian terbaik. Saya akan buat juga sendiri...one day..... :)...one sunny day....:)
Bila dah beli tu tamak haloba tu meninggi sikit.. beli sedikit risau tak cukup, dah beli banyak.. hari-hari cendol. 
Pagi,,Bang, makan cendol pagi-pagi ni bagus,
tengah hari.. cendol sedaplah  dengan nasi macam ni, kan  bang, 
Petang.. Sejuk dan lazat cendol dengan pisang goreng
Malam.. ini cendol versi lain ni, bang....saya tambah pulut tau
Sehari penuh makan cendol dan naik pening lalat tenguk cendol tu.. tak putus asa...  kali ni mesti berlainan sekali.. Jeng...jengg.... PUDING CENDOL mari.....
Maka berkatalah saya.. Bang, ini bukan cendol ni,..  tapi puding cendol tau...maka habislah sebungkus cendol yang diberi tu. Inilah rupa puding cendol tu. Nak tahu cara membuatnya?


fouuzie.blogspot.com
Mari semak bahan-bahannya.
2 cawan cendol
1 mangkuk agar-agar yang telah direndam dan ditoskan
3 mangkuk air (guna mangkuk yang sama saiz dengan mangkuk penyukat agar-agar tadi)
1 mangkuk santan 
secubit garam
1 sudu  kecil coklat emulco
1 cawan  gula melaka yang dipotong halus.
Agar-agar dimasak dengan 2 mangkuk air sehingga larut- kacau 
Tapiskan dan bahagikan kepada 2 dan masukkaan ke dalam periuk yang berasingan (Periuk A dan B)
Periuk A 
Tambahkan 1 mangkuk air, gula melaka, secubit garam dan coklat emulco.
Masak sehingga larut
Masukkan ke dalam loyang
Bekukan di dalam peti ais
Goreskan permukaan dengan garfu.. gores agak dalam sikit pun tak apa (bagi melekatkan dengan lapisan atas nanti)
Periuk B
masukkan santan, secubit garam dan masak sehingga mendidih
masukkan cendol seketika
 Masukkan bancuhan periuk B  ini ke dalam loyang yang mengandungi bahan A tadi,
Bekukan dan bolehlah dihidangkan/ dipotong.

****Cuba-cubalah resepi ni supaya tak jadi macam saya...cendol.... cendol.... seharian..... bila dah buat puding ni baru dapat rasa cendol dengan cara yang berbeza.

Sabtu, 15 Disember 2012

Pencil case/ Bekas pensil (1)

Apa nak buat cuti sekolah macam ni? Soalan sebegini sesuai itu ditujukan kepada anak-anak sebab kaum ibu tak ada masa nak berehat pun. Anak-anak perlukan perancangan agar aktiviti mereka penuh, menarik dan memberi faedah. Haaaa.... di sini saya cadangkan satu aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama anak-anak serta boleh diselang-selikan dengan aktiviti mereka yang lain seperti mengaji, membaca, menolong ibu, bermain 'games' komputer dll. 
Kraf untuk hari ni sesuai dijadikan aktiviti kerana kreativiti mereka berkembang. Mereka juga perlu bersabar dan pandai merancang. Anak-anak pasti menghargai sesuatu barangan jika datangnya daripada hasil atau idea mereka.(*** Ini paling penting bagi saya).  Keyakinan diri mereka juga turut sama meningkat. 

Bahan dan peralatan yang diperlukan untuk membuat bekas pensil:
Kain felt- ( saya gunakan warna hitam, ungu dan kuning)
Benang


gunting
gam
pelekat Velco

Mula-mula, potong kain felt mengikut ukuran pencil case yang dikehendaki. Warna hitam yang saya pilih ni adalah warna yang paling selamat untuk kanak-kanak Tahap 1 :).
Lukis nama mengikut kreativiti masing-masing. Saya menggunakan felt berwarna kuning untuk nama. Lekatkan dengan menggunakan gam UHU/ gam panas bagi menetapkan kedudukan semasa menjahit.


Kemudian jahit (saya menggunakan mesin jahit memandangkan pengguna ni agak lasak... lagi cantik kalau jahit insang pari bagi mencantumkan bekas pensil ni. 
Selepas itu lekatkan hiasan kereta yang telah disiapkan.
Idea untuk membuat kereta dan saiz kereta ni saya dapati dari anak saya.. kalau ikutkan saya nak buat lagi besar  kereta tu.
Lekatkan velco dengan menjahitkannya.  Penggunaan velco ni memudahkan anak-anak menutup dan membuka kembali bekas pensil ni.



Khamis, 13 Disember 2012

HATI-HATI DENGAN 'BLIND DATE'

*** Bahan yang saya paparkan ini diolah semula berpandukan sumber  daripada laman web Persatuan Pengguna Islam Malaysia
 SHARING IS CARING :
Berikut adalah tips keselamatan jika anda ingin mengadakan janji temu atau ‘blind date’ dengan orang yang baru anda kenali :-

1. Atur pertemuan janji temu anda di tempat terbuka. (*** tempat terbuka atau tertutup jika berdua-dua tetap tidak dibenarkan). Elakkan daripada berjumpa di tempat-tempat yang sunyi dan gelap. Anda digalakkan untuk membawa bersama teman jika itu merupakan pertemuan kali pertama anda.
2. Maklumkan kepada ibu bapa, penjaga atau rakan serumah dengan siapa anda keluar. Berikan maklumat seperti nama, nombor telefon atau gambar (jika ada) kenalan yang anda ingin jumpa kepada mereka supaya jika berlaku kecemasan, maklumat tersebut boleh dijadikan rujukan ( *** penipuan identiti diri berleluasa masa kini, oleh itu ini bukanlah langkah yang bijak).
3. Jangan menceritakan terlalu spesifik maklumat peribadi anda kepada orang yang baru anda kenali. Cukup sekadar bercerita secara umum mengenai peribadi anda dan pilih topik yang lebih bersifat universal untuk dibualkan.
4. Berhati-hati dengan minuman yang disediakan untuk mengelakkan anda jadi mangsa “drink spiking” iaitu dadah atau alkohol dimasukkan ke dalam minuman tanpa anda sedari.
5. Percaya dengan rasa hati (instincts). Jika anda merasakan sesuatu yang tidak kena dengan janji temu tersebut, batalkan! Mungkin tindakan tersebut merupakan langkah yang paling baik demi keselamatan anda.
(sumber Facebook PDRM)
 *** Tak perlu pergi, kalau nak pergi jugak kepada yang perempuan tu, sila bawa ayah, abang, mak atau kesemua ahli keluarga. 
*** Usah sesekali memberi ruang dan peluang sebab perempuan khasnya mudah lembut hati dan terpedaya dengan kata manis lelaki ( *** tak kurang juga yang sebaliknya...)
*** Menggalakkan maksiat dan mendekati maksiat jika diteruskan niat dan melakukan blind date. Oleh itu, tak perlu lakukan sesuatu yang anda tahu akibatnya.
*** Ikut kata hati yang beriman sebab sebagai manusia untuk menunggu 'rasa hati' agak sukar. ( Tunggu instincts..tak datang-datang)  Kawalan dan disiplin dalam diri anda dan hanya iman yang menjadi pengawal. 
*** Jika benar seseorang itu serius dan berhasrat menjalinkan hubungan yang halal, pasti jalan yang halal dilakukan. 

Khamis, 6 Disember 2012

HOME MADE ICE-CREAM

Bila sebut ais krim, bukan sahaja kanak-kanak yang gemarkannya. mak budak macam saya pun terliur.  Ais krim  yang terdapat dipasaran pun pelbagai..maklumlah R&D mereka pun gempak jugak. Mahunya tidak, nak tarik perhatian dan memenuhi selera pengguna bukanlah kerja mudah.  Saya sekeluarga pula memang 'hantu' dengan ais krim, jika terpandang logo halal, samada Malaysia atau halal luar negara, saya akan beli dan cuba. Saya juga ingatkan anak-anak jika nak beli apa-apa makanan tengok label dulu.  Berbalik kpd cerita ais krim tadi, semenjak terjumpa resepi daripada blog Dayang Citra saya kerap siapkan ais krim di rumah.
Mudah sangat rupanya.
Rasanya pun sedap.

Bahan-bahannya
1 tin susu pekat manis-505ML
1 1/2 Tin air ( GUNA TIN SUSU TADI)
2 sudu besar ovalet
1 biji kuning telur
 perisa/ pewarna/ buah-buahan segar
** Untuk kali ini saya gunakan pes strawberi, coklat emulco dan       perisa keladi

Caranya
Pukul kuning telur dan ovalet sehingga kembang menggunakan pembancuh kuih.
Masukkan susu pekat manis dan air- bancuh sehinggan sebati.
Bahagikan kepada beberapa bahagian mengikut perisa yang dikehendaki.
 Dan ini yang dah siap dituang ke dalam bekas...berlapis-lapis lagi

 Saya pernah juga meletakkan buah-buahan segar didalamnya dan rasanya tidak mengecewakan. Cubalah dengan buah-buahan kegemaran anda.
Sejukkan di dalam peti ais semalaman.
Bolehlah dihias dan dihidangkan. 
.