sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Rabu, 20 November 2013

Mencari EMAS di PERAK -4

Awal pagi lagi saya bersiap-siap menunggu En Azahar di lobi hotel.  Perjalanan memakan masa sekitar 20 minit sahaja.  Saya teruja dengan jalan yang luas menghubungkan Seri Iskandar dan Pekan Bota. Apabila membelok ke Pekan Bota menuju ke Lambor barulah suasana kampung kelihatan, kalau musim durian mesti seronok. Maklumlah kiri kanan ada pokok durian...
Akhirnya saya sampai ke destinasi iaitu SM Muzafar Shah 1, Lambor Kanan, Perak.  Cat bangunan yang pudar tidak menggambarkan sambutan mereka terhadap kami.  Menjejak ke ruang pejabat yang ceria dan sapaan kakitangan SMMS1 pastinya mengembirakan saya. Kedatangan kami dinanti-nantikan oleh semua warga sekolah.  
Harapan amat tinggi agar apa sahaja masalah yang mereka hadapi dapat diselesaikan dengan segera. Saya menjadi pendengar yang baik, juga pencatat yang cemerlang.  
Jika lebih kerap 'turun padang' berlaku dalam semua bidang, banyak perkara boleh diselesaikan.  Selama ini hanya orang politik sahaja gah dengan konsep turun padang.  Bagaimana dengan pegawai yang dipertanggungjawabkan dengan sesuatu tugas? Seperti saya..anda..rakan-rakan kita semua...
Kejelasan tentang saluran dan prosedur amat penting dalam melaksanakan tugas.  Perkara yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat akan tercapai tanpa perlu menunggu lama.  Jika tidak 'turun padang' bagaimana mungkin seseorang pegawai menilai dengan tepat tahap keutamaan dalam menyalurkan peruntukan atau latihan. Agak sukar, bukan tidak boleh... dengan teknologi yang canggih segalanya mungkin.  Persoalannya adakah dilakukan sebegitu?

Pengalaman saya selama 4 jam bersama guru dan pengetuanya iaitu Pn Hjh Rohayati menemukan saya dengan EMAS yang dicari. Guru dan kakitangan yang baik dan cakna membuatkan proses mengutip data kajian berjalan lancar.  Hubungan baik sesama mereka wajar dipuji. Seluruh warga SMMS1 cukup positif menerima perubahan dan mereka ingin berubah,  Saya membelek-belek album di dalam bilik pengetua dan melihat perubaan yang dilakukan di situ sebelum dan selepas kehadiran pengetua sekarang.  Berbeza..amat berbeza.
Tahniah kepada seluruh warga SMMS1, moga kilauan emas anda menjadi rebutan seluruh dunia.

Rabu, 13 November 2013

Mencari EMAS di PERAK - 5

 Hari ke- 3
petang...

Balasan Allah cash... 
Baru aja semalam saya rasa 'up' sedikit sebab dipuji berani, memandu dan kenal jalan nak ke mana-mana. Terus aja petang semalam..petang yang sama semasa dipuji tu.. saya tersesat jalan di Bandaraya Ipoh. GPS pula tertinggal. Termenung saya bila memikirkan sedikit riak terus dibalas.  Apa lagi setelah penat berpusing-pusing bandar tu, saya pun minta bantuan seorang  abang teksi.  Dari mana? sapanya... dari Terengganu..ke Kelantan dan ke Seri Iskandar.  Saya nak ke Hotel Impiana.  Ok tak apa, ikut saya..kata abang teksi tu.  Saya sempat bertanya, Berapa bayaran?. Tak apa lepas ni.  Rupa-rupanya tak sampai 10 minit, sampailah saya di hotel tu.  Saya tanyakan bayaran tapi sekali lagi abang tu jawab.. IKHLAS .. TAK NAK BAYARAN.  Terharu saya dan hanya saya kirimkan doa agar dia dimurahkan rezeki.  Alamakkk...saya lupa catat no plat teksi ..apa yang saya ingat AES..dan langsung tak tahu nama dia.  Semoga Allah murahkan rezeki beliau...aamiin.. 
Rupanya banyak EMAS di Perak ni... 

Hari ke - 4
Sebelah pagi saya ke SK Sg Rokam, Ipoh. Saya dan pasukan audit disambut mesra oleh Guru Besar iaitu Hjh Rafiah, PK Pn Saadiah, PK Ko, Guru Data Cg Faizan, Cg Ayu, dan 5 orang guru lain. Sekolahnya bersih dan cantik. Keceriaan dan kecemerlangan menjadi agenda utama di sini. Pentadbir memainkan peranan penting membentuk minda warga sesebuah sekolah. Selesai melakukan kajian saya menyemak peralatan yang didaftarkan.
Kemanusiaan.. 
Kenapa pegawai atau guru sangat takut untuk diaudit? Ada orang cakap..kalau tak salah tak perlu takut.  Namun begitu engalaman lalu kadang-kadang menghantui minda seseorang.
Seorang pengawai menunjukkan tanda-tanda stres yang ketara.  Pengalaman dan pemerhatian saya melalui percakapan dan perbuatan membuktikannya.  Lantas saya bertanyakan pengawai berkenaan... setelah beberapa kali dia gagal membuka peti besi. Saya pun berlawak... jangan risau saya tak bawa pumps gun... Barulah dia sempat menunjukkan barisan giginya yang cantik. Perasaan kasihan datang dalam hati saya ni.  Saya pun terfikir, agaknya bahasa saya agak tegas atau memang muka saya ni memang daripada dahulu lagi dilabel sebagai garang.  Saya baiklah... saya bukan datang nak mengukum atau mencari salah.. saya nak membantu... tetiba sahaja saya meyakinkan pegawai itu.
Melihat kepenatan dan mengah pegawai itu, saya bertanya lagi.. MENGANDUNG ke?.. Ya saya mengandung baru 3 minggu.. Agaknya macam mana dia fikir saya dapat agak yang dia mengandung. Saya pun perempuan dan pernah mengandung dan pernah diaudit oleh segala macam perangai pegawai audit.  Bila saya berada di atas, saya akan cuba berfikir sejenak agar apa yang orang terdahulu lakukan kepada saya serta tidak menyenangkan saya... saya akan cuba sedaya upaya agar saya tidak melakukan sebegitu kepada orang lain.  Saya tidak mahu tinggalkan legacy yang tidak baik,  Bekerja hendaklah secara profesional dan kuasa bukannya digunakan untuk membalas dendam.
Penekanan saya ialah BUAT PERKARA BETUL DENGAN BETUL-BETUL.
Berbalik kepada kisah tadi, saya memberi peluang kepada pegawai tersebut duduk dan melakukan kerja dengan tenang,Kerja saya menjadi mudah bila mereka faham tujuan kehadiran saya.  Alhamdulilla saya masih belum jemu berada di SK Sg Rokam, tetapi apakan daya masih banyak kerja yang perlu diselesaikan di tempat lain.  Lagipun jika lagi lama di situ, entah-entah semua menjadi stres.......
Gabungan pengurusan dan persekitaran yang baik menjadikan SK Sg Rokam sebagai EMAS yang menjadi rebutan, Ini terbukti kerana kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum menjadikan sekolah tersebut sebagai sekolah padat murid sedangkan beberapa sekolah di sekitarnya berlaku keadaan sebaliknya.  Semua ibu bapa inginkan anak mereka menjadi emas....

Mencari EMAS di PERAK -2

Hari ke-2 
11 November 2013- Isnin
Seperti dijanjikan, seorang pegawai pengiring daripada PPD Perak Tengah telah menunggu saya di lobi hotel. Usai sarapan, seawal 8 pagi kami meneruskan perjalanan ke SK Parit yang terletak 20 KM dari sini.  Setelah melepasi deretan pohon kelapa sawit dan hutan kecil, sampailah saya ke sebua pekan. Jalan yang baik menjadian pemanduan saya lancar, hanya sesekali sahaja kelihatan kenderaan lain. Lokasi sekolah di atas anak bukit di tengah Pekan Parit yang mati.
Saya melihat sekolah itu sebagai ORANG TUA YANG DITINGGALKAN. Kenapa? Kesan pembangunan Bandar Pendidikan memberi kesan yang besar kepada Pekan Parit dan turut terkesan juga oleh SK Parit.  Sedih saya melihatnya..seperti orang tua yang ditinggalkan.  Sekolah yang dibina pada tahun 1931 ini wajar menjadi mercu bagi Parit dan Perak.  Sewajarnya.. realitinya agak memeritkan.  Bilangan murid semakin berkurang dan hanya 136 orang sahaja berbanding kapasiti yang sebenar 200 orang lebih.  Perpindahan sebahagian besar  pejabat kerajaan ke Bandar Seri Iskandar mengheret sama nyawa sekolah dan pekan ini.
Saya seronok berada di sini, sekolah yang sunyi, punya banyak bilik... ruang yang selesa. Sesebuah kelas hanya menampung kurang daripada 15 orang.  Dah menjadi seolah-olah sekolah swasta.  
Saya melihat daripada sudut yang berbeza.. Kenapa guru dan pentadbiran tidak mengambil situasi tersebut sebagai peluang keemasan... tempat membentuk EMAS. 
Bayangkan peluh yang menitik dan suara yang digunakan oleh guru sekolah lain yang mempunyai murid 30-40 orang satu kelas.  Bayangkan perhatian yang mampu guru beri jika 40 orang murid perlukan untuk 30 minit PdP.
Bayangkan jika sekolah ini cemerlang dalam akademik, kokurikulum- sertai semua pertandingan....menang, juara...no 1... pasti berduyung-duyung ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke situ. Lakukan sesuatu sebelum kehilangan semuanya.  Kegemilangan SK Parit perlu digilap kembali....usia dan lokasi bukan penghalang. Kemana perginya almuni sekolah ini?
Sekalung terima kasih untuk guru besar Pn Dzaharah, guru-guru, murid dan pekerja swasta yang memberikan kerjasama sepanjang kajian dan audit saya di situ. Terima kasih khas untuk guru-guru pendidikan khas di situ yang amat baik dan mesra spt cg khalid dll.
Perjalanan saya bukan sahaja menjalankan kajian tetapi mencari EMAS.. adakah saya temui.
*** saya memberikan kad nama kepada 2 orang murid yang guru mereka target akan mendapat 5A.. saya berjanji untuk memberikan hadiah... bukan apa untuk menghilangkan ketandusan 5A di sekolah itu.  Itulah EMAS dalam kalangan murid yang saya cari tapi EMAS dalam diri guru perlu ditempa dengan lebih tekun lagi... lihat masalah sebagai peluang.
Abaikan ORANG TUA YANG DITINGGALKAN tapi tonjolkan PERMATA DAN KILAUAN EMAS DI PERGUNUNGAN.

Mencari EMAS di PERAK - 3

Hari ke 2 di Negeri Perak.... seperti biasa menerujakan saya. 
 Ramai handai-taulan bertanyakan rahsia kenapa saya begitu cepat dapat menyesuaikan diri dengan sesuatu keadaan. Jika anda bagaimana?.  Saya pernah mendengar luahan rakan-rakan yang merasakan stres yang amat sangat bila ditukarkan atau ditempatkan ke tempat yang baru. Ada juga yang stres bila diminta berkursus atau bermesyuarat di tempat yang mereka tidak gemari. Ada juga yang mengadu sehingga sekarang masih belum dapat menyesuaikan diri dengan Negeri A.  Saya pun bertanya... dah berapa tahun tinggal di Negeri A.... 12 tahun. Iya 12 tahun. Bermaksud dia sudah tertekan atau perkataan yang agak keras...bengkak hati dengan tempat itu. Saya langsung tak faham dengan bahasa orang di sini... makanannya memang tak sesuai dengan perut saya... luah beliau kepada saya.  Saya hanya mampu memujuk dan mengajarnya agar menerima segalanya dengan fikiran yang positif. Usah blok/ tutup minda dengan situasi yang baru.  Adakah anda mampu mengubah seluruh rakyat Negeri A? Adakah anda mampu mengubah diri anda? Pastinya hanya kita yang boleh berusaha untuk mengubah diri masing-masing dengan izin Allah SWT.
 Saya memberi analogi yang mudah... semua orang mengalami perubahan fizikal dalam diri masing-masing.  Semakin hari kulit semakin kendur..suara semakin garau..mata semakin kelabu..rambut dah beruban... sengal sana- sengal sini..cepat penat,sehingga makanan pun ada yang diterima dahulu dengan seleranya juga telah tidak mampu mengoda selera. Tak perlu saya cerita dalaman lagi.. perasaan..emosi..tanggapan dan segalanya berubah.  APA TINDAKAN ANDA DALAM SITUASI SEBEGITU? Anda menolak diri anda ...anda tak suka diri anda berubah... anda tak mengaku diri anda sebegitu.. adakah anda melakukan pembedahan plastik atau anda berpakaian sebagaimana remaja 15 tahun.
Hakikatnya anda dapat menerima perubahan tersebut dengan mudah, bagi sebahagian yang tidak mengawal perubaan, perubahan menjadi punca stres kepada mereka.
oleh itu usah terlalu cerewet dan inginkan kesempurnaan.
Hanya perlu bertanggapan positif dalam semua keadaan,,, redho dengan ketetapan dan sentiasa berusaha membaiki diri sendiri dengan banyakkan bersabar.
Sayangi mereka dan segala benda yang ada di sekitar anda
Bersyukurlah dengan apa yang ada.

Isnin, 11 November 2013

Mencari EMAS di PERAK- 1

Baru saya perasan yang saya tinggalkan blog saya dah berbulan..dah berhabuk.. ffuuuuhhhhhh....fuuuh.... buang debu...
Hari Pertama di Perak 10 Nov 2013
Catatan Perjalanan mencari EMAS
Saya meneruskan pemanduan yang berhemah. Saya tak tahu siapa yang nak iktiraf pemanduan saya...saya aja kot.  Bermula jam 8 pagi saya saya telah keluar dari rumah menuju ke Perak.  Perjalanan sendirian memberi banyak ruang masa untuk saya berfikir..berzikir.. merancang dan menilai diri. Banyak impian dan cita-cita dimakbulkan Allah. Banyak ujian dari Nya. Apa-apa pun redho dan syukur dengan segalanya.  Bila selesai pengajian saya yakin perjalanan serta liku kajian saya akan diteruskan. Ramai yang berkata, bila dapat PhD...barulah bermula perjalanan. Itulah realiti. Namun, perjalanan fizikal dan mental kali ini  kadang-kadang lebih mencabar daripada zaman belajar. Setelah menjinakkan kereta sejauh 479km, maka sampailah saya di Bandar Seri Iskandar, Perak. Beberapa tahun yang lepas saya hanya melihat pembinaan yang rancak berjalan.   
Keterujaan saya bertambah lagi bila melintasi Universiti Teknologi Petronas...saya pernah menginap di situ..10 tahun yang lalu.
Hari ini merupakan hari pertama saya di sini, di Bandar Pendidikan ini. Apa yang pasti tempat untuk makan di sini tak sukar mencarinya, seperti di Tanjong Malim, Skudai, Bangi, Serdang...pastnya mengembirakan saya.Kenyang perut senang hati..
Saya memilih untuk menginap di Hotel Seri Iskandar @ D Hotel.  Nasib menyebelahi saya kerana pihak hotel sanggup melepaskan satu bilik twin untuk saya atas alasan saya melakukan tugas rasmi untuk kementerian. Alhamdulillah. Hotel dan homestay  di sini semuanya penuh kerana pelajar UiTM berkonvoksyen. Hotel ni agak baru dan selesa, sewa semalam RM 160. 
Setelah menyegarkan diri dan tekak, saya mengambil keputusan untuk melihat Kelly Castle. Tak banyak yang dapat saya cerita kerana saya hanya melihat dari luar sahaja, maklumlah suasana sudah semakin petang. Setelah merakam gambar saya pulang ke hotel untuk menyiapkan kerja yang perlu sebelum ke sekolah esok.
alhamdulillah malam yang panjang amat singkat bagi saya. Tidur yang lena menyegarkan sesiapa sahaja......

Selasa, 8 Oktober 2013

Sambal Binjai

Dr Fouziah Mohd
Seorang rakan pejabat membawa buah binjai untuk dijual..bestnya...dah lama tak makan. Saya beli rm5 untuk 4 biji... + free satu = 5 biji semuanya. Dalam perjalanan ke balik bilik seorang makcik cleaner tegur dan saya hulurkan sebiji buah binjai. Hari minggu saya nak ke rumah kakak, so saya simpan 2 biji..2 biji lagi untuk saya. Post ini merupakan imbas kembali SAYA DAN BUAH BINJAI. Mama, buah apa ni pelik sangat ni, mempelam ke? Itulah soalan pertama terpacul daripada mulut anak saya saya bila melihat 4 biji binjai tergolek di dalam bekas. Suasana ketika tu seperti iklan ayah dan anak ...BURUNG MURAI... burung apa tu... BURUNG MURAI... Burung apa... Itulah yang berlaku.. Buah apa ni ma?..BUAH BINJAI... buah apa?..BUAH BINJAI...Apa?...BINJAI..Eja macam mana ma? B.I.N.J.A.I. OOOOOOOOOOooo. Wanginya. SEDAP NI... ADA YANG MANIS...ADA YANG MASAM. Yang ni? MASAM. Tak suka..tak suka..( belum makan dah cakap tak suka...) Zaman berubah begitu pantas, saya hanya mampu mengimbau suasana silam zaman kanak-kanak yang indah tetapi anak saya tidak dapat mencatu suasana dulu dengan apa yang dialaminya sekarang. Susah mereka nak bayang, kadang-kadang terkebil-kebil biji mata mereka. 
Di meja makan pada malam tersebut, perbualan kami masih berkisar dengan topik BUAH BINJAI. Terngangga mulut anak saya mendegar abahnya bercerita." masa kecil dulu abah masuk hutan... malam-malam...pergi ambik buah binjai.. jauh hutan tu.. ada 1 sahaja pelita... abah jalan bertiga..sunyi suasana masa tu.. ada bunyi yang menakutkan... kami terus juga pergi sebab masa tu misim binjai berbuah..semuanya sekolah rendah lagi masa tu.. tak pakai baju..pakai kain pelikat sahaja.. bila sampai..ada banyak buah binjai..kami kutip cepat-cepat agar tak sempat diambil oleh orang lain...lagipun..di situ pernah orang kampung jumpa harimau... (..masa ni..ada sound effect...aaaaaa...eeeeee)..ada babi hutan...buah binjai letak dalam kain pelikat..mana ada beg plastik masa tu.. 3 kendong yang dibawa pulang. Bukan sahaja anak-anak yang terngangga..saya pun turut terngangga. Buat apa banyak-banyak buah bijai tu?... Makan .. cicah dengan garam...apaaa????..makan dengan garam... Selebihnya mak buatkan jeruk, potong-potong..letak garam..peram dalam tempayan ...kan dah cakap...saya yang terngangga..hehhhe... Hebatnya abah.. beraninya abah. ABAH adalah HERO mereka. Anak-anak sekarang..baru lepas Maghrib dah tak berani nak ke laman untuk kunci pagar..lampu terang-benderang.. keliling ada jiran-tetangga.. Beza yang ketara. 
Saya turut bercerita..tapi cerita saya tidak menrik perhatian anak-anak.. Emak mama ajar buat sambal dengan buah binjai.. kami beli buah tu di pasar...hehehehe..itu sahaja...kriiikk...krrikkkk.... tanpa ada CABARAN HEBAT seperti cerita abahnya. Inilah cara sambal ringkas yang saya siapkan malam tu.. sambal yang membuatkan mereka minta tambah nasi (..tak apalah sesekali asalkan mereka tahu dan pernah makan buah binjai..) 
1 biji buah binjai 
10 biji cili api- jika tak suka pedas boleh dikurangkan 
3 sudu besar gula 
1 sudu besar garam
 - potong buah binjai dengan kulit
 - gunakan sudu dan kikis isi binjai
 - tumbuk cili api 
 - masukkan garam dan gula
 - akhir sekali masukkan buah binjai
 - tumbuk kasar-kasar. 
** kalau nak guna blender pun boleh. 
** kami makan berulamkan jering...waaalaaaaa....(*** anak-anak..tolong pam tandas betul-betul dan guna pencuci tandas setiap kali guna....OK MAMA..)
Pembaca cuba ya..SEDAP dan tak tipu punya... sedappp..menyelerakan
buah kedua pun saya jadikan sambal, kali kedua saya kurangkan pedas.


Selasa, 24 September 2013

Betapa Tak Matangnya Isteri MatYo-- macam budak tadika

Sebagai seorang blogger yang menulis tentang makan dan akademik, dan sedikit hal-hal lain. Saya tergerak untuk menulis satu perenggan sahaja pada kali ini.  Isu yang manjadi bualan, bacaan dan tontonan hangat iaitu KISAH ISTERI MATTYOOO- pemain bola terkenal negara. Bila menonton kedua-dua klip video terasa sedih dan marah.  Namun setelah saya menonton untuk kali kedua, saya langsung tak terasa marah.  Penilaian saya cukup ringkas..." isteri Mattyooo tu kanak-kanak bawah umur... bawah 7 tahun." Sangat kebudak-budakan...Daripada lenggok bahasa dan cara penyampaiannya menunjukkan beliau bukan seorang yang matang dan jauh lagi daripada berpendidikan tinggi.  Seorang yang tidak stabil emosi sahaja yang boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu. Kasihan kepada si suami yang GAGAL.  Perkataan DAYUS tu untuk si suami..agaknya, suami dayus yang gagal mentarbiah isteri untuk menjadi baik. Kasihan kepada kita semua sebab itu hanya gambaran sebahagian daripada masyarakat kita hari ini.
P/s : KENAPA DIA PILIH POMPUAN MACAM TU YER?

Ahad, 22 September 2013

Video Pendidikan-sebelum, semasa dan selepas

Dr Fouziah Mohd
Bunga Camelia - dirakam di hadapan Pejabat Pendidikan Daerah Cameron Highlands

APAKAH VIDEO
  • Salah satu media bergerak yang menghasilkan imej yang realistik dan sangat bermanfaat dlm penyampaian sesuatu mesej kepada penonton
  • Berupaya membawa masuk peristiwa yang berlaku di luar bilik darjah Juga berupaya merakam imej dekat dan jauh.
  • Video yang dihasilkan boleh dikategorikan kepada:
        - Video iklan- kurang daripada 1 minit
        - Video klip- 5 minit
        - Video event/ majlis- perkahwinan dll - 30-60 minit
        - Video dokumentari - 15-20 minit
        - Video drama - 30-60 minit
        - Video penerangan/training- 15-20 minit
        - Video Korporat - 8-12 minit
       - Filem pendek - 30 minit
 APAKAH PERSEDIAAN YANG PERLU DILAKUKAN?
SEBELUM RAKAMAN
  • Buat senarai semak/'checklists' alat-alat yang hendak digunakan dalam sesuatu tugas rakaman- card, harddisk, tripod, tape,'spare bulb' untuk 'portable light', bateri, reflector, white card untuk membuat white balance, camera raincoat, payung besar, filter untuk portable light  dll
  •  Periksa peralatan yang hendak dibawa seperti tripod yang berfungsi dengan baik dan buat cubaan rakaman untuk menentukan video dan audio dirakam dengan baik oleh kamera video.  
  • Jika mengendalikan peralatan Electronic Field Production yang menggunakan high quality kamera video, periksa semua kabel-kabel sambungan (connecting cables)  kerana kegagalan sambungan akan mengganggu penerbitan di lokasi 
  • Pastikan semua mikrofon sama ada mikrofon  kamera dan mikrofon yang dipegang berfungsi dengan baik. Pastikan 'cable' untuk mikrofon cukup panjang kerana rakaman seperti temubual perlukan kabel mikrofon yang panjang.
  • Pastikan 'portable light' menyala dan jangan lupa bawa bersama 'extention cable' untuk 'AC power'.
  • Dalam Electronic Field Production yang menggunakan Video Tape Recorder(VTR) yang berasingan, pastikan VTR tersebut berfungsi dengan baik.
  • Pastikan pita yang dibawa mencukupi.
  • 2 bateri sekurang-kurangnya perlu dibawa. 
SEMASA RAKAMAN
  • Cara memasang semua komponen samada kamera ataupun peralatan sokongan yang betul.
  • Kenalpasti kedudukan butang rekod, white balance, zoom, fokus, kedudukan view finder dll- sebab setiap kamera mempunyai perbezaan.
  •  Semak storan spt tape, HD, CD- berfungsi atau tidak.
  • Untuk mengelakkan visual yang bergegar pastikan kamera dipegang dengan semantap yang mampu dilakukan.
  • Untuk merakamkan objek supaya tidak kelihatan bergegar, jarak kamera dan objek yang dirakam hendaklah hampir.
  • Untuk objek yang jauh, hendaklah gunakan frame Wide shot.
  • Untuk buat gerakan 'panning' gerakkan kamera beserta dengan badan, bukan dengan tangan sahaja.
SELEPAS RAKAMAN 
  • Pastikan pita mempunyai bahan rakaman selepas tamat rakaman
  • Label setiap pita yang telah dirakam. 
  • Off kamera setelah rakaman. 
  • Tutup lens kamera dengan lens cover. 
  • Kemaskan semua peralatan selepas rakaman. 
  • Keluarkan dan Charge kembali semua bateri untuk rakaman yang akan datang. 
  • Bersihkan kamera terutama jika berhabuk dan lembab. 
  •  Check semua peralatan selepas rakaman supaya tidak ada yang tertinggal di lokasi terutama disk plate dan lens cover.

Ikan Patin Masak Champa

 
Dr Fouziah Mohd
Anak-anak dah lapar..tak sempat nak potong cili n jadikan bunga..nahhhh...sebiji-sebiji cili tu..
Pinggan peninggalan arwah emak saya... Al-Fatihah..

Bahan-bahannya ialah:
1 ekor ikan patin
1 cawan tempoyak
2 cawan santan pekat
5 cawan air
10 biji cili api
6 ulas bawang merah
1 1/2 keping asam keping
1 batang serai
garam
Cara memasaknya:
- Kisar tempoyak + cili api+ bawang merah + air
- Masakkan bahan kisar tadi dengan api perlahan.
- Masukkan asam keping, serai yang diketuk,
- Bila sudah mendidih, masukkan ikan patin, santan pekat dan garam.
- Jumlah air boleh ditambah mengikut saiz ikan dan kuantiti kuah yang dikehendaki.


KENAPA NAMA MASAKAN NI IKAN PATIN MASAK CHAMPA?
- Susahnya nak terangkan...
- Beginilah.... Resepi yang ada tempoyak memang sedap. 
- Ikan patin pun enak dimasak singgang pedas ala Terengganu, dipanggang kosong atau dimasak tempoyak lagilah best.
- Hasrat hati saya memang nak masak tempoyak yang ada daun kunyit tu.
- Tapi apakan daya terlupa beli semasa  ke pasar tani.
- Saya pun ubah fikiran...kenapa tidak mencuba sesuatu yang baru... selagi ada tempoyak..akan sedaplah hasil masakan tu.
- Saya dengan GUMBIRA nya mulalah memasak dan ambil/guna bahan yang sedia ada... semuanya main CAMPAK-CAMPAK aja ke dalam periuk tu.
- Kalau resepi ni saya namakan Ikan Patin Masak Campak... terasa macam menyampah dan sakit telinga.
Jadi saya ubah kepada CHAMPA... sebut  CAMPA=CAMPAK
-  Bertuahnya orang Champa sebab saya namakan masakan ni untuk mereka.
- Jangan orang Champa mengutuk saya dahlah.
***Ikan Tilapia Rangup Sos Taucu yang digandingkan dengan masakan ni memang sedap, MANTAP..
rugi kalau tak cuba.



Tilapia Rangup Sos Taucu

Saya terasa hati dengan lain perkataan...kecil hati dengan pernyataan seorang fellow lecturer semalam.  Dia cakap "ORANG MALAYSIA SUKA MAKAN, SENTIASA ADA PESTA MAKAN... HAMPIR SETIAP HARI". Apa yang dia tahu? Baru setahun tinggal di sini.  Pernyataan yang teruk... tak adilllll....
Semalam terasa hati tapi setelah sampai di pejabat hari ni, langsung dah tak terasa hati... apa taknya.. atas meja...di depan pintu..di jabatan saya.. sudah terhidang makanan. Sumbangan rakan-rakan sejabatan.   Betullah pemerhatian fellow lecturer tu.  Kalau tidak setiap minggu, paling kurang setiap bulan akan ada makan-makan.  Kadang-kadang makanan berat, paling tidak keropok goreng, pisang goreng, kerepek dan segalanya. Bila musim perayaan seperti bulan Syawal, hampir setiap hari ada makan-makan.  Orang kita  meraikan sesuatu dengan MAKANAN. Baru daftar kerja-makan, pindah-makan, naik pangkat-makan, jumpa kawan-makan, siap kerja-makan, hari lahir-makan, lulus exam-makan, lepas exam-makan, anak lahir-makan dan jika ada kematian pun-makan.
Tapi kali ini saya tak makan?  Saya tak makan... tak makan lagi...... sebab masih kenyang. Saya sudah sarapan tadi di cafe semasa menemankan anak yang tak sempat sarapan di rumah. Bila makanan hadam nanti, keluarlah saya dari bilik ni, menjengah makanan yang dibawa tu :)

Jauh perjalanan saya kali ni... kisah masakan saya ni pun untuk meraikan juga (Entri resepi ini ditulis pada hari Sabtu 21 September 2013)... Meraikan anak saya balik daripada program perkhemahan pasukan unit beruniform sekolah. Maka sebagai seorang mama yang prihatin, pagi-pagi lagi saya ke Pasar Tani Hiliran dan belikan ikan patin dan tilapia kesukaannya. Maka saya pun masaklah Tilapia Rangup Sos Taucu dan Ikan Patin Masak Champa.
MAKANAN DAN MAKAN MENJADI ACARA SAMBUTAN YANG PALING DIGEMARI OLEH ORANG  KITA. Ini fakta. Dr Fouziah Mohd
1 ekor ikan tilapia
4 sb tepung jagung
2 sb tepung beras
3 sk garam
1 sb  serbuk lada sulah
1 sb serbuk cili
1 sk serbuk kunyit
minyak untuk menggoreng

sos taucu
 1 1/2 sb taucu
4 sb sos cili
1/2 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1/2 cawan air
4 biji cili api
1 sb oren sunquick
IKAN RANGUP
- basuh bersih ikan dan toskan
- sapukan garam+serbuk kunyit + serbuk cili pada keseluruhan ikan- termasuk sebelah dalam
-gaulkan tepung beras, tepung jagung dan lada sulah
- golek-golek ikan ke dalam campuran tepung tadi sehingga melitupi bahagian dalam dan luar ikan.
- panaskan minyak yang banyak
- goreng ikan sehingga garing
SOS TAUCU
- potong halus bawang putih dan cili api
- mayang bawang besar
-  panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan bawang besar
- masukkan taucu- kacau seketika
- tambahkan sos cili
- masukkan air + cili api(cili api blh ditumbuk atau potong halus)
- akhir sekali baru masukkan jus oren sunquick
kacau sehingga pekat dan sebati
*** Kalau sukakan sos yang tidak pekat, boleh masukkan 1/2 cawan air lagi... saya pilih sos pekat :)
*** Hati-hati dengan kandungan garam sebab taucu dan sos cili sudah cukup masin.. sebab itu saya tak masukkan garam.
Dr Fouziah Mohd




Jumaat, 20 September 2013

masak lemak belimbing besi

Resepi tertangguh selama lebih daripada sebulan.  Kali pertama saya makan belimbing besi masak lemak ni semasa belajar di UKM. Seorang rakan bernama Yati, orang Melaka yang masak dan bawakan untuk saya.  Saya ni orang Pantai Timur, belimbing besi/buluh ni sinonim dengan gulai nasi dagang. Masakan lain??? Entahlah... kalau dalam masak lemak ada juga diletakknya dua tiga bijik...dicampur dengan sayur-sayur lain... itu sahaja.   Kali pertama makan memang terus terpikat, rasa masam, lemaknya .. sungguh mantap.  Berbalik kepada belimbing yang rakan sepejabat saya bawakan ini, saya berterima kasih sangat-sangat sebab di rumah saya tak ada pokok belimbing besi ni... 
Dr fouziah Mohd

Bila dah siap memasak, saya seorang sahaja makan bagai nak rak... anak-anak hanya sentuh di hujung bibir sahaja.  Sedihnya...iyalah..selera masing-masing.  Si suami pula memang tak gemarkan masam.  Nampaknya saya masak dan saya makan.  full stop... Apa-apa pun bagai saya, sungguh nikmat memakannya... puas selera saya.  Kalau nak cuba, just follow resepi ni yer...
2 mangkuk belimbing besi
3 cawan pati santan
6 ulas bawang merah
1 cawan air
6 biji cili api
1 sk serbuk kunyit
1 ekor ikan kembong
garam
Garam- menguli dan letak dalam masakan.
Cara penyediaan
- Pecah-pecahkan/ tumbuk belimbing di dalam lesung batu
Dr fouziah Mohd
- basuh 
-Ramas-ramaskan belimbing tadi dengan garam- kalau garam kasar lagi baik
- Perah air masam tadi dengan kain kasa/ penapis sehingga habis
- Bakar atau rebus ikan kembong
-Tumbuk isi ikan, bawang merah dan cili api
- Masukkan belimbing ke dalam periuk
-Tambahkan bahan tumbuk tadi + 1 cawan pati santan + serbuk kunyit  dan 1 cawan air
-Masukkan pati santan selebihnya
- Jika agak pekat boleh tambahkan air mengikut kesesuaian
- Rasakan garam
-UDAH SIAP DONGGGG...
Dr fouziah Mohd

P/s:  Kadang-kadang lebih nikmat makan makanan yang kita suka ni sorang-sorang :)

PUCUK PAKU LEMAK BELACAN

Menyediakan masakan menjadi rutin saya bila berada di rumah.  Kerap juga buat-buat malas dan sibuk (...eeeheeemm...) bukan apa nak bermanja dengan cik suami dan anak sesekala. Lagipun kalau mereka tidak kerap ke dapur nanti mereka lupa resepi..kan susah nanti. Tapi satu penyakit yang susah nak ubat... bila balik daripada outstation... saya terasa malas amat nak menjenguk dapur, maklumlah makanan dan tempat tidur semua disediakan. Macam hari ni, selepas outstation selama 4 hari... punyalah terasa macam ada tukang masak aja di rumah ni. hehehehehe. Sebab itulah hari ini saya memasak pucuk paku lemak belacan ni aja, ikan goreng dan ayam masak merah disediakan oleh cik suami. Anak dara saya memasak nasi , sambal tempoyak dan kemas dapur serta pinggan mangkuk. Sambil bermalas-malas saya pun memasaklah pucuk paku...sambil berpantun..:)
Pucuk paku di dalam mangkuk
Makan bersama sambal belacan
Mama penat lagi mengantuk
Makan malam tolong sediakan:

2 mangkuk pucuk paku yang telah disiang
5 ulas bawang putih
1 sudu besar belacan bakar
4 sudu besar udang kering
1 sudu besar cili giling
6 biji cili api
1/2 cawan santan
-  rendam dan tumbuk udang kering + belacan bakar
- panaskan minyak dan tumis bawang putih  dan masukkan bahan tumbuk sehingga wangi
- masukkan cili giling/pes cili dan cili api tumbuk
- Bila sudah wangi masukkan pucuk paku
- Tambahkan santan, garam dan gula
Senang?
Ya...
Senang dan sedap
dan Pedassss
Dr Fouziah Mohd




Jumaat, 13 September 2013

Gulai ikan haruan

Masih segar dalam ingatan,  Bila ada adik beradik atau saudara mara berkhatan.. ikan haruanlah menjadi hidangan utama.  Bukan itu sahaja, ibu-ibu bersalin pun makan ikan haruan.  Emak saya pernah bercerita, anak ikan haruan, katanya menjadi ubat mujarab bagi kaum ibu... letak ikan dalam mangkuk.. dan.. sudukan macam makan cendol...  telan... Ya Allah, saya geli geleman mendengarnya. Akhir-akhir ni barulah ada pil dan pati pelbagai... 
Biasanya ikan haruan dijadikan sup, dipanggang, digoreng atau digulai...ada juga dijadikan ikan kering.  Saya penggemar no 1 ikan haruan, patin, keli, baung dan kaum kerabatnya. Sedap dan manis rasanya.  Saya pula tak terganggu selera bila dikatakan kepala ikan haruan macam kepala ular.  Ok What?
Banyak khasiat seperti diceritakan  di blog pohonmas dan Blog Pendangjoran nie
1. Mengandungi asam amino dan lemak yang dapat menyembuhkan luka dalam perut serta amat baik untuk mengubati penyakit gastrik
2.Vitamin A yang membantu menambah daya penglihatan, melembapkan kulit dan bertindak sebagai anti oksidan yang melambatkan proses penuaan.
3.Mengandungi asid arakidonik yang tinggi yang membantu memulakan proses darah menjadi beku dan bertanggungjawab untuk pertumbuhan semula sel baru.
4.Glisin dari ikan haruan (merangkumi asid aspartik dan glutamik) yang merupakan satu daripada komponen penting kolagen dalam kulit manusia akan membentuk molikul protein yang penting untuk pertumbuhan semula dan penyembuhan.
5.Mengurangkan sakit selepas pembedahan
6.Lendir ikan haruan mengandungi asid oleik dan linolik tak tepu iaitu komponen utama lipid sepenuhnya.
7.Ikan Haruan mengandungi kolagen yang tinggi yang membantu mencantikkan kulit
8.Kandungan antiseptik yang terdapat di dalamnya pula berupaya mencegah pembiakan bakteria dan menyembuhkan luka dalam tempoh lebih cepat

Beria-ia saya membongkar khasiat ikan haruan, apa lagi... beli dan boleh dijadikan gulai untuk hidangan. Ini resepinya.
1 ekor ikan haruan -+ 500g
2 sb rempah gulai Cap Bunga Rose ( ..kalau nak beli contact saya... saya pos... rempah yang besstttt...)
1 sb rempah masak Cap Bunga Rose
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci lengkuas
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
5 biji pelaga
2 sudu besar serbuk cili
1/2 sk serbuk kunyit
2 sudu besar kerisik/ nyiur gula
2 cawan pati santan + 4 cawan air
2 sudu besar pes asam jawa- kalau tak suka masam letak 1 sudu besar sahaja
minyak untuk menumis
1 ikat daun kesum
gula melaka

garam

Dr Fouziah Mohd
Inilah rupa ikan haruan yang saya beli tu.  Beli yang siap disiang ... jika tidak... entah bila nak siang.. siap beranak-pinaklah ikan tu...
Dr Fouziah Mohd
-Bersihkan ikan haruan dan lumurkan dengan tepung gandum, basuk lagi sehingga bersih tepung gandum tadi.
- Lumurkan 1 sudu besar pes asam jawa kepada ikan tadi.
- mayang halus 2 ulas bawang merah
- Kisar bawang merah selebihnya, bawang putih, halia, lengkuas.
- gaulkan bahan kisar dengan rempah kedua-dua gulai tadi dan serbuk kunyit.
- Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah mayang tadi, kayu manis, bunga lawang, cengkih dan pelaga. 
-masukkan serbuk cili yang dicampur dengan air( jadikan pes)- tumis sehingga wangi dan garing
-Kemudian letakkan rempah dan bahan kisar ke dalam periuk
-tambahkan 2 cawan air, kerisik, pes asam jawa, gula melaka, garam
-masak 10 min
-Bolehlah dimasukkan pati santan dan air selebihnya- masak selama 10 minit lagi
-masukkan ikan haruan yang dilumur asam jawa
- masukkan daun kesom, biarkan sehingga betul-betul masak dan sebati semua rasa- biarkan mereneh dengan api yang kecil.

**** Rugi kalau tak cuba..langsung tiada bau ikan haruan... isinya pejal dan sedap..

Rabu, 4 September 2013

KERONGSANG MUDAH-simple felt brooch

Inilah projek sambil 'menonton' cerita Hindustan. Dulu minatlah jugak seposen cerita Hindustan, sekarang dah tak tumpu. Punca minat saya dahulu tidak lain berpunca dalam bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, setiap minggu dihidangkan dengan filem hindustan- semsa tu masih guna VIDEO TAPE. Mula-mula tengok... eeeeerrr..menyampahnya..tergedik-gedik..baju seksi.  Bila dah setiap minggu duk mengadap filem Hindustan... best jugak ceritanya.  Tapi sekarang ni, sekadar berada di depan TV tapi tangan buat kerja lain, kalau tak melipat baju adalah duk meneroka laman internet.  Paling anak saya gelakkan saya... saya asyik minta dia ceritakan balik... INI SIAPA...KENAPA JADI BEGITU?.. HABIS KENAPA BERGADUH?..macam-macam.  Kalau ada lagu pun bukanya reti nak ikut.  Saya bukan peminat lagu. Kali ini tak menggodek kuih tapi menjadikan sisa-sisa kain felt sebagai kerongsang yang amat mudah. Inilah yang saya maksudkan.

Dr Fouziah Mohd
Apa yang saya lakukan?
-Gunting felt mengikut warna dan bentuk yang dikehendaki, saya pilih corak bunga. 
-Potong 2 keping- satu yang besar dan satu yang kecil.
-Potong satu lagi untuk bahagian tengah bunga- bulat keci tu...
- Jahitkan butang ditengah-tengah.

Dr Fouziah Mohd
Lekatkan pin dengan gam lilin/ hot glue ( pin boleh dibeli di kedai- saya guna yang recycle)
Dr Fouziah Mohd

Dr Fouziah Mohd
Bahagian Belakang Kerongsang Yang Sudah Siap

Dr Fouziah Mohd

Kerabu Merdeka-Raya

HARI INI HARI RAYA...Hari ini 29 shawal, Alhamdulillah sempat juga melunaskan puasa sunat. Bukannya susah sangat, tapi urusan dan kesibukan lain menjadi alasan kepada saya untuk menghabiskan puasa dihujung-hujung shawal...Semalam berbuka dengan kerabu campur-campur, saya namakan MERDEKA-RAYA, tempias merdeka dan hari raya masih terasa kan.... tapi bagi saya, saya dah merdeka sebab dah selesai puasa dan beraya. Istimewa lagi bila saya guna udang kering yang dibeli semasa bercuti di Kuching. Apa-apa pun, makan tetap control sebab lepas berbuka nak makan durian pulakkk... mewah makan... (orang susah makan apa agaknya?). Kesimpulannya, hari ni saya raya.. Hidangan pagi raya saya pagi ni macam biasa nasi dagang di Cafe Kak Yah. Tapi bukan nak share resepi nasi dagang tapi masakan semalam:KERABU MERDEKA -RAYA: jooooom layan....
Ini bahan-bahannya:
6 biji kacang botol
4 helai dauan limau purut
10 helai daun kaduk
1 helai daun kunyit
4 batang serai
1 cawan udang kering
2 biji cili 
5 biji cili api
1 kuntum bunga kantan
1 cawan kelapa yang digoreng perang
2 biji limau nipis
garam dan gula

Dr Fouziah Mohd
sebahagian daripada bahan kerabu
Cara menyediakannya adalah semudah-mudah cara:
- Kisar udang kering + gula + kelapa goreang dengan pengisar kering
- Potong halus-halus kesemua daun-daun/ ulam
- gaul sebati semua bahan dengan air limau nipis
- Jika tidak cukup masam masin dan manis, tambahlah cuka, garam dan gula mengikut selera  anda.
Dr Fouziah Mohd
Inilah kerabu MERDEKA-RAYA----> penuh warna-warni dan enak sekali.