sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Jumaat, 28 Ogos 2020

Ayam Halia

Resepi kesukaan saya, mudah menyediakannya dan sedap.Cukuplah alasan itu untuk saya seorang surirumah berkerjaya ni. Nak cepat, mudah dan sedap.  Pastilah khasiat dan kebersihan masih dalam senarai saya.  Saya Suka. Suami dan anak-anak tak diberi pilihan yang banyak, kalau nak makan ayam, hari ni mama masak ayam halia. Jika tidak masih ada ikan, sayur dan telur.  
2 mangkuk ayam yang dipotong kecil - gaul dgn sedikit garam n kunyit (potong kecil ni cepat masak dan sebati)
3 inci halia- tumbuk kasar
4 biji cili kering- potong
4 ulas bawang putih- potong
2 biji cili hidup
3 sudu lada hitam- ditumbuk kasar
minyak utk menumis
garam

panaskan minyak ( tak perlu banyak)- goreng ayam separuh masak 
dalam  minyak sama masukkan cili kering halia, bawang putih  n lada hitam.
bila dah masak masukkan cili hidup yg dah dipotong, goreng seketika n masukkan garam
jika suka blh tambah sikit gula



Ahad, 19 Julai 2020

Lamunan Terhenti

AHAD 19 JULAI 2020
MENYELONGKAR BLOG YANG DITINGGALKAN SEPI SEKIAN LAMA ..SEMENJAK HATI INI TERISI. TERIMA KASIH LELAKI YANG MENYAYANGI AKU SEMENJAK MENYAMBUT AKAD PADA 12 OGOS 2019. HATI LELAKI ITU DAN HATI INI BERSATU, SEMOGA CINTA INI SELAMANYA SEHINGGA MEMBAWA KAMI KE SYURGA. AAMIIN
LIRIK LAGU INI ADA DALAM SIMPANAN MELEBIHI SETAHUN

Entah mengapakah hatiku bergetaran
Bila bertemu lagi oh! kekasih lama
Ku cuba selindungkan api keresahan
Namun perasaan ini berapi di dalam

Ku kira angkau sudah melupakan

Kerna itulah engkau nampak tenang
Lainlah aku walau ketika ini
Masih membara ingatanku terhadapmu

1
Ku singkap kenangan dulu
Sewaktu kasih berputik
Kugenggam erat tanganmu
Kau tunduk sembunyikan wajah
Namun dapat aku meneka hatimu
Sehati denganku

2
Lalu kau mendongak berbalas renungan
Dan dengan perlahan tangan kau lepaskan
Kau pun berlalu dalam kepekatan malam
Tinggal aku seorang

( ulang 1, 2 )

Terhenti lamunan bila ku dikejutkan
Engkau dipimpin pergi oleh seseorang
Dalam keterpaksaan kau melangkah kaki (pergi)
Namun sempat jua kau menoleh ku disini

Ahad, 5 Januari 2020

Selamat datang tahun 2020

Terima kasih kepada Emak dan Cik (Arwah Hajah Ngah binti Embong dan Hj Mohd Bin Ibrahim ) kerana dengan izin Allah mak dan cik menjadi mak dan ayah saya, yg membesarkan saya dengan kasih sayang, mendewasakan saya dengan cabaran dan pengalaman hidup sehingga saya menjadi seorang ibu yang kuat dan tabah seperti hari ini.
Selamat hari lahir utk diri saya pada 4 januari

Khamis, 21 Mac 2019

CATATAN PERTAMA SETELAH 2 TAHUN

Kerinduan apakah ini?
Pejam celik sudah 2 tahun saya tidak menulis di ruang saya ini.
Genap-genap 2 tahun.

Saya  merajuk ke?
Merajuk kepada yang sudi
kekeringan idea?
Hidup sangat indah setiap hari

Isnin, 20 Mac 2017

Saya Hendak Belon hitam

Pada  satu pesta, kelihatan kanak-kanak berlarian, bebas dan lepas.  Pengunjung sibuk melihat gerai jualan dan pameran. Gerai makanan menjadi tumpuan iutama, tak kalah dengan gerai jualan permainan kanak-kanak ternyata juga mendapat perhatian.  

Kelihatan di tengah-tengah laluan orang ramai seorang penjual belon berdiri gah di sisi balang gas dan tangannya diikat dengan beberapa biji belon melambai-lambai ke arah pengunjung.  Keramahannya menyapa pengunjung adalah anugerah. Sangat menarik perhatian. Perangkap yang menjadi. Maklumlah, kanak-kanak dan belon sangat sinonim dan membawa simbol kegembiraan. Malah dalam banyak acara belon tetap menjadi pilihan untuk dijadikan hiasan, hadiah, gimik acara dan dilepaskan ke udara. Belon juga popular dalam sukaneka, acara tiup belon, belon berisi air dan duduk di atas belon. 


Kelihatan  seorang kanak-kanak yang semenjak tadi lagi sedang memerhati. Dia jalan mengelilingi penjual belon dengan wajah yang teruja.  Belon yang dijual ada pelbagai warna. Beliau meneliti...meneliti..dan meneliti lagi belon-belon yang indah itu.  Tangan kecilnya memegang belon-belon  .. satu ...satu.. wah..cantiknya. Anak matanya membesar keterujaan. 

Setelah beberapa lama...Penjual kehairanan, lantas bertanya samada dia hendak membeli belon atau tidak. 
"Anak ada duit atau tidak?" Penjual ingin menghadiahkan satu belon kpd kanak-kanak tadi. Suara kecil bertanya, " Pak cik, belon mana yang paling kuat dan boleh terbang tinggi ke udara?"
Penjual tersenyum dan menjawab, "Sama sahaja wahai anak." Kanak-kanak tadi membulatkan anak mata," betul ke pak cik?"

Kanak-kanak tadi termenung....dia terus membelek belon-belon yang terikat. 
"Pak Cik, saya mahu belon yang paling kuat, terbang paling tinggi.". Sambil tersenyum penjual belon menjawab, "Anak pilihlah sendiri..."

Kanak-kanak itu mencapai belon yang dikehendakinya, ternyata belon itu paling kuat dalam fikiran beliau.
"Pak cik, saya mahu yang ini...". Penjual mencapai gunting dan memberikan kepada kanak-kanak itu lantas berkata
"Kekuatan belon bukan bergantung kepada warna..."
Kanak-kanak tadi tersenyum, mula meragui kata-kata penjual belon. Penjual belon berkata, "pilihan anak adalah tepat dengan tanggapan anak sahaja."

Kanak-kanak tadi memandang dan keraguan semakin menebal. Penjual belon merendahkan badan dan melutut searas dengan ketinggian kanak-kanak tadi, "anak, warna bukan penghalang bagi belon untuk naik lebih tinggi tetapi udara di dalamnyalah yang akan membawa belon ini tinggi bebas di udara,"

Anak comel tadi petah menjawab," Tapi yang ni kuat, saya tahu, mama saya belikan pun warna begini." Penjual belon merendahkan suara, "warna bukan penghalang ..begitu juga dalam kehidupan ini... kesusahan,kemiskinan,  masalah, bangsa, keturunan, pangkat,  bukan halangan dalam kejayaan." Penjual belon tahu yang anak kecil itu tidak faham sepenuhnya tapi dia yakin tidak terlalu awal untuknya bercerita seketika. 

"Ooo..anak pilih belon warna hitam."  Anak itu menjawab, "Iya belon ini tak mudah pecah bila naik ke udara, boleh terbang tinggi."  Penjual belon mengesat peluh dengan tuala yang semenjak tadi tersangkut di bahu, "belon ini tidak bermakna jika hanya sebiji belon tanpa udara yang pak cik masukkan ke dalamnya." Kanak-kanak tadi tersenyum, "Saya nak yang ni, berapa harga belon ni." " satu ringgit sahaja nak." kanak-kanak itu berlari riang sambil memegang erat tali belonnya yang terbang tinggi di udara.

Kehendak dan dalaman diri seseorang sangat penting dalam
 menentukan hala tuju dan kehidupan seseorang. Ketentuan Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh adalah segala-galanya. Kehendak itu umpama udara yang dimasukkan ke dalam belon, kualitinya dan kuantitinya.  Pengisian yang baik membolehkan seseorang terbang tinggi dengan gahnya.  Halangan perlu diketepikan dan sentiasa mencari peluang tanpa merosakkan jasad, akal, rohani dan emosi diri sendiri.




Isnin, 13 Mac 2017

Buah Binjal - nilai sahabat dan kota janji

catatan pada 10 Mei 2016 tertangguh pos hingga hari nii 14 mac 201

Post ringkas setelah tinggalkan ruang catatan blog wonderful life. Saya berehat? Tidak, masih menulis catatan perjalanan melalui pengalaman dan pemerhatian di ruang lain.

Bau yang menyucuk hidung dan kesunyian pagi menyambut langkah saya ke bilik seawal. Baru saya teringatkan sesuatu yang saya tinggalkan semalaman.  

Jam di dinding menunjukkan jam 7.30 pagi. Tak mungkin saya makan apa yang ditinggalkan semalam. Seawal pagi begini...

 Saya beralih langkah ke meja kerja. Beginilah bila semua bertugas di luar daerah. Suasana sunyi dan tiada usikan atau gelak tawa...ohh..alangkah... sambil tangan pantas menekan kekunci komputer ..menyiapkan tugas dan melakukan tugas rutin.

Masuk daripada rehat dan lelap seketika membuat saya lebih segar dan ceria. Sekali lagi...Hidung saya menangkap bau yang kurang menyenangkan tadi. Saya lupa selupa-lupanya., sudah lupa bahawa hanya tinggal saya  dan pembantu pejabat sahaja pada hari ini. 

Dari jauh terdengar butir perbualan yang tenggelam timbul dari bilik pantri. Rancak dan disulami tawa. Perasaaan ingin tahu menemukan saya dengan seorang sahabat yang sering kelihatan dari jauh, bertegur sapa sekadar-kadar di jalanan dan bila bertemua hanya bercakap tentang kerja. Juga menemukan saya dengan punca bau wangi dan menyucuk hidung yang masih berada di dalam plastik.BUAH BINJAL... RM 3 untuk 3 biji ( bukan nilai harga jadi ukuran...bagaimana kita menilai di sebalik harga sangat bermakna...). 

Di atas meja ada sebekas kuah rojak.. Ya Allah..syukur Ya Allah ..kau temukan aku ini dengan orang yang baik dan pemurah. Baru saya teringat semalam semasa membawa buah binjal seorang pekerja pembersihan menegur saya dan saya mempelawanya untuk mengambil sebiji tetapi ditolaknya dengan baik. Mulut peramah saya ni hanya berkata, sedap jika dimakan dengan Colek ( kuah rojak..orang Pantai Timur sebut COLEK..bukan CULIK..). rezeki saya , pekerja titipkan kepada saya dalam bekas yang cantik dan beg kertas yang indah. Syukur Alhamdulillah.

Sambil menyampuk perbualan pembantu pejabat dan rakan saya itu, tangan ni pantas membuang kulit buah binjal (..orang Pantai Timur tak sebut Kopek..kopek bagi kami ialah buah dada...hati-hati ke Terengganu atau Kelantan )
 Petang semalam juga menemukan ruang yang santai berbincang, berkongsi cerita tentang menghargai.juga tentang zaman kanak-kanak menjejak remaja di kampung. rakan saya


Opps sebab apa tajuk pos BUAH BINJAL.. pos saya sebelum ini tentang sambal buah binjal. Kami berbual tentang sesuatu yang eksotik..BUAH BINJAL... bukan tentang resepi  yang banyak di sana-sini.

mengingati dan menepati janji sangat mendalam di hati. 

Jumaat, 18 Disember 2015

Kaswi Pandan Lemak


Dr Fouziah
Semasa saya kecil dulu..kuih kaswi ni sinonim dengan kuih untuk orang sakit atau orang demam.
Orang kampung saya sebut KUIH KUSU... makanan orang sakit... saya pula kerap diajak ibu saya menziarah tetangga yang sakit. Mata saya tak lepas dari memandang kuih KUSU ni... tangan ni terasa bergerak-gerak ke arah pinggan berbunga merah di tepi bantal orang sakit. Budak lagi masa tu... sehingga beberapa kali saya menelan air liur. Maklumlah dengan selera dan tubuh saya yang besar tu... semua makanan nampak sedap.  Tapi bab kuih KUSU ni..tak boleh tipu... memang betul-betul menggoda selera.  Cukup rasa... lemak... manis... masin... digaul kelapa muda yang diparut.  Saya dengan penuh kesopanannya (walaupun ketika itu hanya memakai seluar katak sahaja... tanpa baju) mencuit tangan mak saya dan tunjuk ke arah kuih KUSU tu.  Permintaan budak kannnn....Alhamdulillah..dapat sepotong... tuan rumah beri...sedapnya... saya jilat semua tangan dan kelapa yang melekat di tangan saya. Sungguh nostalgia... walaupun tangan saya ketika itu hitam legam entah apa yang saya pegang sebelumnya (biasanya saya bermain korek tanah buat telaga atau melukis di dinding rumah dengan arang..).Cukup indah kenangan bersama ibu yang dapat saya coretkan untuk nak cucu saya. Hanya itulah kenangan yang dapat saya catat.  Itulah sebabnya bila terbaca resepi Kaswi Pandan Lemak ni.. terus saya membuat keputusan...SAYA NAK MASAK KUIH KUSU HARI NI JUGA.  HARI INI... Resepi pun mudah sahaja.Bertuahnya jadi kak besah...  Terima kasih yer kak... siapa gerangan kak besah ni? Resepi ni daripada  KAK BESAH  Sekali cuba terus menjadi...
Saya sediakan bahan untuk satu adunan.  Walaupun rasa sedikit berbeza dengan yang saya makan 40 tahun yang lalu.  Tapi...Tak sampai 1 jam terus sediakan 1 lagi adunan. Rezeki jiran-tetangga ... walaupun tetangga tidak sakit... Marilah cuba..boleh bawa ke pejabat...beri kpd jiran atau sesiapa sahaja.
  • 1 cwn tepung gandum
  • 1 cwn tepung ubi kayu
  • 1 cwn santan
  • 1 1/2 cwn air perahan daun pandan (5 helai)
  • 3/4 cwn gula pasir
  • 1/2 sudu teh air kapur sireh
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 bj telur
  • beberapa titik pewarna hijau.
  • secawan kelapa parut + secubit garam.

Cara-cara

  1. Panaskan pengukus
  2. Minyakkan loyang pengukus.
  3. kacau sebati tepung gandum, tepung kanji, gula bersama air pandan & telur. 
  4. Masukkan bahan2 lain. kacau hingga tidak bergentel. 
  5. tapis adunan
  6. Masukkan adunan ke dlm loyang, jangan terlalu tebal
  7. kukus sehingga masak.. sekitar 20-25 minit. 
  8. Bila dan agak sejuk. potong dan gaulan dengan kelapa yang telah dicampur dengan garam.