sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Sabtu, 27 April 2013

Al-Fatihah untuk Pelajarku

Pagi ini saya melangkah ceria ke pejabat.. thumbs print no 1.. tak boleh.. sana no 2... rosak..yang ke-3 barulah ok. Kaki melangkah perlahan ke bilik sambil berbual-bual dengan rakan sejabatan..(SEMASA KE PUNCH IN TADI MEMANG TAK PANDANG KIRI-KANAN ..MELURU LAJU .. SENYUM AJA YANG SEMPAT DILEPASKAN KEPADA KAWAN-KAWAN). Saya melintasi sekumpulan pensyarah yang sedang berbual di kaki lima dan tiba-tiba.... Innalillah..... Pelajar kita meninggal... Budak mana? Sem 5..baru abis praktikum.. Nama Apa? Asran... Ishhhh.. hati saya makin berdebar-debar... Macam nama pelajar saya tu..semester 5... iya sem 5. Unit mana?...BM. Sebak hati saya, perlahan-lahan air jernih menitis..Al- Fatihah untuk Mohamad Asran B Arifin...kau telah pergi mendahului aku... Saya tersedu di bilik...Perlahan saya  capai telefon dan menghubungi KU BM, Aiman.  Betul Dr... Asran yang meninggal, kami ni dalam perjalanan ke Kuala Krai. Minta-minta sempat solat jenazah dan kebumikan arwah. Kenapa Aiman tak call saya semalam? Maaf banyak-banyak, dalam keadaan kalut sebab saya baru sampai dari Kelantan malam tadi. Tak apa, saya faham. Hati ini terkilan sebab jenazah masih di Kuala Terengganu pada jam 2 pagi tadi. ketentuan Ilahi dalam segala perkara....Aiman, sampaikan salam saya dan salam takziah daripada saya kepada Mak Ayah Asran, beritahu yang Asran anak yang baik.  Baik, Dr. 
Saya melayan kenangan dan mengingati kebaikan seorang bakal guru..namum Allah lebih menyayanginya. Perginya bersama amalan yang dikumpulkannya dan jika saya pergi pada saat ini.. tak tahulah banyak mana dosa pahala yang akan saya bawa mengadap Nya. Jika dibandingkan dosa yang dikumpulkan, nescaya saya terkedu sebab usia saya yang banyak ni... jika nisbah dengan dosa saya yang banyak juga.... Ngeri..Takut..
 Kenangan yang cukup indah mengajar arwah akan saya simpankan di dalam hati ini, orangnya peramah dan baik hati.
Namum di bilik saya masih tersimpan elok Model yang dihasilkan oleh arwah..
ni modelnya

Dr Fouziah

 Masih teringat kata-katanya.. Puan simpan molek deh.. bulih anak Puan wat main ni.. katanya sambil gelak. Inilah yang dihasilkan oleh arwah yang kekal di bilik saya hingga kini dan inilah yang anak saya capai bila sampai ke bilik saya.
Saya melihat kembali hasil kerja arwah yang tersimpan dan dipos melalui online learning..ulasan grafik.. namum grafik dan tajuknya agak mengejutkan.."HATI YANG TERLUKA " hatinya terlukakah? Semoga telah terubat...

Hasil broshur yang dihasilkan sangat kemas dan jelas. terharu dan saya pasti dia diantara pelajar saya yang mendapat A dalam subjek saya.
Saya mendengar kembali rakaman audio yang telah dihasilkan secara berkumpulan bersama khafi dan azri, saya tersenyum sendirian. Kelakar...
Untuk hari ini saya tak bercadang untuk menonton video yang dihasilkan oleh arwah.. mungkin esok atau lusa.. :( . Arwah sangat kreatif dan mempunyai idea-idea segar.
Saya akan simpan hasil Powerpoint yang telah dihasilkan untuk dijadikan contoh kepada pelajar lain.. moga pahala akan terus mengalir kepada arwah..itulah niat saya.
Begitu juga dengan hasil kerjaya arwah yang lain.
Itulah sahaja topup pahala yang seorang pensyarah dapat lakukan.
 Saya pasrah dengan pemergian arwah dan menghalalkan segala perlakuan, makan minum dan segala ilmu yang telah saya curahkan kepadanya. Semoga roh arwah aman di sana dan ditempatkan dalam kalangan solehin dan syuhadah kerana itulah selayak tempat bagi arwah.
*** entah esok lusa masa saya pula pergi meninggalkan anda semua... apa yang saya tinggalkan?

Sedekahkan pahala Al-Fatihah dan bacaan Yaasin untuk saya ya... saya sangat memerlukan

Sabtu, 20 April 2013

Sayur Pedas Kemoyang

Kemoyang ni suku-sakat keladi.Daunnya berkilat dan sedikit kemerahan. Kalau di kampung dulu-dulu , memang menjadi hidangan utama ibu dalam pantang ...panas katanya.  Berbeza dengan keladi yang bersifat sejuk...silap-silap ..gatal sana-sini. Seperti dua beradik yang berbeza gitu.... Daun kemoyang digunakan sebagai pembalut tungku dan memgeluarkan bau yang wangi (aromaterapi). Kalau sakit perut ambil daun, tumbuk dan tampal pada perut. Air rebusan batangnya dipercayai boleh menyembuhkan cirit-birit. Kemoyang ni boleh juga dimasak lemak atau dibuat kerabu. 
 
Dr Fouziah
Batang kemoyang yang telah siap disiang
Begitulah tersohornya kemoyang ni.... sekarang..kalau nak cari pokok ni...setahun sekali adalah kot terjumpa. Episod baru kemoyang yang dah hapir pupus di tempat saya. Mungkin di tempat anda berbeza. Bila dah jumpa, harganya..Ya Rabbi... harganya... macam superstar..Kemoyang yang saya beli tu 5 batang untuk RM2.. bila dah  siap disiang hanya dapat 1 mangkuk sahaja. Dah rezeki, masak ajalah. Mahunya saya tanam sendiri tapi di sekitar kampung saya yang panas dan berpasir tak pula sesuai  disebabkan pokok ni sesuai ditempat yang sejuk. Kemoyang juga hidup di tempat redup dan berhumus tinggi. 
Nama saintifiknya ialah Homalomena Sagittifolia. Uuishhhh.. kalau masakan ni diubah mengikut nama saintifik maka jadilah Sayur Pedas Homalomena Sagittifolia. Berbelit lidah....
 Apa-apa pun jika pembaca terjumpa di mana-mana pasar, belilah dan rasailah kelazatannya.. jom kita masak...
1 mangkuk batang kemoyang yang dah disiang
3 sudu besar udang kering - ditumbuk
1 sudu kecil lada hitam- ditumbuk
5 ulas bawang putih - ditumbuk
3 sudu daun kesom
 air secukupnya
2 sudu budu-(kalau tak suka boleh diabaikan- masakan orang Pantai Timur mempunyai rasa yg tersendiri--budu diantara rahsianya....)
Dr Fouziah
tuuuu dia..dah siap dihidang dlm mangkuk China antik
Inilah masakan campak yang betul-betul main campak punya...
- Panaskan air dalam periuk dan masukkan bahan tumbuk
- Selepas mengelegak, masukkan batang kemoyang tadi
-Masukkan daun kesom dan budu
-Rasakan garam mengikut citarasa kesihatan bukan kehendak lidah anda.

...betulkan?
...semuanya campak-campak...
** Cara menyiang batang kemoyang ni sama macam keladi jugak..perlu dibuang urat-urat atau kulitnya terdahulu.



Rabu, 17 April 2013

fresh mushroom spaghetti

Masakan wajib bila tetamu datang ke rumah saya semasa open house. Apa taknya.. amat mudah disediakan dan bahan mudah disimpan.  Beli spagheti banyak-banyak, cendawan tin, daging cincang dan tomato puri..bahan lain dah sedia ada di dapur. Spagheti ni pulak bila berlebih atau kuah spagheti dah habis boleh dikitar semula..boleh digoreng.. makan dengan sup... masak kuah laksa...pendek kata... penyelamat keadaan semenjak saya mula kenal spagheti hingga kini ( ...ada tak selama-lamanya?...entahlah..kita hanya merancang.....). Jika berlebih kuah spagheti pulak... saya jadikan inti pizza atau saya celur mee.
Lagi satu sebab saya suka masak spagheti ni bukan apa... Bila anak-anak lapar... tak sampai 20 minit... mari makan..makanan dah siapppp.... Begitulah kisahnya.
Dr Fouziah

Anak-anak lagi berselera jika ada meat ball, bila ada masa yang banyak..adalah meat ball. Hari ni agak kecoh sebab semalam tak ada elektrik..pagi nilah nak menggosok dan memasak. Nasib baik cik suami tolong gosokkan baju anak-anak. Hari ni saya sediakan sarapan sahaja sebelum anak-anak ke sekolah. Jangan lupa cuba. Sekejap aja memasak resepi ni...** kalau nak lagi cepat guna spagheti angelhair**
1 paket spagheti
200g daging cincang
1 cawan cendawan- boleh gunakan cendawan butang dalam tin atau cendawan segar
2 labu bawang besar
1/2 biji capsicum kuning
1/2 capsicum hijau
minyak zaiton
1 cawan tomato puri
1/2 cawan sos tomato
1 sudu besar serbuk oregano kering
1 sudu besar serbuk cili
1 cawan air/stok daging
garam
gula
- Rebus spagheti dengan sedikit minyak zaiton.
- Potong dadu bawang dan capsicum.
- Cendawan saya tak potong sebab saya guna yang kecil dan  fresh (saya guna.. brown clamshell mushroom)
- panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak zaiton dan tumis segenggam bawang besar yang telah dipotong dadu sehingga wangi.
-Masukkan daging cincang dan goreng 2-3 minit.
-Selepas itu masukkan tomato puri, tomato sos dan serbuk cili.
-Masukkan air (1 cawan)
- Kemudian bolehlah dimasukkan bawang besar, capsicum dadu dan cendawan.
- Untuk rasa perlu sedikit garam dan gula.(Gula untuk mengimbangkan rasa masam..)
- Bolehlah dimasukkan serbuk oregano
****Kalau sukakan citarasa kemelayuan... tambahlah cili api potong.
 


asparagus goreng belacan

western + eastern=weastern ..itulah selayaknya gelaran  masakan dalam entri saya kali ini. Hajat hati nak masak western tapi nak ganding dengan apa... kalau silap ganding ..jadi janggallah pulak. Kalau complete ala-barat tu..baru best.
Dr Fouziah

Asparagus yang segar dimakan mentah pun sedap tau..cubalah. Sayur ni pula kalau masak berat-berat tak sesuai. Masak semudah yang boleh agar rasa manisnya kekal. Tapi tekak saya ari ni nak cuba rasa yang berbeza.. haaaa..tu dia....campur belacan sekepal..baru bersin 3 hari 3 malam..hehehehe. 
Saya gunakan:
secekak asparagus  (cekak saya agak besar +- 15 batang)
3 sudu besar udang kering
1 sudu besar belacan- dibakar
4 ulas bawang putih
4 biji cili api
1/2 biji capsicum
sedikit minyak untuk menumis
Sambil-sambil dengar berita 1.30 di TV3 sambil memasak.. HANGAT BETUL musim PRU13 ni... (saya mendengar TV sebab  tempat saya duk memotong sayur ni terhalang skrin TV.. di tempat makan baru nampak TV tu..). Sehangat mana pun berita di TV, jaga masakan kita supaya jangan HANGIT..HANGUS :)
Ibu-ibu...sila..fokus...Fokus-fokus kepada memasak:
Mula-mula tumbuk udang, cili api dan bawang putih kasar-kasar
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk tadi sehingga wangi
Masukkan belacan yang dicampur dengan sedikit air- tumis sehingga wangi
Potong asparagus dan masukkan ke dalam bahan tumis tadi.
Akhir sekali, jangan lupa tambahkan capsicum
--> rasalah garamnya---> saya tak tambah garam..dah cukup masin
simple.... n .... delicious....
**PERKENALKAN ASPARAGUS GORENG BELACAN**
Dr Fouziah
 




Rabu, 10 April 2013

BELUT PAPRIK

GELI-GELEMAN???
NAK MUNTAH.....?
RELA TAK MAKAN?
haaaaa...belum cuba belum tahu... TENGOK SAYA NI... OK..BILA MAKAN BELUT..KULIT PUN CANTIK, PERCAYALAH CAKAP SAYA. (terasa dah macam Kak Ton pulak duk mengempen produk dia). Apa-apa pun entri ini ditulis setelah belut paprik ini dua minggu dimasak dan dimakan dengan seleranya oleh saya dan anak lelaki..Faiz. Ahli keluarga yang lain? Tak ada yang nak makan... Entahlah..katanya terbayang seperti ular... Bila saya mencuba resepi paprik ni  saya boleh makan belut setiap hari tanpa ada sedikit pun rasa kurang senang. Saya ulang sekali lagi..memang berbaloi-baloi... memang sedap.. isi pejal dan cukup rempah-ratus. Inilah satu-satunya resepi yang paling sedap berbanding dengan sup belut atau goreng kunyit. Saya beli 6 ekor belut, harga di Pasar Tani Kuala Terengganu sekitar RM 18 sekilo.
3 ekor belut
5 helai daun limau purut
1/2 cawan sos cili
3 sudu sos tiram
8 sudu kicap
2 sudu besar serbuk kunyit
2 labu bawang besar- dipotong
4 ulas bawang putih- dihiris
1 sudu halia -yg telah dihiris
1/2 batang lobak merah
3 urat kacang panjang - potong 1"
2 biji cili merah
sedikit daun sup
Garam
sedikit tepung gandum- membasuh
minyak untuk menggoreng dan menumis
Mula-mula bersihkan belut dan lumurkan dengan tepung gandum
 Dr Fouziah
Basuh sekali lagi daripada tepung gandum dan tos
Dr Fouziah
Lumurkan dengan kunyit dan garam


Dr Fouziah
Goreng sehingga masak- usah terlalu garing
Selepas itu, bolehlah panaskan minyak dan tumis bawang putih, halia dan bawang besar yang telah dimayang.
Masukkan sos tiram, sos cili dan kicap- kacau sehingga sebati
Selepas tu, campurkan lobak merah dan kacang panjang yang telah dipotong
Masukkan belut goreng tadi
Jangan lupa cili merah yang telah dipotong
Akhir sekali masukkan daun limau purut dan daun sup yang telah disiat/dihiris.
Dr Fouziah



















Jumaat, 5 April 2013

SIAKAP KUKUS

Siakap senohong,
gelama ikan duri
bercakap bohong,
lama-lama mencuri.


Hari ini hanya ada siakap sahaja... senohong, gelama dan ikan duri tak ada.... agaknya pergi berkempen kot....Musim pilihanraya ni semua orang tertumpu kepada PRU13. Saya orang biasa...marhain ni..biasa aja... tak terjejas apa-apa. Di tempat kerja sibuk memanjang, bila balik ke rumah sibuk memanjang-manjang dengan anak-anak, suami-suami(ooopsss...), memasak, pokok bunga, kemas rumah, binatang perliharaan (kucing sendiri ada 3 ekor... bernama PUTAM, MOCCA dan BELANG.. ). Ada 3 ekor kucing angkat--> KAKITIGA (oku), BUTA (oku) dan TANDE. Sebelah malam dengan acara melipat pakaian dan mengadap komputer (dengar macm sibuk...padahal duk layan fb dgn blog aja...).Apa-apa pun... hidangan untuk keluarga biasanya saya sediakan agar menjadi contoh kepada anak-anak saya.. sesibuk mana pun anda berkerja dan mempunyai kerjaya... perkara asas seperti memasak untuk keluarga adalah wajib bila ada di rumah (out station lain cerita...). 
Dr Fouziah
Resepi kukus seperti saya masak hari ni sesuai untuk suasana sibuk GILER dan juga sesuai untuk mereka yang menjaga kesihatan. JOM MASAK...
1 ekor ikan siakap -500 g
7 ulas bawang putih
1 inci halia
2 pokok daun bawang ( ...1/2 cwn- bila dah potong)
1/2 btg lobak merah
1 biji tomato
2 sudu besar minyak bijan
2 sudu besar sos ikan
1 sudu besar pati ikan bilis
2 sudu besar lada sulah
2 sudu besar bawang goreng
1 sudu kecil garam (sos ikan dah masin- kalau tak suka boleh abaikan garam)
3 biji limau kasturi/ 1/2 biji limau nipis
Panaskan pengukus dan masukkan bawang goreng ke dalam air kukusan.
Bersihkan ikan dan lap dengan tisu dapur/ tuala.
Kelar beberapa bahagian.

Lumurkan dengan campuran sos ikan, pati ikan bilis, lada sulah, garam dan sebahagian shj minyak bijan dan perap seketika.
Jangan lupa lumurkan juga di bahagian dalam ikan tu....
Sementara tu.. sediakan sayur dan bahan lain
Sagat lobak merah secara memanjang, potong daun bawang anggaran 1/2 inci

Hiris nipis-nipis halia dan bawang putih
susun bahan hirisan di dalam loyang pengukus  
Letakkan ikan ke dalam loyang pengukus dan selitkan di celah kelaran tadi dengan halia, bawang putih, lobak merah dan daun bawang.
Masukkan tomato dan bahan hiris tadi ke bahagian dalam bhg perut ikan...
Jika terdapat lebihan campuran bahan perap dan bahan hirisan tu.tabur aja ke atas ikan

Renjis dengan minyak bijan 
Kukus selama 15 minit
**Bila dah masak bolehlah diperah dengan limau kasturi.

Makan dengan tomyam yang kaw2 punya... tunggu resepi tomyam yer.. next entri ( harap2lah....)


PRU 13- Versi Pantun Makanan (2)

 
Dr Fouziah
Bunga ros di laman yg sedang berkembang

Daging goreng berkacang panjang
ikan selar dimasak singgang
nama tercalon senyum memanjang,
jalan mengepak hidung pun kembang.

Makan kerabu ulam-ulaman,
Enak dimakan bersama udang,
tabur duit harapkan pulangan,
tabur janji selagi tak terlarang.

Kukus kuih di dalam loyang,
Enak dihidang waktu petang,
orang yg susah baru nak kenang
Takut nanti undi akan hilang.

Sibuk memasak nasi ayam
untuk hidangan orang tersayang
balik ke rumah lewat malam
mata mengantuk hati tak tenang

Goreng kerepek di waktu malam
Mari disimpan di dalam balang,
sibuk berkempen siang dan malam
anak bini ke mana menghilang?






PRU 13 - semak status anda

Masa untuk semua orang menunjukkan apa yang mereka sokong...
betul ke macam tu?
undi adalah rahsia...

Bila memandu..mata ni dah pening dan penat melihat biru, hijau...biru...hijau sana sini.
Kalau sekejap aja kibaran bendera tu, masih boleh diterima tapi bila dah berbulan-bulan melihat kempen yang dah bermula sebelum pembubaran ni membuat mata saya pun dah sakit.
Cepat-cepatlah mengundi.
Kekadang marah lebih banyak membuak-buak dalam jiwa bila bendera dan poster jatuh di atas jalanraya, sangat membahayakan pengguna jalan raya.
ikatlah elok-elok bendera tu..
kalau tanam pun..tanam elok-elok.. duit upah dah dikebas... ada parti yang buat secara sukarela dan yang sukarela ni nampak lebih kemas kerjanya...entahlah...

Bahang PRU13 ni ada di mana-mana sehinggakan di kedai komputer tadi pun sama... berapi-api bercerita pasal senario politik semasa. Inilah peluang kita untuk berubah.. katanya... Penipuan dimana-mana... dakwanya. Saya melayan sesekali sahaja sebab saya tak suka berbahas dengan sesiapa walaupun semasa zaman sekolah dulu seorang pendebat dan pensyarah yang disegani. Bila dah hangat berhujah itu ini..saya pun bertanya" Adik mengundi di mana?". " Ruginya saya kak, saya dah 2 kali terlepas pilihanraya sebab tidak mendaftar." " Tahun ini pun tak sempatmendaftar?" " Tidakkak, tak sempat" Itu orang muda yang dikelilingi dengan kemajuan dan teknologi serta berilmu. Uishhh... kesian kepada orang muda yang mempunyai wawasan dan semangat tetapi tanpa STRATEGI dan PERANCANGAN. Jangan anda pun begitu juga...
APA-APA PUN JOOOM SEMAK STATUS DAFTAR PEMILIH ANDA
duk beria-ria memberi komen tentang politik..anda mengundi di mana?

Rabu, 3 April 2013

PARLIMEN DAH BUBAR- Versi Pantun Makanan (1)


Dr Fouziah
Bunga-bunga ini umpama kehidupan kita........................
(gambar di Cameron Highlands  19-20 Mac 2013)

Masak kari bersama halba,
halba dicampur bersama gula,
yang ditunggu-tunggu sudah tiba,
bubar sudah, mengundilah pula.

resepi bubur bebola ikan,
makan bersama sambal peria,
menanti bubar satu seksaan,
hari ini hatiku ceria.
 
Goreng karipap inti kelapa,
minyak panas harus waspada,
sibuk mengempen usah dilupa,
menyedia hidangan untuk keluarga.
 
pergi ke pasar menaiki kereta,
sambil memakan seri kaya,
mari berbaik sesama kita,
negara aman hidup bahagia,
Makan lempeng bersama si jelita
sambil tersenyum bila disapa,
pilih pemimpin milik kita,
tak perlu maklum kepada sesiapa.

Kacau dodol dalam belanga,
dodol lemak pilihan utama,
pemimpin pewaris bangsa dan negara,
menegak agama visi utama.

Selasa, 2 April 2013

KETAM BUNGA MASAK LEMAK

Musim sekarang ni susah nak cari ketam yang berisi penuh. Saya belajar memilih ketam yang berisi dengan menekan bahagian dada ketam tu... kalau padat.. bolehlah beli. Perangai ketam ni pulak.. bukan macam kita ni.. makan tak tentu musim..siang malam boleh makan. Ketam ni kalau nak beli tunggu musim bulan cerah sebab masa tu dia berisi..al-maklumlah makanan banyak... Tapi kalau bawa anak-anak ke pasar.. tak kisahlah ada isi atau tidak... nak ketam...nak ketam. Bila dah sampai di rumah, jadi bahan kajian mereka duluan... check sana... test sini... Macam Mr Crab katanya, sehingga tertanggal kaki si ketam tu, barulah boleh dimasak. Kalau kami melalui Tok Bali  atau Fikri, biasanya dapatlah beli ketam nipah. Dari segi rasa lebih manis isi ketam nipah berbanding dengan ketam bunga yang saya masak hari ni.  Cuma masalah sikit jika makan ketam di restoran yang tak menyediakan pengepit untuk pecahkan ketam tu... terpaksa guna semua alat dan kudrat yang ada...memang mengganggu selera makan betul. Jika masak sendiri di rumah tak ada masalah ..boleh makan dengan GAYA BEBAS. Jadi, masaklah sendiri...ketam rebus dengan garam aja pun dah lazat, inikan pula resepi saya ari ni...
Dr Fouziah

jom masak... memasak mengeratkan kekeluargaan... mari kita sediakan bahan-bahan:
500 g ketam
6 ulas bawang merah
6 biji cili api
2 batang serai
1 helai daun kunyit
2 cawan pati santan
2 cwn santan cair
garam secukupnya
sedikit gula
- Ketam dibuka cengkerang dan bersihkan bahagian perutnya. (saya simpan kulit dan masak sekali untuk dijadikan hiasan).
-Kisar bawang merah dan cili api.
- Campurkan bahan kisar ke dalam santan cair, garam dan panaskan sehingga mengelegak sambil kacau perlahan-lahan.
- masukkan serai yang diketuk, ketam dan santan pekat.
- Last sekali masukkan daun kunyit yg disiat-siat dan gula.
waahhh... berbunga-bunga ketam tu... ketam pakai baju raya..floral..

Isnin, 1 April 2013

What Got You Here, Won't Get You There

**HOW SUCCESSFUL PEOPLE BECOME EVEN MORE SUCCESSFUL**
Saya membeli buku ini selepas saya diminta untuk bertugas di tempat baru.  Tajuk buku yang CATCHY menjadi tarikan utama. Tarikan utama yang lain ialah... buku serta hasil penulisan MARSHALL GOLDSMITH menjadi rujukan serta panduan ramai induvidu yang berjaya. MENGAPA TIDAK SAYA MILIKINYA? Memiliki dan membaca adalah perkara yang brbeza (sy sudah lama memiliki tapi baru ada masa untuk membaca, ada buku yang sy tak miliki tapi dah habis baca)
Dr Fouziah
 Perubahan tempat kerja yang baru pasti mendebarkan sesiapa sahaja yang mempunyai semangat tinggi untuk berjaya. Adakah perlu diteruskan dengan sikap yang dan kepercayaan yang lama? Tidak ada salahnya sebab dengan sikap begitu telah membawa anda ke tahap kejayaan. ADAKAH BENAR?
buku setebal 238 muka surat terdiri daripada 14 chapters. yang dibahagikan kepada 4 bahagian/section utama iaitu:
1. The trouble with success
2. The 20 habits that hold you back from the top 
3. How we can change for the better
4. Pulling out the stops
Pengupasan setiap tajuk berjaya dilakukan secara santai beserta contoh yang mudah difahami.Sebagai contoh,turut di sertakan habit yg tidak sesuai antaranya ialah:
1. winning too much
2. adding too much value
3. speaking when angry
4. telling the world how smart we are
5. making excuse
......hanya 5 contoh daripada 20 habit yg perlu dihindari
 Dalam section three pula seolah-olah mengikat saya dengan tajuk seperti Feedback, Apologizing, telling the world, or advertising, listerning, thanking, following up and practicing feedforward.
Tidak rugi memiliki buku yg memberi panduan yang boleh diaplikasikan dalam kerjaya kita.
 




Kisah Cinta

Entri yang sama sekali lain daripada yang lain, saya tak minat sangat dengan lagu-lagu. Malah tiada satu lagu pun yg saya ingat liriknya kecuali lagu NEGARAKU dan SELAMAT SULTAN. Yaaa... 2 lagu itu sahaja. SANGAT TERUK kan? Apa nak buat, dari dahulu lagi saya minat nyanyian SALEEM tapi satu pun lagu-lagunya saya tak hafal.
Dr Fouziah
Gambar yg sy rakamkan di Cameron Highlands- Adakah cinta Tiara akan terus segar atau layu dimakan jejak perjalanan kehidupan?
 Lagu Tiara ni dah lama saya dengar tetapi  Selepas Maghrib tadi ke ke pasaraya untuk membeli aiskrim---> anak ada ulser dlm mulut... tiba-tiba terdetik dalam hati..best jugak kisah cinta mereka.. syahdu. Sambil memilih barangan, telinga saya terus menangkap bait-bait yang dinyanyikan dengan penuh perasaan tu. Balik terus search dan tampal di bawah ni.
***tak ada kaitan dengan yang hidup atau yang mati atau yang sedang koma.
Cuma hati tersentuh...
Terasa sedih...
Kasihan...

(:
 
Lirik Lagu Tiara - Kris

Tiara... menggamit kenangan zaman persekolahan
Tiara... ku mimpi kita bersanding atas kayangan
Seakan bisa kusentuh peristiwa semalam
Di malam pesta engkau bisikkan
Kata azimat di telinga

Kita... terpaksa berpisah untuk mencari arah
Kita... dipukul ombak hidup alam yang nyata
Engkau jauh meniti puncak menara gading
Yang menjanjikan hidup sempurna
Tapi aku hanya tunduk ke bumi
Hidup tertekan

Jika kau bertemu aku begini
Berlumpur tubuh dan keringat membasah bumi
Di penjara terkurung terhukum
Hanya bertemankan sepi

Bisakah kau menghargai
Cintaku yang suci ini...
Oh! Tiara... pedihnya
Dapatkah kau merasakan...

Bisakah, masih bisakah
Engkau hargai cintaku lagi
Oh! Tiara pedihnya dapatkah kau merasakan
Oh! Tiara pedihnya dapatkah kau merasakannya...
TIARA... Oh.!