MALAM PERTAMA DI ALAM BARZAKH
Oleh : Amru Alhaz Bin Adnan
Setiap
detik pasti ada orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga
pasti ada bayi yang baru dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia
ini. Yang hidup akan mati, yang pergi akan digantikan dengan yang baru.
Kita di dunia adalah umpama seorang musafir yang singgah sebentar
berteduh di bawah sebatang pokok. Kemudian dia akan meneruskan
perjalanannya ke alam kubur ataupun alam barzakh. Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (????? ??????) oleh Abu Bakr al-Razi, barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda. Berdasarkan (iktikad) Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam barzakh. Ia
terletak di antara alam dunia dan alam akhirat. Hal ini bersesuaian
dengan firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Mukminun ayat 99-100:
Kesudahan
golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah
seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah
daku (hidup semula di dunia) - supaya aku mengerjakan amalan soleh dalam
perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan kau akan
dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja
yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding)
hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).
Seseorang
yang sudah mati dan berada di alam barzakh dapat menjangkakan sama ada
dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara
ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam
al-Tirmidzi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya
kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka
sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan
datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu
tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang
sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."
Dr
A’idh Abdullah al-Qarni menulis di dalam sebuah bukunya yang cukup
terkenal bertajuk “Malam Pertama Di Alam Kubur”: Seorang penyair arab
pernah mendendangkan syairnya:
Aku
tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap
membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku
berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain.
Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada
malam tersebut .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba.
Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i
berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan
menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari
daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu
tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan
kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah
dikuburkan: “Dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya
telah tertanggal, dahulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah
telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur
terbenam.”
Umar
bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa orang sahabatnya di
dalam satu majlis, Wahai fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah
pernah kau terfikir tentang kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu
apakah keadaan sebenar di dalam kubur, pasti kau tak akan berani
mendekatinya.
Pada
suatu ketika pula , Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya.
Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang telah bersurai
kecuali beliau dan beberapa orang sahabatnya yang masih tidak
berganjak dari kubur tersebut. Tidak lama kemudia sahabatnya bertanya:
Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah ini, mengapa
engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar
pun berkata: “ Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang.
Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “
Sudah tentu wahai Amirul Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “
Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang
akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar.
Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya,
aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.
Mahukah
engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah
tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan,
dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut
pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari
betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.
Setelah
mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan
berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di
dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan
mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana
keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia?
Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis
dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau
meninggal dunia.
Antara
syarat kemenangan dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan diri
menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni
kubur. Tetapi ramai di kalangan kita mengabaikan peringatan dan ancaman
yang berbahaya ini. Jika pun kita mengingati kematian, itu pun hanya
dilakukan dengan sambil lewa. Tahukah saudaraku, mengapa ini berlaku.
Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk
dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari
cahaya.
Saudaraku
sekalian, jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki
tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati
kita keras dan beku rawatilah ia dengan penjelasan dahsyatnya kubur.
Rawatilah hati kita agar ia hidup kembali. Untuk merawat hati yang keras
ini boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa perkara:
Pertama-
Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Dengan cara ini hati
menjadi hidup. Ketahuilah hati yang tidak pernah ataupun jarang jarang
membaca al-Quran adalah hati yang mudah terpengaruh dengan tipu daya
syaitan.
Kedua-
Sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah. Kita hendaklah
bersikap kepada Tuhan sebagai seseorang yang sangat memerlukan-Nya.
Apabila kita ditimpa kesulitan, merintih dan berdoalah kepada-Nya.
Ketiga
– Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama
seseorang semakin takut dia kepada Tuhan-Nya. Di samping itu juga
elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan
membuang masa. Ini termasuklah majlis tari-menari dan juga
konsert-konsert hiburan yang melalaikan.
Keempat-
Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian
menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan
dunia dan tidak panjang angan-angan.
Kelima-
Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara
sebelum ini maka inilah cara yang paling berkesan dalam mengubati hati
yang keras. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”. (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya,
jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh
walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya merupakan satu misteri maka
manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
“Wahai
orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah
engkau telah bersiap sedia menghadapi malam pertama? Wahai pemuda gagah
yang bergelimang harta, pangkat dan kuasa, apakah engkau telah
mempersiapkan diri menghadapi malam pertama? Ia adalah malam pertama
dengan dua wajah, mungkin menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga
berikutnya, atau menjadi malam pertama bagi malam-malam neraka
selanjutnya.
Artikel
ini pada asalnya ialah teks khutbah yang yang ditulis untuk terbitan
JAKIM dan telah disunting untuk bacaan dalam bentuk artikel.
*** artikel ini juga saya petik daripada laman web Masjid Negara** moga dapat dimanfaatkan oleh kita
*** artikel ini juga saya petik daripada laman web Masjid Negara** moga dapat dimanfaatkan oleh kita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan