sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Rabu, 20 November 2013

Mencari EMAS di PERAK -4

Awal pagi lagi saya bersiap-siap menunggu En Azahar di lobi hotel.  Perjalanan memakan masa sekitar 20 minit sahaja.  Saya teruja dengan jalan yang luas menghubungkan Seri Iskandar dan Pekan Bota. Apabila membelok ke Pekan Bota menuju ke Lambor barulah suasana kampung kelihatan, kalau musim durian mesti seronok. Maklumlah kiri kanan ada pokok durian...
Akhirnya saya sampai ke destinasi iaitu SM Muzafar Shah 1, Lambor Kanan, Perak.  Cat bangunan yang pudar tidak menggambarkan sambutan mereka terhadap kami.  Menjejak ke ruang pejabat yang ceria dan sapaan kakitangan SMMS1 pastinya mengembirakan saya. Kedatangan kami dinanti-nantikan oleh semua warga sekolah.  
Harapan amat tinggi agar apa sahaja masalah yang mereka hadapi dapat diselesaikan dengan segera. Saya menjadi pendengar yang baik, juga pencatat yang cemerlang.  
Jika lebih kerap 'turun padang' berlaku dalam semua bidang, banyak perkara boleh diselesaikan.  Selama ini hanya orang politik sahaja gah dengan konsep turun padang.  Bagaimana dengan pegawai yang dipertanggungjawabkan dengan sesuatu tugas? Seperti saya..anda..rakan-rakan kita semua...
Kejelasan tentang saluran dan prosedur amat penting dalam melaksanakan tugas.  Perkara yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat akan tercapai tanpa perlu menunggu lama.  Jika tidak 'turun padang' bagaimana mungkin seseorang pegawai menilai dengan tepat tahap keutamaan dalam menyalurkan peruntukan atau latihan. Agak sukar, bukan tidak boleh... dengan teknologi yang canggih segalanya mungkin.  Persoalannya adakah dilakukan sebegitu?

Pengalaman saya selama 4 jam bersama guru dan pengetuanya iaitu Pn Hjh Rohayati menemukan saya dengan EMAS yang dicari. Guru dan kakitangan yang baik dan cakna membuatkan proses mengutip data kajian berjalan lancar.  Hubungan baik sesama mereka wajar dipuji. Seluruh warga SMMS1 cukup positif menerima perubahan dan mereka ingin berubah,  Saya membelek-belek album di dalam bilik pengetua dan melihat perubaan yang dilakukan di situ sebelum dan selepas kehadiran pengetua sekarang.  Berbeza..amat berbeza.
Tahniah kepada seluruh warga SMMS1, moga kilauan emas anda menjadi rebutan seluruh dunia.

Tiada ulasan: