sila-silalah

pinang merah,sireh junjung, saya tak marah, silalah berkunjung

Rabu, 6 Februari 2013

MAHKOTA DEWA

Kalau  entri saya terdahulu APAM DEWA... Kali ni MAHKOTA DEWA. Ini semua markat tinggi punya nama... dewa-dewa....Pertama kali pegang buah makhota dewa kering semasa saya berada di Bandung.. sangat murah buah MD di sana.Buah kering seberat 100g hanya RM 2 sahaja...betollll....... (hingga sekarang masih tersimpan elok dlm plastik berbungkus..)

Tapi bila dah jadi kopi..dah jadi ubat.. uishhhh...mahal kemain lagi.  Kali pertama melihat pokok MD ni di rumah anak saudara saya... teruja sangat sama masa tu. Saya terbayang pokoknya besar macam pokok mangga.
Pokok MD ni banyak terdapat di  Indonesia.. kalau di sana bisa hidup..  mungkin jua di sini ya..pakkkk... Misi mencari pokok MD diteruskan oleh saya dan suami setelah mengetahui khasiatnya yang macam-macam walaupun Alhamdulillah kami tak ada sakit yg berangkai-rangkai tu. Sekadar sakit lenguh-lenguh manja adalah...eheeeemmmm.....
MD dikenali sebagai Phaleria Macrocarpa (Scheff) Boerl dalam bahasa saintifik. Pokok yang saya tanam ni dah besar berbuah lebat.. walaupun di tanah merah..berkat makanan baja tahi lembu agaknya... Tinggi pokok MD saya ni sekitar 1 meter.
  Kulit dan daun tanaman ini mengandungi alkaloid dan samponin. Herba ini bersifat antibarah, cirit-birit, sakit kulit dan gatal-gatal badan. Ketinggian pokok MD boleh mencapai 3 meter.
Pelbagai nama lain MD seperti Simalakama (Sumatera), Makuto Rojo, Makuto Ratu, Obat Dewa, Pau (Obat Pusaka), Crown of God.
Buah MD berwarna hijau semasa muda dan bertukar menjadi merah bila ranum. Ini gambar buah MD yang muda...hijau

Warnanya menarik dan saya dapat melihat dan merakamkan pembesaran pokok MD yang kami tanam.Kedua-dua gambar di bawah ni pula yang dah mula nak masak..
memang cantik

Banyak maklumat tentang khasiat MD ni.. antaranya sesuai untuk merawat kencig manis, darah tinggi. Blog Kalam Musafir pula tulis"
Mahkota dewa berguna untuk peredaran darah ke seluruh tubuh dan mencegah penyumbatan pembuluh darah, mengurangkan kadar kolesterol dan mengurangkan penimbunan lemak pada dinding pembuluh darah, mengurangkan kadar risiko penyakit jantung koroner, mengandungi anti-inflamasi (anti--inflamasi), anti-oksidan, dan membantu mengurangkan rasa sakit jika terjadi pendarahan atau pembengkakan. Sedangkan polyphenol Mahkota dewa berfungsi sebagai anti histamin (alergi)."
saya banyak mendapat maklumat di blog TERATAK IMPIAN BUKIT LALA antaranya"sewaktu perang di antara Belanda dengan Indonesia, pokok-pokok tersebut kononnya dimusnahkan oleh tentera Belanda kerana didakwa memberi kekuatan luar biasa kepada askar Indonesia." WAHHHH.. hebatnya khasiat pokok ni,..tapi ingat dengan izin Allah... maka sembuhnya sesuatu penyakit bukan kerana MD ni...

Isnin, 4 Februari 2013

TELUR CACACA ala Siam


Ingin mencuba sesuatu yang mudah dan lazat??????
Usah buang masa ... ikutilah resepi ini 
Pasti tidak menyesal...
Pengenalan pun ala-ala IKLAN.. inilah telur  masak hancur yang saya jodohkan bersama-sama RENDANG ALA SIAM tu...(JODOH YG SERASI). Tak naklah cakap sombong.. ala-ala sombong pun tak nak.. Mudah sangat penyediaannya.. bak kata orang dulu-dulu...pejam mata dah siap. Tapi kalau saya yang pejam mata mahunya terlena panjang ni.. jadi bila perut lapar dan nak makan dengan segera..inilah jawabnya..TELUR.. kalau telur dadar, telur mata kerbau, bistik dah biasa.. apa kata kali ni mari layan resepi saya ni...
6 biji telur ayam
2 cawan ikan bilis
2 labu bawang besar
10  biji cili api
1 sudu cili kisar/ serbuk cili
4 sudu sos ikan
minyak untuk menumis
Dr. Fouziah

Basuh ikan bilis  dan kisar bersama-sama cili api sehingga hancur (kalau nak tumbuk dgn lesung batu pun boleh)
Potong  halus bawang besar
Pecahkan telur ke dalam mangkuk
masukkan sos ikan, serbuk cili dan bahan kisar tadi (ikan bilis + cili api) ke dalam telur
Kacau dan pukul seketika sehingga sebati
Panaskan minyak dan tumis  bawang besar sehingga wangi
masukkan bahan adunan telur tadi dan kacau sehingga telur masak sekata.
**** tak perlu tambah garam 

SAYUR DAUN KAYU /SAYUR KAMPUNG

Saya beli sayur daun kayu seikat semasa ke Pasar Maras.. hanya RM1.00. Hajat hati nak masak bubur lambuk tetapi bila terkenangkan..bila masak bubur untuk lunch....tak penuhlah perut anak-anak saya tu. OOOppsss...Sebelum tu... tahu tak apa tu sayur daun kayu/kampung? Istilah sayur kampung ni digunakan ada yang menyebut sayur daun kayu... sayur-sayur kampung yang dipetik atau ditanam ditepi rumah atau laman tak termasuk kobis, sawi, karot dll.  Sayuran yang diikat sekali seperti daun ulat bulu, daun kesom, pucuk miding, daun ubi, pucuk kaduk, cekur manis, cemperai, lampin budak dan daun keledek. Itulah ramuannya. Ayam Rendang ala Siam dan Telur Cacaca ala Siam dah masak.. untuk imbangkan khasiat..pasti perlukan sayur. Bila dah siap siang sayur daun kayu tu,...maka saya pun masakkanlah...Saya dan tulis daun-daun dalam  masakan ni di atas tu...
Bahan lain yang diperlukan:
1 ekor ikan panggang tawar ( panggang tanpa garam/ ikan kukus pun boleh)
1/4 cawan ikan bilis yang sudah disiang
5 ulas bawang merah
2 hiris halia
2 sudu lada hitam
air secukupnya
garam
pati ikan bilis
Dr. Fouziah
  • Asingkan ikan daripada tulang 
  • Tumbuk lada hitam sehingga hancur dan tambahkan isi ikan dan tumbuk bersama-sama.
  • Potong/ mayang halus bawang merah dan halia- tumbuk sehingga hancur (saya campurkan sekali dengan bahan tumbuk yang diatas tadi)
  • Panaskan air dan masukkan ikan bilis dan kesemua bahan tumbuk tadi
  • Masukkan pati ikan bilis dan garam
  • Bila mendidih..masukkan daun kayu yang dah dibersihkan
  • Masak sehingga agak empuk
*** Arwah Mak saya dulu letakkan sedikit budu ke dalam kuah ni... sedap...
*** Ini masakan sihat.. herba dan sayur kampung yang bebas baja dan racun 
*** Masakan ini juga tidak menggunakan minyak utk menumis
*** Boleh petik sayur keliling rumah sahaja..FOC

Ahad, 3 Februari 2013

RENDANG AYAM ALA SIAM

Sejak kebelakangan... lebih tepat lagi... semenjak tahun 2013... barulah saya perasan yang masakan saya hampir setiap hari ada menu ayam. Entah apa angin perubahan yang berlaku. Angin yang kencang ni... Nak kata 'geramkan' atau marahkan ayam yang selalu masuk ke rumah saya...  tidak rasanya.. Kalau saya nak marahkan ayam yang sudi menjengah dapur saya tiap kali saya buka pintu belakang.. saya bukannya pendendam (.. nak senyum sikit...:) ). Kalau iya pun marahkan ayam... mesti saya tangkap dan sembelih ayam tu.. tak kan nak sembelih dan makan kaum kerabatnya yang lain.Makanan lebih dan tumpah tu memang rezeki ayam. Cik suami saya pula bila minta dibelikan ikan... ayam yang dibelinya. Tak ada ikan ke Baaaaanggggg...? AYANG TAK SUKA AYAM TAUUUU... Serius. Saya dah jemu dengan ayam ni haa...Alasan yang diberi memang munasabah .. ikan tak segar... mata ikan merah macam hisap dadah.. musim tengkujuh mana ada ikan... ikan import ada bahan kimia awet mayat...semua ikan di kedai tu lembik isinya... Ikan kecik sangat..nanti susah nak siang.. ikan MAHAL.. sekilo belas-belas ringgit.. ayam hanya RM7. Nak tak nak.. masak ajalah.. kalau dah jemu.. search internet..berderet-deret   resepi keluar.. antaranya resepi ni haaaa ... resepi ni jadi kegemaran kami sekeluarga.Saya turut memasak telur cacaca ala siam dan SAYUR DAUN KAYU( Masakan Terengganu asli ni...)

Dr Fouziah

500g ayam (basuh dgn sedikit garam atau tepung gandum- hidung saya dah sensitif sangat dah dengan bau ayam...)

3 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
1/2  inci halia
2 sudu cili boh/ cili serbuk
9 biji cili api - blh tambah jika suka yg meletoppp pedasnya
2 cawan santan pekat
2 cawan air
8 helai daun limau purut
3 batang serai
1 sudu besar gula
1 sudu besar asam jawa- jadikan 1 cawan air asam jawa
garam
- Kisar bawang besar, bawang putih, kunyit hidup, cili api dan halia.
- masukkan bahan kisar dan cili ke dalam kuali (tak perlu  tumis) + ayam + 2 cawan air + garam+ air asam jawa+ serai yang diketuk
- masak sehingga kuah tinggal 1/4 daripada asal...agak keringlah..
- masukkan santan dan gula.
Kalau suka agak manis boleh dimasukkan sesudu lagi gula.
- Hiris halus-halus daun limau purut dan taburkan ke dalam masakan.
- Bila masakan sudah pekat bolehlah dihidangkan.
 Saya turut menyediakan Telur Cacaca ala Siam yang boleh digandingkan  bersama Rendang Siam ni.  Ini memang gandingan mantap

****SEMUANYA SIAM PADA KALI INI...KALAU NAK UBAH NAMA BOLEH SEBUT RENDANG ALA THAI..TELUR CACACA ALA THAI
**** ANAK-ANAK SAYA GEMAR GANDINGKAN RENDANG INI DGN ROTI ATAU NASI KUNYIT/ PULUT KUNING
 
 

Khamis, 31 Januari 2013

pencil case/ bekas pensil (2)

.

This pencil case requested by my daughter as a present to her best friend.

Kalau bercakap pasal hadiah ni, anak-anak sekarang beruntung...sekejap-sekejap nak beli itu...ini...nak beli hadiah untuk diri sendiri (reward our self katanya). Saya dulu paling terror beri hadiah tisu kepada kawan baik.. hari guru pun beri hadiah tisu kepada guru, tisu poket... kalau sempat simpan duit belanja bolehlah beli sabun mandi kepada guru. Masa saya ceritakan yang saya hadiahkan sabun mandi kepada guru.. anak-anak saya gelak  ( nasib baik tak berguling-guling...). Mama ..tak malu ke beri benda macam tu? Sabun cap apa ma...? SABUN CAP BURUNG KAKAKTUA... gelak mereka bertambah gamat. Hahahahahaa...gelak mereka lagiiii...lah panjang... Kalau nak mahal sikit beli sabun LUX..yang ada gambar Sharipah Aini... gambar Uji Rashid Wangi sikit cikgu tu. SEKARANG ni.. kalau melancong ke mana-mana, anak akan belikan hadiah macam-macam untuk kawan (mak dengan ayah yang bayarkan..itu bezanya). Birthday kawan pun beri hadiah, terasa macam dah terlalu banyak memberi tapi tanpa rasa tanggungjawab. Mereka memberi tanpa mengumpul duit sendiri bukan macam zaman saya dulu. Birthday kawan belikan teddy bear...kad... key chain... coklat ...pendek kata.. macam-macam. 

Berbalik kepada request dia tadi...Kalau buat sendiri hadiah lagi bagus kan?.. So dengan bermalas-malasan anak saya pun bantu saya... akhirnya hanya 20% yang saya siapkan, selebihnya  anak saya selesaikan. Biar dia rasa tanggungjawab sikit, asyik minta itu ini..bersusah tak nak. Kalau dah tahu caranya bukanlah susah pun, perlu rajin dan kreatif sikit. Cara membuatnya dan bahan-bahannya sama dengan entri sebelum ni cuma reka bentuk berbeza, citarasa wanita katanya... inilah bentuk velco yang dijahitkan bagi menggantikan zip. sama seperti entri terdahulu

Ini yang dah siap dijahit berbentuk bekas pensil yang boleh memuatkan macam-macam ( Burger pun boleh kot...)

Kemudian corak LOVE dilukis dan digunting kepada beberapa saiz

warna yang berbeza agar lebih menyerlah

ada huruf-huruf lagi...suka hati dia ajalah...dia yang buatkan... Saya tumpang senyum. Tapi saya yang jahitkan  untuk lekatkan LOVE dan nama.
Bila saya cakap: Dulu kan belajar Kemahiran Hidup
Anak saya jawab: Cikgu tak bagi guna mesin jahit, takut terkena tangan dan takut rosak.Betul mama.
Biar betul anak saya ni....... nanti nak siasat.... Bukan boleh telan 100%. Entah-entah cikgu cakap lain, lain yang difahamnya.

Inilah rupa yang dah nak siap
Wajah terakhir bekas pensil ni lupa diambil gambar. Bahagian belakang ada cendawan dan polka dot...
ayu menyerlah disebalik hitam yang menawan


 

Sabtu, 26 Januari 2013

GUBAHAN HANTARAN

Kategori SERONOK DAN GUMBIRA ..walaupun sibuk tak terkata ( konon-kononlah....) Bila datang permintaan untuk melakukan sesuatu yang mengembirakan saya..jarang saya tolak. Saya tak tolak sebab saya sangat percaya doa mereka yang tersempit sangat makbul... dan di saat saya memerlukan pertolongan.. saya butuhkan sesiapa sahaja menolong saya. Jadi, ringan-ringankan tulang utk menolong sesiapa yang memerlukan. In shaa Allah, ganjaran Nya akan datang kepada anda.  Allah akan kurniakan kemudahan kepada anda dalam segala urusan anda. Percayalah.. janji Allah  jangan pertikai.
Gubahan Hantaran ini saya terima juga..begitulah kisahnya... Walaupun pening memikirkan apa nak buat.. bila nak buat.. akhirnya pada jam 11.20 malam 23 hb Januari 2013 saya berjaya menyiapkan gubahan hantaran ini. 24 hb  Feb majlis akad nikah. Kalau diperhatikan memang biasa-biasa sahaja tetapi bagi saya ini LUAR BIASA sebab saya buat dengan kasih sayang. 

Saya nak kongsikan bersama pembaca, moga selepas ini pembaca boleh jadikan panduan dan mudah-mudahan mendapat cetusan idea.
Biarlah gambar yang berkata-kata, moga segalanya indah di mata (bahasa puitis sambil meluruskan kaki....)

 Gubahan tuala
Dr Fouziah
 Gubahan kain pasang
Dr Fouziah
 Gubahan telekung sembahyang
 Gubahan kasut dan beg
 Gubahan sejadah
Dr Fouziah
Gubahan buah-buahan 
Dr Fouziah
 Gubahan cincin 
Gubahan bedak2
Dr Fouziah
Gubahan Mas kahwin dalam Album-paling  mudah digubah dan paling mahal....harganya
Dr Fouziah

 

Jumaat, 18 Januari 2013

BLACK PEPPER CHICKEN

Gandingan bahan-bahan dalam masakan untuk mengimbangkan rasa selain daripada memberi perasaan selesa dan lazat.  Terdapat juga bahan yang digunakan kerana khasiat tertentu..macam masakan saya hari ni.. bahan utama  LADA HITAM.  Teringat pokok lada hitam yang saya tanam di tepi pagar tu... sempat juga berbuah beberapa kali tapi kebelakangan ni nampak macam tak nak hidup subur. Nak jaga elok-elok lepas ni ( **janji?....in shaa Allah). Sempat juga makan nasi berulamkan lada hitam muda. Lada hitam terkenal sebagai herba yang memanaskan badan. Musim hujan macam sekarang ni elok makan masakan berasaskan lada hitam seperti sup, sambal atau boleh cuba ayam lada hitam ni...

500 g ayam
2 labu bawang besar
1 labu bawang besar dimayang
4 sudu halia cincang
3 ulas bawang putih
3 sudu serbuk lada hitam** kalau tak suka pedas boleh kurangkan
3 sudu lada hitam biji
5 sudu sos tiram
5 sudu sos cili
1 sudu serbuk cili
2 biji cili besar 
minyak utk menumis
garam

Kisar 2 labu bawang besar, bawang putih   dan tumis di dalam minyak yang telah dipanaskan.
Masukkan halia cincang, lada hitam serbuk, kacau sehingga wangi
Masukkan serbuk cili, garam,  sos tiram dan sos cili, kacau sehingga sebati
Masukkan sedikit air
Masukkan ayam
Bila ayam dah hampir masak, masukkan lada hitam yang ditumbuk kasar dan bawang besar yang dimayang 
Akhir sekali masukkan cili besar yang dipotong dan matikan api.
Usah lupa..test dulu rasanya sebelum dihidangkan ... 
Saya hidangkan dalam pinggan mangkuk lama corak ros pink dan kelabu...




PELIK-PELIK SEMUANYA

Post ringkas setelah kelam-kabut dengan pelbagai agenda dan penetapan aktiviti pada awal tahun.  Kekadang terasa jugak...less meeting = increase productivity.  Saat sibuk macam ni memang perlukan udara segar secukupnya... kalaulah ada pokok-pokok segar di dalam bilik saya ni lagi bagus.. Kalaulah pokok itu boleh digunakan untuk macam-macam seperti di bawah ni haaa..... lagi bagus..
pokok pertama tu letak tepi meja kerja... 
sambil kerja..... sambil minum kopi
Pokok yang tengah-tengah tu letak dalam tandas...
Pokok ketiga tu nak letak dalam bilik tidur..boleh sangkut tuala... telekung sembahyang... kain batik
Alangkah GUMBIRA jika dapat hadiah macam ni ..
I LOVE YOU..
pasti saya jaga baik-baik
time bergaduh.... hancurlah pokok ni dikerjakan...
 Satu lagi pokok berpasu yang saya suka...
 macam muka orang... 
ada rambut lagi... mancungnya hidung macam Shahruk Khan
 Di laman  rumah nak letak pokok macam ni..saya nak gantung buaian...
balik kerja boleh main buai...
LAJUUUUUU...BUAI LAJUUUU...
.
Jalan depan sikit..nak tanam pokok macam ni.. 
penat kerja boleh berehat di bawah..
ISHhhhhh... 
jangan ada ular duk menumpang sekaki dah leee...
Satu lagi pokok  yang saya suka...
 2 in 1.. POKOK + KERUSI + PENEDUH
 kalau pokok rambutan pun ok..sambil duduk sambil makan buahan segar
mmmm..yang ni kalau siang..ok...
 kalau malam hari terasa ngeri jugak... pokok berjoget....
Pokok ni berusia  entah berapa ratus tahun,
 boleh dijadikan terowong, sangat unik
BOLEH SAYA KUTIP TOL...
Gambar di bawah menunjukkan pokok berjari yang serba guna..  ada 5 jari dan boleh dijadikan tempat duduk.
usah risau ..jari ini tak boleh bergerak.
Pokok ini agak pelik, kelihatan seperti lobak dan sesekali kelihatan seperti akar pokok berada di bahagian atas..
POKOK KENA BENAM...
Ini satu lagi gambar pokok pelik yang saya temui...
rupa-rupanya...
TANDAS....
patutlah pokok tu segar semacam... baja asli...
kalau tadi  gambar pokok seperti jari..perhatikan yang ini... POKOK BERKAKI...
Pokok ni taklah pelik sangat, saya pernah menjumpai yang seumpamanya semasa masuk hutan dulu. seperti ULAR... kalau pokok yang kecil memang keliru.
ULAR ATAU POKOK...
Di rumah saya ada banyak juga pokok berpasu yang pelik.. saya tanam dulu hijau...tapi sekarang bertukar menjadi pokok berwarna coklat yang masih kekal dalam pasu...pelik betul.....

Ahad, 6 Januari 2013

AYAM JINTAN MANIS

 Sudah lama tak melayan perasaan di  dapur macam hari ni...ceeewahhhh... bila sesekali memasang radio sambil memasak dan membuat kerja dapur ni bagus juga.  Tahu-tahu dah nak siap kemas dapur... walaupun dapur hanya dua kangkang kera. Penat jugak.... Bila anak-anak pasang radio di dapur,  saya cakap bingit telinga...off..toolooong off! .mama tak boleh fokus... serabut....  Bila anak tak ada macam hari ni... uuh..lalalal....uhhh..lalalala... nasib baik mama tak berjoget di dapur.  Bawa mengucap....  Duduk seketika minum air kosong dan terfikir pula.... nak masak awallah hari ni. Buka laci rempah ratus..macam-macam stok yang ada tapi bungkusan serbuk jintan dan ketumbar ni macam tak luak sangat. al-maklumlah rempah gulai, sup. kurma, kerutuk semua dah siap tanpa perlu adun sendiri bahan-bahannya. Cium rempah sana-cium rempah sini...ok....nak cuba resepi baru.  Nak guna jintan manis..maka itulah kisahnya dapat ilham AYAM JINTAN MANIS ni. Tengok gambar dulu... sedap
Dr fouziah
Fokus dekat sikit.... lagi menyelerakan... ada rasa yang berbeza daripada masakan saya sebelum ni.

Dr Fouziah
Saya hanya menggunakan bahan yang mungkin dah ada di dapur anda.  Kalau tak ada.. cipta  resepi sendiri. Semasa memasak tiada yang salah atau silap letak bahan ( ...cover kesilapan tersebut dengan alasan nak cuba resepi baru.. )

300g ayam-dipotong kecil-kecil
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 labu bawang besar- dimayang/ tumbuk
1 sudu besar halia potong
3 batang serai
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam
1 keping asam gelugur
2 sudu besar lada hitam
sedikit minyak untuk menumis
- tumis bawang besar   (saya kisar bawang besar)hingga wangi, masukkan halia dan teruskan menumis hingga garing sedikit.
- masukkan ayam,jintan manis, sedikit serbuk kunyit, lada hitam, serai yang diketuk, garam dan asam keping/ gelugur.
-masukkan sedikit air dan kacau sesekala sehingga masak,

*** saya gandingkan dengan sup sayur, ikan terubuk masin goreng (pemberian Cg Aznan Mahmood) dan sambal belacan.

Sabtu, 5 Januari 2013

Umur kian singkat, ajal makin dekat


***ARTIKEL INI TULISAN USTAZ ZAWAWI JUSOH
MENJADI RENUNGAN KEPADA SAYA SEMPENA HARI LAHIR DAN TAHUN BARU.
*** MARI PAKAT KITA BACA***
 
MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah memasuki tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.
Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?”
Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365 hari manakala tahun itu juga adaah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah menjadi setahun.
Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.

Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.
Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak. Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita.
Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik.
Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya. Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah. Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting. Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu. Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya. Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir pada diri kita adalah kematian. Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini. Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda. Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai. Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip saja. Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri. Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya. Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang. Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah. Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri. Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan hanya dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama. Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya. Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain. Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan. Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas berubah jangan jadikan ia upacara bermusim berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah. Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.
Artikel ini disiarkan dalam harian metro pada : 2013/01/03